SEUSAI solat Asar berjemaah di masjid, Liyana ingin segera ke rumah Puan Yasmin untuk membantu beliau memasak. Pada masa yang sama, dia berasa gugup untuk menapak kaki untuk pertama kalinya di rumah keluarga Fattah. Dia begitu segan dengan Fattah. Kalau sahaja peristiwa dulu tidak berlaku dek dua sahabatnya tidak memberitahu perkara yang sebenar kepada Fattah, mungkin dia tidak akan berasa segan atau gemuruh saat berhadapan dengannya. Fattah tidak akan tahu bahawa Liyana telah menyimpan perasaan terhadapnya sejak tahun pertama pengajian lagi.
Semua yang berlaku adalah silapnya. Dia tidak boleh menyalahkan dua orang sahabatnya kerana dia tahu mereka amat mengambil berat terhadapnya. Tetapi, menceritakan hal yang sebenar bukanlah jalan penyelesaian untuk dirinya. Kerana dia sedar untuk mendapatkan orang yang kita sayang dan cinta tidak semudah yang kita sangkakan. Tidak hanya dengan mengucapkan 'saya suka awak', si dia terus menerima dan bersetuju. Itu sangat mustahil bagi diri Liyana. Ada kalanya kita pasti kecewa kerana sayang kita selama ini hanyalah bertepuk sebelah tangan. Biarpun Liyana tidak mendengar sendiri balasan daripada Fattah ketika itu, dia sendiri boleh mengagak dengan riak senyap Fattah. Tiada reaksi.
Dia bukanlah orang yang terlalu mengharapkan cinta manusia. Kerana dia tahu dia akan kecewa.
Liyana memberhentikan kereta di hadapan sebuah banglo milik keluarga Fattah. Dia cuba membuang segala perasaan gelisah dalam hatinya dan cuba membetulkan niatnya hanya untuk membantu Puan Yasmin memasak.
"Assalamualaikum makcik Yasmin." Liyana menyalami tangan Puan Yasmin.
"Waalaikumussalam Liyana. Jom masuk."
"Umi tak dapat datang tolong makcik masak hari ni sebab umi ada kuliah agama di masjid lepas Asar."
"Ohh tak apa. Memang setiap hujung minggu, umi Liyana tu akan mengajar kuliah agama di masjid."
"Mak cik duduk seorang ke dalam rumah ni?"
"Tak adalah. Fattah dan pakcik Ikmal ada dekat masjid. Sekejap lagi mereka pulang lah tu."
"Ohh...yang anak sulung makcik tu nama apa?"
"Syarifah Qamarina. Liyana panggil Kak Rina je nanti. In shaa Allah flight dia dari Indonesia akan tiba lewat petang nanti."
"Kak Rina belajar dekat sana?"
"Dia dah habis belajar dekat sana dan juga bekerja dekat sana."
Liyana mengangguk. Hebat juga anak-anak Puan Yasmin. Liyana membantu Puan Yasmin mengupas bawang dan sayur-sayuran. Pada masa yang sama, dia dapat mempelajari cara memasak daripada Puan Yasmin.
Sudah hampir sejam mereka memasak di dapur sambil berbual. Seketika, kehadiran Encik Syed Ikmal dan Fattah mematikan perbualan mereka.
"Liyana pun ada?" Encik Syed Ikmal senang hati apabila melihat ada orang yang membantu isterinya memasak.
"Haah bang. Saya yang ajak dia untuk berbuka sekali. Tapi tak sangka pula yang dia nak bantu saya sekali untuk memasak. Senang hati saya."
"Bagus lah tu. Sekurang-kurangnya awak ada teman memasak."
Puan Yasmin mengukir senyuman lebar. Liyana sudah tersipu-sipu.
"Ni, pukul berapa agak-agak Rina dan Balqis sampai?"
"Tadi Rina call saya flight dia tiba dalam pukul 7.30 malam."
"Ohh...tak apalah, nanti Fattah pergi ambil kakak dan Balqis ya?"
Fattah sekadar mengangguk. Mendengarkan nama Balqis itu, hatinya menjadi tidak tenteram. Sesekali dia memandang Liyana yang masih tekun memasak dan membantu ibunya di dapur. Dia sendiri tidak tahu apa yang dirisaukannya. Yang pasti dia keliru kenapa Balqis mahu kembali semula ke sini?
YOU ARE READING
HANYA KAMU
RandomMemiliki perasaan suka dan cinta itu adalah fitrah bagi manusia. Cinta dalam diam sebagaimana layaknya cinta Saidatina Fatimah kepada Saidina Ali. Liyana Hayfa, seorang wanita muslimah yang berusaha menjaga maruah dan hatinya daripada tertarik kepa...