Bab 3 : Kerana Aku Untukmu

244 12 0
                                    

Bab 3
Lena Zenia terganggu dengan bunyi deringan telefon bimbit yang berjaya memecah gelembung mimpi indahnya. Tak sedar bibir keluhan geram. Orang dahlah tengah syok mimpi nak ngap cupcake tadi, boleh pulak dia terjaga dek panggilan dari entah siapa itu. Dah tak pasal-pasal siang  nanti dia kena cari bakeri nak hilangkan rasa teringinnya.

Dengan kelopak mata masih memberat, tangan mula sibuk teraba-raba mencari telefon bimbit yang entah di mana letaknya. Bertemu apa yang dicari, mata dibuka kecil untuk melihat skrin yang sedang menyela terang itu. Dalam hati dia dah boleh mengagak siapa yang buat kacau pada waktu-waktu begini. Maklumlah dah biasa.

Dan tatkala sebaris nama itu tertayang jelas , Zenia terus mengeluh malas. Lebih-lebih lagi saat menyedari yang jam sudah pun melepasi pukul tiga pagi. Time-time macam ni baru jumpa jalan balik ke rumah, baik tak payah balik terus. Menyusahkan orang aje!

"Hello..." Sapa Zenia dengan suara mendatar saja. Menyimpan geram dalam hati.

​"I dekat luar ni, bukak pintu cepat!"

"Apa you ni? Kunci rumah you mana?" Mulut mula menyoal dengan nada bengang. Dah jadi kerja pula tiap-tiap pagi dia nak kena bukakan pintu. Annoying betul!

"You ni apehal, hah? Kalau I ada kunci, takkanlah I suruh you bukakkan pintu. Fikirlah sikit, jangan jadi bodoh sangat!"
Zenia terus mencebik tatkala suara itu melantun kasar di tepi telinga. Dah tahu  nak menyusahkan orang, berani pulak nak marah-marah kita tu! Gerutu hatinya penuh jengkel.

Malas mahu memanjangkan perbalahan yang pasti takkan berpihak kepadanya, Zenia cepat-cepat putuskan talian. Lagipun dia tahu tak ke mana hasilnya kalau asyik melayan kepala angin lelaki seorang itu. Kalau dia pun tunjuk sikap baran yang serupa, memang lebih kecoh jadinya. Silap-silap semua jiran tetangga terbangkit sama. Semua tak merasa nak makan cupcake dalam mimpi.

Sebelum keluar dari kamar tidurnya, sempat juga tangan Zenia menyarung sleeping robe satin berwarna merah jambu ke badannya. Kemudian perlahan-lahan kaki  mengatur  langkah menuju ke tingkat bawah. Suram saja suasana di sini kerana hanya diterangi lampu meja di atas kabinet TV di hujung ruang tamu.

Setelah membuka kesemua selak dan kunci di pintu utama, daun pintu segera dikuak luas. Dan kini di ruang mata Zenia, terjengul wajah Fakhry yang kelat dan masam mencuka. Punyalah tajam anak mata lelaki itu yang merenung  tepat kepadanya.

"Yang you ni lembab sangat bukak pintu dah kenapa? You turun dari bulan ke apa?"

Zenia menjeling geram apabila susah payahnya sering dipandang remeh. Tak pernah nak appreciate, jauh sekali nak berterima kasih. Well, nak cakap apa lagi kalau Fakhry memang spesies hati beku!

"You mabuk lagi, Fakhry?"
"Shut up. It's none of your business!"
"Tapi you tahu kan yang I tak suka..." Kata-kata Zenia termati tatkala Fakhry mengangkat sebelah tangan. Memberi isyarat supaya dia menutup mulut dan jangan membebel.

"You jangan nak berleter macam mak nenek, boleh tak? I penat dan I nak tidur!"

Melihat jalan lelaki itu yang terhuyung hayang serta bau tajam alkohol yang menusuk ke hidung, hati Zenia semakin perit. Tanpa mempedulikan reaksi kurang senang yang terpeta di mukanya, selamba saja Fakhry menolak dia ke tepi. Kemudian terus melangkah masuk ke dalam rumah macam tak ada apa-apa yang berlaku.

Kesal dan terkilan sungguh hati Zenia bila melihat sikap Fakhry yang tak pernah menunjuk tanda mahu berubah. Bertahun-tahun, macam itulah perangainya. Dan sebelum menutup pintu, sempat juga dia menjenguk ke luar rumah. Manalah tahu kalau-kalau ada yang tertinggal tanpa sengaja. Lagipun bukan sekali dua Fakhry membawa teman wanitanya balik ke mari, dah banyak kali.

Dengan kelakuan sumbang yang dilakukan Fakhry di bawah bumbung yang sama dengannya, Zenia benar-benar makan hati dan menjeruk rasa. Sebab dia tak pernah sudi nak bersubahat dengan gaya hidup Fakhry yang terlalu liar dan bebas. Tak sanggup dia nak berkongsi dosa lelaki itu kerana dosa dia sendiri pun tak mampu ditanggung.

Tapi bercakap dengan Fakhry macam bercakap dengan tiang. Kau ceramahlah sampai berbuih mulut sekalipun, Fakhry takkan ambil pusing. Buat bodoh aje! Dah kerap sangat mereka bertengkar setiap kali dia menyuarakan rasa tidak puas hatinya. Cuma itulah, hujung-hujung dia pula yang dijerkah dan dimarah. Sampai habis segala barang dilempar ke dinding oleh Fakhry. Dasar kepala angin!

Setelah menutup dan mengunci pintu utama dengan rapat, Zenia berkira-kira untuk naik ke tingkat atas dan menyambung semula tidur yang terganggu. Namun saat terpandangkan Fakhry yang sudah terjelepok longlai di atas sofa, bibir melepas keluhan berat. Sebab dia tahu ada satu lagi tugas yang menanti.

Memang beginilah sikap Fakhry setiap kali balik dalam keadaan mabuk. Tidur ikut suka asal boleh landing kepala. Apa salahnya kalau berjalan terus masuk ke dalam bilik? Dan sekarang dah jadi satu kerja dia nak menguruskan lelaki itu pula.

Dalam pada merungut-rungut, Zenia melangkah juga ke bilik tetamu di tingkat bawah. Dicapai dua biji bantal dan selimut tebal sebelum kembali ke ruang tamu. Fakhry pula sudah syok berdengkur. Sudah jauh hanyut dibuai mimpi yang entah apa.

Dengan perasaan berbuku sebal, Zenia duduk melutut di hadapan Fakhry. Pergerakannya begitu tertib dan penuh berhati-hati. Bimbang jika lelaki itu tersedar dan naik angin seperti selalu. Kasut dan stoking yang tersarung di kaki Fakhry dia lucutkan. Kemudian tubuh tegap itu ditutup dengan selimut tebal bagi mengelak Fakhry kedinginan sepanjang malam. Kemudian Zenia meletakkan bantal di bawah kepala Fakhry supaya tidur lelaki itu lebih selesa.

Nafas dihela berat. Buat seketika mata merenung seraut wajah yang samar-samar di pandangan. Sungguh, semakin hari dia semakin bosan dengan kehidupan begini. Sampai bila dia perlu bersabar? Perlu menelan setiap kepahitan yang dihadiahkan oleh Fakhry? Dia pun manusia biasa juga. Manusia yang sangat teringin hidup bahagia dibaluti perasaan cinta.

Tapi dengan lelaki ini, mungkinkah semua itu mampu dikecapi?
Sekali lagi wajah tampan Fakhry direnung redup. Entah kenapa jalan takdir di dunia ini telah mengikat mereka berdua. Setakat bertemu mungkin dia taklah ralat sangat. Tapi sekarang takdir Tuhan telah meletakkan syurganya di bawah telapak kaki Fakhry. Jadi suka ataupun tidak, dia tetap perlu patuh dan tunduk dengan setiap kemahuan Fakhry.

Seperti wanita lain, Zenia juga punya impian yang penuh bahagia. Tapi malangnya dia langsung tidak diberikan hak untuk memilih. Tak berpeluang untuk mencari siapa yang dingini dan didambakan oleh hati sendiri. Aturan Allah telah menempatkan dia di sisi Fakhry, dan dia tak pernah mengerti apa hikmah di sebalik perkahwinan ini.

Namun sebanyak mana pun menjeruk rasa, Zenia tahu dia terpaksa bersabar dan terus bertahan. Soal kebahagiaan atau angan-angan seindah hikayat dongeng, terpaksa ditolak ke tepi demi membalas budi yang pernah ditabur kepadanya.

Mungkin cinta tidak akan datang dengan sekelip mata. Dan Zenia harap dia mampu untuk belajar mencintai suaminya secara perlahan-lahan. Tapi semua itu hanya dapat direalisasikan dengan kesungguhan Fakhry sendiri. Asalkan Fakhry sanggup membuang satu per satu sikap buruk, sudah pasti dia akan cuba memberi peluang. Cuba membuka pintu hatinya.

Tapi boleh ke? Boleh ke Fakhry berjanji untuk berhenti bersukaria di kelab malam? Berhenti berfoya-foya dan tidak lagi meneguk arak? Atau berhenti membenci perkahwinan yang telah diatur oleh keluarga ini? Dah dua tahun pun usia perkahwinan mereka, takkan Fakhry masih belum letih lagi? Cukup-cukuplah. Mungkin mereka boleh mula cuba memupuk perasaan cinta di hati masing-masing. Jadi tak jadi, itu belakang cerita. Asalkan ada effort dan keinginan untuk mengubah hubungan ini menjadi sesuatu yang lebih baik.

Anak mata Zenia kembali berlari ke wajah Fakhy yang nampak tenang terlena. Hatinya kembali ditikam perasaan sayu dan pilu.

Tuhan, mahukah Fakhry melakukan semua itu demi mereka?

KERANA AKU UNTUKMU (Revamp version 2024)Where stories live. Discover now