Helena lihat pantulan dirinya di cermin. Anak rambut yang dibiarkan terjuntai di dahi dikemaskan. Helena angguk kecil, berpuas hati dengan penampilannya. Helena lengkapkan penampilannya pada hari itu dengan seutas rantai berlian sepadan dengan dress putih yang labuh melepasi lutut.
Setelah itu, Helena keluar dari biliknya, menuju ke bilik mesyuarat yang terletak di lobi. Helena melangkah perlahan walaupun dia tahu dia sudah terlambat. Di lobi, ruang itu dipenuhi dengan calon-calon yang ingin datang mencuba nasib.
“Cik Helena…” Noah menarik pintu buat Helena. Di dalam bilik itu, Kak Peah dan Abang Shah sudah mengambil tempat mereka.
“Dr Syafiq mana?” cetus Helena apabila tidak dapat melihat lelaki itu.
“Abang Syafiq ke bilik Puan Sri Linda. Dia akan bawa Puan Sri ke sini,” jawab Noah sambil tangan menarik kerusi buat Helena. Dia juga duduk di sebelah Abang Shah yang gementar kerana Helena memanggil mereka secara tiba-tiba.
“Cik Helena, ada apa-apa yang tak kena ke? Macam ada perkara yang penting, Puan Sri Linda pun termasuk sekali?” Kak Peah cuba mendapatkan maklumat lanju. Dia membalas pandangan Abang Shah dan Noah secara bergilir-gilir.
“Penting! Kita tunggu Puan Sri Linda sekejap,” balas Helena dengan riak tenang.
Tok! Tok ! Tok!
Pintu diketuk dari luar. Noah berdiri, menarik pintu bagi memudahkan kerja Syafiq. Syafiq menolak kerusi roda milik Puan Sri Linda rapat ke meja. Apabila Syafiq angkat muka, mata hitamnya bertemu dengan mata coklat milik Helena. Syafiq pantas alihkan pandangan, melabuhkan punggung di sebelah Noah.
“Dr Syafiq beritahu Helena ada perkara penting nak beritahu aunty. Tak ada masalah kan sebab aunty tengok di lobi dah ramai yang datang. Temu duga bermula pukul sepuluh pagi, dah tak lama Helena.” Puan Sri Linda risau jika rancangannya tergendala. Hatinya yang riang serta merta menjadi kelam mendengar perkhabaran daripada Syafiq beberapa minit yang lalu.
“Maaf Puan Sri, saya terpaksa batalkan semuanya. Kita tak boleh teruskan.” Helena menggugurkan bom.
Puan Sri Linda termangu, tiada angin tiada ribut, mengapa Helena boleh mengubah fikiran.
“Tapi kenapa? Helena dah tak berminat lagi dengan tawaran aunty? Helena nak aunty bayar berapa? Aunty sanggup, aunty pernah cakap juga. Tolong Helena, persiapan semua dah siap,” rayu Puan Sri Linda. Dia raup muka, gusar memikirkan impiannya akan berkecai.
“Bella tipu aunty, dia tak sanggup beritahu perkara yang sebenar. Sejujurnya, dia dah ada pilihan hati dia sendiri jadi dah tak ada guna semua ini. Bella dah ada buah hati, Puan Sri Linda.” Helena berkata jujur, dia mendengar sendiri pengakuan daripada Bella tempoh hari.
“Apa?” suara Abang Shah dan Kak Peah bergema serentak.
Syafiq pula tersandar pada kerusi. Firasatnya tidak salah. Mujur dia meminta Helena untuk bercakap dari hati ke hati dengan Bella. Jika tidak, sampai bila-bila Bella akan tanggung derita, berkahwin kerana terpaksa.
“Aunty tak tahu….aunty…..” Puan Sri Linda pegang kepala yang mula berdenyut.
“Bella berhak jelaskan segalanya kepada aunty.” Helena pandang ke arah pintu.
Melalui pintu yang terbuka, muncul Bella yang pantas ke arah Puan Sri Linda, berlutut di kaki yang bergelar ibu. Bella tidak berseorangan, di belakang nya berdiri seorang lelaki yang tidak asing.
“Ibrahim!” Abang Shah dan Kak Peah berdiri secara spontan. Noah pandang Syafiq, yang juga tidak tahu menahu apa yang berlaku.
Ibrahim tundukkan kepala, tidak berani melihat wajah yang lain di situ. Ibrahim lap peluh dingin di dahi. Melalui ekor mata, dia sedar pandangan Helena tembus ke mukanya.
YOU ARE READING
HEALER
RomanceHelena Zara- Penjaga kepada Happy Smile Hospice yang merupakan tempat untuk mereka yang sakit, tetapi gagal dalam proses perubatan dan hanya menunggu kematian. Helena dibesarkan di dalam keluarga yang penuh dengki, kebencian dan dendam. Akibat itu d...