Bab 14

289 22 0
                                    

Bunyi kaca menghempas lantai berlawan dengan azan maghrib yang berkumandang melalui corong pembesar. Helena tekap telinga, badan rapat ke dinding kayu yang berlumut. Di hadapan mata, Hanani dipukul hanya kerana tidak membawa duit yang banyak. Badan Helena menggigil, apatah lagi apabila mata Hanani yang lebam jatuh pada wajahnya. Di bibir pula, darah mengalir sehingga ke leher.

"Lepaskan Kak Nani......Pak Cik Ali....jangan...Kak Nani sakit," rayu Helena ketakutan. Dia merangkak ke arah lelaki yang merupakan penjaga mereka berdua setelah ibu bapa masing-masing meninggal dalam satu kemalangan yang sama.

"Kau diam! Aku tumbuk muka kau, pecah nanti!" tengking Pak Cik Ali. Dia menendang perut Helena, belum sempat Helena mendekat.

"Nani minta maaf....Nani janji Nani bawa banyak duit untuk Pak Cik nanti...." ucap Nani dengan tenaga yang semakin berkurang. Dia terbaring di atas lantai kayu, ada cecair melekit terasa di setiap helaian rambut. Setiap inci tubuh seperti disiat dengan pedang, pedih!

"Jangan buat lagi...." Helena merayu lagi. Dia pegang kaki lelaki yang masih dikuasai syaitan. Tendangan yang terkena tepat pada perut memburukkan lagi keadaan Helena yang sedang menahan lapar. Kali terakhir dia menjamah makanan ialah pada dua hari yang lalu.

Ali serabut dengan esakan Helena dan tangisan Hanani yang menguasai rumah itu. Dia menarik rambut Helena, memaksa Helena berdiri.

"Sakit Pak Cik...." Helena memegang tangan Ali dengan harapan kesakitannya akan berkurang.

"Kak Nani....." rintih Helena meminta pertolongan daripada Hanani yang sudah separuh sedar.

Tanpa kewarasan akal, Ali angkat Helena semata-mata untuk menghempas badan kanak-kanak perempuan itu ke lantai. Pandangan Helena kelam secara tiba-tiba. Bunyi kayu patah disangkakan tulangnya sendiri. Tangan yang tergantung di udara pula mendarat di atas kaca, tersiat kulit sehingga darah merencik keluar.

Tidak cukup dengan itu, Ali cengkam kedua-dua bahu Helena sekuat hati. "Aku dah cakap tadi, jangan masuk campur! Tengok, kau yang sakit."

"Dengar sini, lain kali kutip duit banyak sikit. Kalau orang tak nak bagi, kejar sampai dapat. Kalau orang tak ada, cari tempat yang ramai orang. Faham! Aku nak duit banyak!" Ali meludah ke atas muka Helena. Helena gigit bibir, tidak mahu lendir pekat mengalir masuk ke rongga mulut.

"Dasar budak-budak bodoh. Korang ingat ada sekolah yang nak terima korang, dahlah bodoh, miskin, menyusahkan aku. Kalau mak bapak korang tinggalkan harta segunung tak apalah, ini satu sen tak ada. Korang berdua bala dalam hidup aku. Bala! Bala! Bala!" amukan Ali belum berhenti. Beberapa buah buku cerita dan alat tulis milik Helena dilempar ke jendela.

Sejak Hanani dan Helena tinggal di rumah pusaka tinggalan itu, hidup mereka berdua seperti neraka. Awal pagi sebelum subuh sudah ditinggalkan di tepi jalan sebagai peminta sedekah. Malam barulah boleh memejamkan mata dengan perut yang dipenuhi angin, berlarutan selama beberapa hari. Jika bernasib baik, makanan dalam tong sampah akan jadi hidangan utama walaupun ada yang basi, busuk malah berulat.

Esakan Helena berhenti. Matanya hampir tertutup rapat, tak merasai kesakitan lagi. Aneh! Apa yang dilihatnya sebelum lena mengulit, Pak Cik Ali mengheret tubuh Hanani ke pintu, ada tali melilit di tangan. Nampaknya, Hanani akan ditambat pada pokok kelapa di bawah. Entah berapa lama Hanani perlu berbumbungkan langit tidak kira siang atau malam.

"Maafkan Helena......"

Helena mengusap parut di pergelangan lengan, masih terasa seolah semalam berbekas. Helena bersandar pada kerusi dengan kaki bersilang. Bunga bulan berkembang mekar di bawah sinaran purnama yang terang. Helena menatap dada langit, bulan bertemankan bintang yang berselerak. Helena cemburu bagaimana malam yang gelap itu sudi didatangi bulan dan bintang yang bercahaya, saling mendakap setia.

HEALER Where stories live. Discover now