Syafiq resah melihat ada budak lain yang dipujuk oleh Puan Marina. Budak perempuan itu selalu menangis, terutamanya apabila isu tempat tinggal dibangkitkan. Sudah tiga hari perkara yang sama berlarutan, bahkan nama pun belum terbit datipada mulut itu.
“Mama, dia okay tak?” tanya Syafiq prihatin. Tangannya ditarik oleh Puan Marina menuju ke bilik, takut perbualan mereka bergema.
“Entahlah, mama tak tahu lagi macam mana nak buat. Mama langgar dia, sepatutnya mama bawa dia ke hospital, bukan ke rumah. Kenapa mama tak fikir terlebih dahulu sebelum buat keputusan.” Puan Marina tepuk dahi. Tiga hari lepas, dia terlanggar seorang budak perempuan yang secara tiba-tiba muncul di atas jalan raya, di tengah-tengah laluan.
“Dia tak nak pergi hospital. Mama perasan tak bila mama kata nak rawat luka, dia meraung kuat. Syafiq pun takut, mama. Kesian juga kepada dia, mesti dah tak ada keluarga nak jaga dia. Kalau dia ada keluarga, mesti dia tak jadi macam tu kan.” Syafiq gerun melihat tangan kaki budak itu berbirat merah, ada yang sudah berparut.
“Amboi, pandainya anak mama. Terima kasih sebab Syafiq faham mama. Syafiq tak kisah dia tinggal di rumah kita?” Puan Marina mengusap pipi anaknya yang baru berusia sepuluh tahun. Syafiq petah bercakap, sejak kecil lagi sehingga banyak kali disangka lebih tua daripada usia sebenar.
“Tak kisah. Mama selalu pesan kita kena tolong orang yang memerlukan. Papa pun tak ada nak tolong mama, mama mesti takut kan? Mama, bila papa nak balik?” Syafiq sandar muka pada lengan Puan Marina. Dia merindui sosok seorang ayah yang sudah seminggu berada di luar negara atas urusan kerja.
“Mana ada mama takut, Syafiq kan ada!” Puan Marina kucup ubun-ubun anak lelakinya itu.
“Papa balik minggu hadapan. Mama ada cadangan untuk selesaikan masalah ni, papa setuju, galakkan lagi,” jelas Puan Marina. Dia bersila di atas katil dengan memangku kepala Syafiq .
“Kita tak tahu siapa dia. Bahkan nama, panggilan pun tak ada jawapan bila ditanya. Cuma satu, dia ada sebut tentang adik. Beberapa kali juga dia mengigau, jerit adik.”
“Mama fikir mama nak biarkan dia di sini. Kalau tak ada orang yang datang cari dia, mama nak ambil dia sebagai anak angkat, jadikan dia sebagai anak mama juga. Mama minta maaf sebab mama tak tanya Syafiq terlebih dahulu. Mama serba salah dengan Syafiq sebab Syafiq budak-budak lagi, tapi dah perlu dengar luahan hati mama macam orang dewasa.” Pipi Syafiq yang tembam dicubit manja. Dia membuat keputusan sebegitu bukan kerana simpati, namun hatinya sudah terjatuh sayang.
“Mama, Syafiq dah besar. Memang Syafiq sepuluh tahun, tapi Syafiq dah tak pergi tadika. Tak lama lagi, Syafiq dah nak ambil UPSR. Anak mama dah besar lah,” dalih Syafiq. Pipi Puan Marina turut dicubit sebagai balasan.
“Baiklah Tuan Syafiq!” Puan Marina memberi tabik hormat, sengaja bergurau menceriakan suasana.
“Syafiq….”
“Ya mama,” jawab Syafiq manja.
“Dia kan tak ada nama. Mama fikir mama nak namakan dia Nur Zahrah. Cantik tak nama tu?” Puan Marina meminta cadangan daripada Puan Marina. Dia telah bertindak jauh walaupun perkara masih tidak jelas. Masih banyak perkara yang perlu diselesaikan.
“Cantik! Syafiq suka!” balas Syafiq teruja kerana tak lama lagi, dia akan ada kawan baharu, teman bermain.
“Syafiq!”
“Syafiq!”
Puan Marina terus menggoncang tubuh Syafiq yang terbaring di atas sofa.
“Syafiq!” jerkah Puan Marina di cuping telinga anak lelakinya itu.
Syafiq membuka mata yang masih berat perlahan. Cahaya lampu daripada tepi meja menyilaukan mata. Syafiq bangkit daripada pembaringan, bersandar pada sofa.
YOU ARE READING
HEALER
RomanceHelena Zara- Penjaga kepada Happy Smile Hospice yang merupakan tempat untuk mereka yang sakit, tetapi gagal dalam proses perubatan dan hanya menunggu kematian. Helena dibesarkan di dalam keluarga yang penuh dengki, kebencian dan dendam. Akibat itu d...