“Kak Nani!” panggil Helena yang berusia 10 tahun. Tangan yang penuh calar dilambai ke arah kakak sepupu yang berteduh di bawah pokok.
“Helena, datang sini cepat!”
Helena berlari anak. Hujung kaki menyepit selipar yang hampir putus. Penampilannya cukup menyedihkan. Baju dan seluar yang compang-camping, rambut yang kusut dan tidak disisir, serta kulit yang tidak bersihkan, penuh dengan daki. Kuku yang panjang pula hitam, tidak dipotong rapi.
“Kakak dapat berapa duit? Helena tak dapat banyak, ada ….” Helena mengira kepingan duit kertas yang ada di dalam bakul.
“Sepuluh ringgit aje. Padahal, dah lama Helena berdiri di situ…” Helena sedih. Tak tahu apa nasibnya apabila pulang nanti.
“Tak apa, awal lagi. Nanti Helena mesti dapat duit yang banyak daripada kakak,” pujuk Hanani. Tompokan hitam di pipi Helena disapu dengan ibu jari.
“Helena lapar tak?” soal Hanani. Dia pula mengira duit yang berjaya dikumpul setelah tiga jam mengutip sedekah di tepi jalan.
“Sikit! Helena sengih, menampakkan gigi yang kuning.
“Tadah tangan,” pinta Hanani.
“Kak Nani nak buat apa?” tanya Helena namun tangan dihulur juga.
“Nah seringgit! Boleh beli aiskrim potong periksa coklat. Helena suka kan?” Hanani tutup tapak tangan Helena dengan duit kertas berwarna biru.
“Terima kasih!” baas Helena teruja lantas memeluk Hanani dengan erat.
“Bila Helena besar dan kaya nanti, Helena akan balas jasa kakak. Helena sayang kakak tau.” Helena meletakkan pelukan. Duit seringgit dimasukkan ke dalam poket seluar yang berlubang kecil, muat satu jarinya.
“Janji?” Hanani pegang tangan Helena.
“Janji!”
“Cik Helena!”
“Cik Helena!”
Helena buka mata, goncangan pada badan masih terasa. Mata Helena yang merah menemui sepasang mata Kak Peah yang berjaya membawa Helena keluar daripada ingatan silam.
“Kak….Peah……” Bibir Helena bergetar. Pipi juga basah dengan air mata.
“Cik Helena….” Kak Peah tarik tubuh Helena ke dalam dakapan erat. Belakang tubuh Helena diusap penuh kasih. Setiap usapan itu diselangi dengan esakan yang semakin kuat.
“Cik Helena dah selamat di sini, jangan takut. Hapuskan segala kenangan yang sakitkan diri. Sampai bila Cik Helena nak seksa diri sendiri,” pesan Kak Peah lebih ke arah memujuk. Anak rambut Helena yang melekat di pipi diselit di belakang telinga.
Helena diam tak berkutik. Baki air mata dilap dengan tapak tangan, alhamdulillah Helena berjaya tenang.
“Saya hantar Cik Helena ke bilik sebelum orang lain nampak Cik Helena.” Kak Peah membantu Helena untuk berdiri. Dia tidak mahu ada mata lain yang melihat Helena dalam keadaan lemah sebegitu.
Helena angkat tangan Kak Peah daripada tangannya. “Saya boleh pergi sendiri.”
Belum sempat Kak Peah halang, Helena mengatur langkah. Kak Peah pula serba salah namun dibiarkan juga. Helena mungkin perlu masa untuk bertenang. Kak Peah pandang belakang badan Helena sehingga hilang dari pandangan.
“Dr Alisya, Cik Helena semakin lemah. Mimpi buruknya datang lagi. Apa yang perlu saya buat?” Kak Peah raup muka. Terbayang semula dalam fikiran keadaan Helena yang menyayat hati ketika pertama kali tiba di hospice, pada malam yang dingin dahulu.
YOU ARE READING
HEALER
RomantizmHelena Zara- Penjaga kepada Happy Smile Hospice yang merupakan tempat untuk mereka yang sakit, tetapi gagal dalam proses perubatan dan hanya menunggu kematian. Helena dibesarkan di dalam keluarga yang penuh dengki, kebencian dan dendam. Akibat itu d...