2 Ramadan, 2018
SENYUMAN manis terukir saat dia menatap gambar itu. Jantung pula hampir berdebar-debar saat menunggu panggilan untuk penerbangan seterusnya yang mana penerbangannya untuk pulang ke tanah air. Dia begitu tidak sabar untuk bertemu dengan keluarga tercinta setelah sekian lama berpisah hampir tiga tahun. Tujuan utamanya untuk ke luar negara adalah untuk menuntut ilmu. Selepas itu, barulah dia dapat menghabiskan masa lapangnya bersama dengan mereka.
Saat dia mendengar panggilan di kawasan tempat duduk itu, segera dia menyimpan semula gambar yang begitu berharga sekali untuknya. Liyana berdiri dan membawa barang-barangnya untuk dibawa naik bersama ke dalam kapal terbang.
Manusia berpusu-pusu menuju ke kawasan pelepasan untuk mendaftar diri di Lapangan Terbang Heathrow, London.
Selepas hampir enam belas jam penerbangan ke Kuala Lumpur, Liyana turut berasa penat kerana tidak dapat tidur dengan lena di dalam kapal terbang. Namun, dia gagahkan diri untuk berjalan supaya dapat sampai ke rumah dengan bertenaga. Tiada siapa yang bakal menjemputnya di KLIA kerana dia sendiri yang ingin membuat kejutan kepada keluarganya dengan kehadirannya di rumah nanti.
Teksi KLIA sudah pun bersiap sedia untuk menjemput penumpang. Liyana membantu pak cik teksi itu biarpun pak cik itu melarangnya untuk tidak membantunya. Namun, inilah sikap Liyana yang suka membantu sesama manusia. Tambahan pula, dia berasa serba salah kerana barangnya terlalu banyak untuk diangkut oleh pak cik teksi itu.
Jarak perjalanan untuk ke rumahnya memakan masa selama tiga puluh minit. Dalam perjalanan itu, dia berpeluang untuk melihat kota raya Kuala Lumpur. Walaupun nampak sibuk hampir setiap hari, namun dia perlu tahan dengan kesibukan kota raya itu.
"Terima kasih, pak cik." Ucap Liyana selepas pakcik itu mengeluarkan semua barangnya dari bonet belakang kereta.
"Sama-sama. Selamat bercuti ya." Balas pakcik itu mengukir senyuman.
Liyana membalas dengan senyuman lebar dan mengangguk.
Dia memandang halaman rumahnya yang sunyi. Tiada orang. Banglo dua tingkat yang tersergam indah itu dipandang sambil tersenyum. Dia merindukan orang-orang di dalam rumah itu.
"Liyana Hayfa?"
Liyana kembali ke arah seseorang yang memanggil namanya. Dia tersenyum dan terus menerpa ke arah orang itu.
"Mak Kiah!" Tubuh Mak Kiah dipeluk erat.
"Ya Allah, Liyana. Bila sampai ni? Kenapa tak bagitahu?"
Liyana meleraikan pelukan. Yana baru sampai tiba tadi. Yana saja tak nak bagitahu Mak Kiah dan keluarga Yana sebab Yana nak buat surprise.
"Ya Allah, Yana. Macam tu pulak. Dah, jom masuk. Hajah mesti gembira bila tengok anak dia dah balik."
"Jom."
"Hajah, Hajah!" Laung Mak Kiah memanggil Hajah Fazilah.
Sementara itu, Liyana memandang di sekeliling ruang tamu rumah. Tidak banyak berubah segala peralatan di dalam rumah itu. Tetapi masih nampak kemas dan rapi. Bagus Mak Kiah menjaga rumah mereka.
"Ya ya! Datang ni. Kenapa?"
"Haa tengok ni siapa datang?"
Hajah Fazilah turun dari tangga dengan berhati-hati. Cermin matanya ditolak rapat ke wajah.
"Liyana?"
"Ya, umi. Yana dah balik." Liyana terus menerpa tubuh uminya dan memeluknya dengan erat.
"Alhamdulillah. Anak umi dah balik. Kenapa tak bagitahu ni? Boleh umi suruh Pak cik Roslan pergi jemput Liyana."
"Yana sengaja nak buat kejutan." Liyana tersengih.
"Ish kamu ni. Apa-apa pun, umi bersyukur sangat Yana dah balik dengan selamat."
Liyana mengukir senyuman yang lebar. Tiada siapa yang dirinduinya melainkan insan-insan di dalam rumahnya ini.
LIYANA memasuki biliknya yang ditinggal selama tiga tahun. Juga masih tidak berubah. Segala peralatan masih berada di tempat yang sama. Mak Kiah hanya datang membersihkan bilik ini sahaja. Sehinggakan gambar-gambar bersama dengan sahabat-sahabatnya dahulu pun tidak berubah tempatnya. Satu persatu Liyana Hayfa melihat gambar-gambar itu. Timbul perasaan rindu akan sahabat-sahabatnya itu.
Matanya tertancap ke arah satu gambar yang tidak asing dalam hidupnya. Gambar yang serupa disimpannya bertahun-tahun lamanya.
Bibir mengukir senyuman nipis. Sungguh dia merindui seseorang di dalam gambar itu Namun, hatinya terusik. Seseorang itu telah pergi buat selama-lamanya. Bukan pergi meninggalkan dunia tetapi pergi meninggalkan hatinya. Tetapi hati itu lah yang cuba untuk menguatkan diri sendiri.
UMI membuka pintu bilik Liyana. Dia melihat Liyana sedang tekun mengaji al-Quran.
"Yana?"
Liyana berhenti seketika dan melihat kelibatnya Hajah Fazilah di luar biliknya.
"Ya umi?"
"Yana nak ikut terawih sekali di masjid?"
"Boleh boleh. Yana memang berniat ingin pergi terawih malam ni. Umi nak pergi sekarang ke?"
Hajah Fazilah mengangguk. "Lagipun, dah nak masuk waktu Isyak."
"Baiklah umi." Liyana menutup Quran kecilnya sebelum mencium dan membaca doa.
SOLAT terawih di masjid di kawasan perumahan itu biasanya akan selesai pada jam 10 malam. Masjid itu menjadi meriah tatkala tiba musim Ramadan kerana manusia berpusu-pusu untuk menunaikan solat terawih. Dan kebiasaannya selepas terawih, akan disediakan moreh iaitu jamuan kecil-kecilan untuk para Jemaah.
"Umi, umi selalu datang ke masjid ni ke?" Soal Liyana selepas mereka selesai bermoreh dan bersiap sedia untuk pulang.
"Setiap masa, Yana. Masjid ni sudah bagai rumah kedua umi. Selepas arwah ayah pergi, ayah mengamanahkan umi untuk sentiasa mengimarahkan masjid ni."
Liyana mengangguk. Arwah ayahnya iaitu Haji Farid telah meninggal dunia sejak tiga tahun yang lalu sebelum Liyana membuat keputusan menyambung pengajian Master di London. Bukan Liyana tidak tahu, arwah Haji Farid dahulu merupakan bilal tetap di masjid itu. Setiap waktu azan, arwah akan melaungkan azan dengan merdu.
Hiba pula perasaan Liyana ketika ini apabila mengenangkan jasa arwah ayahnya kepada masjid ini. Sudah tiga tahun dia meninggalkan masjid ini yang merupakan rumah arwah ayah sejak bersara.
"Kalau macam tu, nanti Yana boleh tolong umi mengimarahkan masjid ini. Yana boleh tolong umi kemaskan barang-barang di masjid tu." Liyana mempelawa dirinya.
Hajah Fazilah sekadar tersenyum. "Boleh. Tapi, Yana kan nanti bekerja. Tak perlu tolong umi setiap masa di masjid ni."
"Kalau hujung minggu?"
Boleh. Terima kasih Yana.
"Sama-sama umi. Kalau ini dah rumah kedua buat umi, juga rumah kedua untuk Yana."
Hajah Fazilah tersenyum lebar. Suka hatinya melihat perubahan Liyana yang semakin menghargai peninggalan arwah ayahnya. Beliau begitu berharap agar keputusan anaknya untuk belajar di London dapat mengubat hati Liyana yang lara.
LIYANA membuka laptopnya di atas meja sebelah katil. Hatinya berharap agar dia akan mendapat sesuatu yang menggembirakan hatinya. Bahagian email dibuka sambil membaca basmalah. Setelah itu, matanya tertancap ke arah satu email yang baru sahaja masuk. Dibuka email itu dengan perasaan yang berdebar-debar.
"Alhamdulillah." Hanya itu ucapan yang mampu diucapnya berkali-kali saat ini. Syukur dipanjatkan kehadrat Illahi. Telefon dicapai di sisi. Liyana terus memberitahukan hal itu kepada Hajah Fazilah melalui mesej kerana uminya sedang berada di masjid.
YOU ARE READING
HANYA KAMU
RandomMemiliki perasaan suka dan cinta itu adalah fitrah bagi manusia. Cinta dalam diam sebagaimana layaknya cinta Saidatina Fatimah kepada Saidina Ali. Liyana Hayfa, seorang wanita muslimah yang berusaha menjaga maruah dan hatinya daripada tertarik kepa...