Selesai dengan urusan di hospice, Zafrul dan anak-anak menaiki kereta Syafiq menuju ke rumah sementara mereka. Lampu di tepi jalan kelihatan suram memamcarkan cahaya namun kehidupan Zafrul kini mulai terang.
“Tak sangka setelah sekian lama kita terpisah, kau jumpa aku lagi dalam keadaan macam ni. Memalukan,” keluh Zafrul rendah diri. Rakan-rakan sebayanya yang lain telah ada kehidupan masing-masing yang jauh lebih bagus. Mereka dah ada kerjaya yang bagus, rumah sendiri bahkan ahli keluarga yang sihat.
“Astaghfirullah kau ni, tak baik hina diri sendiri. Setiap orang ada ujian mereka sendiri, kita takkan sama. Siapa aje yang tak ada ujian, semua orang ada bahagian sendiri. Mungkin kita yang tak nampak sebab tak semua orang akan cerita masalah mereka. Kau jangan merendah diri sangat. Walaupun sekarang kau ditimpa masalah, tak bermakna kau tak boleh bangkit lagi.” Syafiq memberi nasihat. Dia mengintai anak-anak Zafrul di belakang melalui cermin. Comel!
“Betul juga tu. Sebelum aku diuji, aku hidup mewah sangat. Setiap bulan mesti kami pergi bercuti. Mujur sekarang anak-anak dah boleh biasakan diri. Mereka faham agaknya keadaan aku dengan Amna yang terbaring di atas katil.” Andai diberi peluang lagi, Zafrul mahu berusaha sebaiknya dan kembalikan kehidupan mereka yang lebih sempurna.
“Baik sungguh si kecil tu, langsung tak merengek,” puji Syafiq geli hati. Dia perasan si kakak ralit melayan adiknya yang celik mata.
“Itulah, dia pun jarang menangis. Tidur malam senang, tak selalu terjaga. Aku dah cukup rehat sekarang, dia dah besar kan.” Zafrul panjangkan tangan, mengangkat botol susu yang terjatuh ke atas karpet kereta.
“Kau ni asyik cakap pasal aku? Kau macam mana sekarang? Dah berpunya atau belum ni? Atau dah kahwin dengan Zahrah? Zahrah sihat? Dia masih tinggal di rumah keluarga kau?” soal Zafrul bertalu-talu. Zafrul mengenali Zahrah memandangkan mereka bersekolah di sekolah yang sama.
“Amboi banyak soalan. Tanya satu-satu bro!”
Zafrul ketawa perlahan. “Minta maaf, kau jawab mana yang kau rasa ada jawapan aje.”
“Aku belum kahwin. Takdir Allah, aku tak ada jodoh dengan Zahrah. Untuk pengetahuan kau, Zahrah dah meninggal dalam satu kemalangan tahun lepas, di London. Sekarang, aku bujang, tinggal dengan mama,” jawab Syafiq. Sebab itu, kondo dibiarkan tidak berpenghuni. Nak dijadikan rumah sewa, dia susah percaya kepada orang yang tidak dikenali.
“Innalillah, aku minta maaf. Patutlah aku tak pernah terima kad jemputan kahwin daripada kau. Nak buat macam mana kan kalau Allah dah menulis begitu. Cinta tak jamin selamanya bersama. Kau seorang yang kuat, Syafiq.” Tak semua boleh menghadapi kehilangan dengan mudah. Kehilangan boleh memerangkap kita dalam ruangan masa silam ,tak boleh hidup ke masa hadapan.
“Tak adalah. Aku ambil masa juga untuk pulih. Alhamdulillah , aku dah boleh perlahan-lahan lepaskan dia. Kau pun kuat, sebagai suami kepada Amna dan juga seorang ayah. Aku bangga dengan kau sebab kau bertanggungjawab, setia dengan mereka walaupun dalam kesusahan,” balas Syafiq. Dadanya semakin lapang daripada beban perasaan.
“Hanya dengan cara ini aku boleh balas jasa Amna sebagai seorang isteri. Dia bertarung nyawa lahirkan zuriat aku sehingga dia lumpuh. Sekelip mata, semuanya berlaku. Aku ingat lagi, sewaktu aku tolak dia ke labour room, dia sempat lagi bergurau dengan aku, main teka-teki anak aku mirip muka siapa. Aku ingatkan semuanya berjalan lancar. Aku terkejut bila doktor beritahu ada komplikasi serius berlaku.”
“Dia lebih kuat daripada aku. Setiap kali dia tengok anak-anak, sekali-sekala aje dia menangis. Dia pegang erat tangan aku seolah-olah minta aku terus bertahan. Amna sumber kekuatan aku, sungguh aku cakap!” Zafrul menyapu air mata di hujung mata. Dia menghela nafas mengawal sebak.
YOU ARE READING
HEALER
Roman d'amourHelena Zara- Penjaga kepada Happy Smile Hospice yang merupakan tempat untuk mereka yang sakit, tetapi gagal dalam proses perubatan dan hanya menunggu kematian. Helena dibesarkan di dalam keluarga yang penuh dengki, kebencian dan dendam. Akibat itu d...