Bab 48

375 20 0
                                    

Dr Alisya sendirian di taman bunga, duduk di bangku yang sentiasa menjadi tempat persinggahan Helena di kala senja. Langit biru mula bermega merah, menandakan bulan serta bintang bakal muncul menggantikan matahari. Itu bermakna bunga bulan akan berkembang pada malam ini. Kali pertama, bunga itu akan mekar tanpa diperhati oleh pemilik taman itu.

Dr Alisya mengusir air mata di juring penglihatan. Bunyi burung-burung terbang seolah membawa khabar buruk, menyedarkan dirinya sekali lagi bahawa Helena telah pergi daripada tempat itu, buat pertama kalinya. Dr Alisya terasa sunyi. Sungguh!

Dr Alisya usap permukaan besi yang berongga, terasa Helena seolah ada di situ bersama senyuman yang menambat jiwanya. Cantik, umpama bidadari yang menyuluh jalannya menuju bahagia. Sentuhan di bahu oleh Kak Peah menyebabkan bayangan Helena hilang bersama tiupan angin yang separa dingin setelah hujan.

“Cantik suasana senja hari ini.” Kak Peah mengambil tempat di sebelah Dr Alisya. Permukaan bangku yang masih basah diabaikan, biarlah bajunya basah.

“Cantik tetapi sayu. Helena dah tak ada di sini untuk saksikan keindahan yang dia selalu nikmati sebelum ini. Saya penyebab itu semua berlaku. Peah, betul ke tindakan saya? Mesti Helena fikir saya kejam sebab halau dia, ikutkan permintaan Datuk Suhaimi,” keluar Dr Alisya. Berat hatinya untuk membuat keputusan namun kebahagiaan Helena turut menjadi keutamaan.

“Tak ada ibu di dunia ni sanggup berbuat jahat kepada anaknya sendiri. Saya yakin Cik Helena boleh faham keadaan Dr Alisya. Dah lama sangat Cik Helena pertahankan tempat ini, tapi tulah, selama itu juga Datuk Suhaimi datang menduga dengan pelbagai cara semata nak kalahkan Cik Helena. Orangnya dah kaya, masih tamak nak bolot harta orang lain,” komen Kak Peah yang turut rasa perubahan mendadak di hospice itu.

“Walaupun dia bukan lahir daripada rahim saya, saya sayang sangat dengan dia. Dia cahaya dalam hidup saya. Dia warna dalam hidup saya. Sebelum dia ada, hidup saya kosong, saya hanya menurut masa, hidup tetapi tak ada rasa. Selepas Helena ada, semuanya berubah. Saya kenal erti bahagia yang sebenar. Saya ingatkan saya boleh hidup seperti biasa tanpa ada dia, jujur saya kata, saya mula rasa pedih. Saya tak nak lalui lorong hitam itu lagi.” Dr Alisya mendongak, memandang langit dengan harapan Helena juga sedang melihat ke arah langit yang sama.

“Semua orang tahu tentang itu. Saya yakin, semua ini akan berlaku juga. Allah sedang menguji kita semua orang di sini, tak ada siapa terkecuali. Kita kena doa kepada Allah agar satu hari nanti, cepat atau lambat, ada sinar terang buat kita semua. Inshallah, Allah akan bersama orang yang sabar.” Kak Peah mengusap bahu Dr Alisya buat seketika. Tak mudah seorang ibu untuk hidup tanpa anaknya. Perit tak tertanggung!

“Agaknya apalah Helena buat sekarang? Di mana dia tinggal? Dah makan belum? Risau saya.” Pelbagai kemungkinan bermain di kepala namun Dr Alisya mahu berfikiran positif, Helena pasti boleh jaga diri.

“Eh, saya belum beritahu Dr ya?” Kak Peah garu belakang kepala.

“Beritahu apa pula? Belum rasanya. Soal Helena ke? Peah tahu dia ada di mana sekarang?” Raut Dr Alisya sedikit bersinar.

“Syafiq beritahu saya yang dia bawa Helena ke rumah dia, tinggal di sana dengan mama dia juga. Jadi, Dr Alisya tak payah risau sangat, Helena di bawah jagaan orang baik. Saya yakin Syafiq takkan hampakan kita. Jangan banyak fikir ya,” lontar Kak Peah prihatin. Dr Alisya perlu mengutamakan kesihatan diri supaya Helena juga tidak terbeban hati.

“Alhamdulillah, mujur Syafiq ada. Sekurangnya, Helena ada tempat berlindung, ada teman untuk berkongsi masalah.” Dr Alisya mengurut dada, kurang sikit resahnya.

Terbit senyuman di wajah Kak Peah. Syafiq seorang yang boleh diandalkan. Dr Alisya menjadi tanggungjawabnya buat sementara waktu. Helena pasti kembali lagi!

HEALER Where stories live. Discover now