Bab 8 : Kerana Aku Untukmu (2024)

143 9 1
                                    

Bab 8

Selesai bermesyuarat bersama ketua-ketua jabatan, Darriz Imdad terus masuk ke dalam bilik pejabatnya. Hari ini mood baik melayang entah ke mana. Ada saja benda yang tak kena di mata dan tak sedap di telinga. Dan sungguh, dia gagal mengawal perasaan sehingga angin panas di hati terbawa-bawa sampai ke meeting room.

Bukan seorang dua yang terpaksa menghadap muka kelat dan suara tegasnya, tapi ramai. Silap yang kecil pun sengaja dia besar-besarkan demi melempiaskan kemarahan di dada. Ah, teruk betul!

Sukar untuk Darriz Imdad menafikan yang hatinya sedang kecewa dan remuk redam kebelakangan ini. Pertama kali merasa nikmat jatuh cinta, dan pertama kali juga jiwa disakiti seteruk ini.  Cuma hakikat tetap hakikat. Tak ada sesiapa yang boleh dia tudingkan jari sebagai pesalah. Bukan Zenia, bukan Fakhry, bukan sesiapa. Sebab dia yang terlebih berangan-angan.

Belum pasti dan jelas dengan jenis si bunga, tangan dah gatal nak memetik. Yang terluka di jari, yang sakit di hati, bukan orang lain tapi diri dia sendiri.

Keluhan berat terlepas buat kali yang entah ke berapa di bibir Darriz Imdad. Sambil bersandar di kerusi, jauh menungannya terlontar ke depan. Sejak mendapat tahu yang Zenia isteri Fakhry, dia mula merungut kesal. Rasa bodoh sangat sebab beria-ia memuja tanpa memikirkan kesannya. Padahal Zenia sudah jatuh dalam kategori wanita yang tak patut dia idamkan. Dalam mimpi pun tak boleh!

Entah kenapa hatinya boleh tertarik dengan bunga yang tumbuh di laman orang. Padahal berlambak lagi bunga-bung cantik yang tumbuh melata di atas bumi. Ah, it's complicated!

Tangan naik meraup muka beberapa kali. Kalaulah perasaan resah dan gelisah ini dapat diusir melalui tapak tangan, pasti dia akan terus meraup dengan bersungguh-sungguh. Biar hilang bayangan Zenia. Biar terpadam harapan di hati sampai bila-bila.

Kebelakangan ini juga dia dan Zenia tak ubah seperti sudah bertukar tempat. Kalau dulu Zenia yang sering mengelak dan melarikan diri, sekarang giliran dia pula. Setiap hari dia resah dan bimbang kalau-kalau bertembung dengan Zenia. Risau jika hati ini tetap berdegil dan mahu terus mencuba nasib. Ah, this is crazy!

"Encik Darriz..."

Lamunan Darriz Imdad melenyap tatkala pintu bilik pejabatnya dikuak dari luar. Sekilas dia menoleh ke wajah Asmida yang manis bertudung. Menyedari langkah gadis itu semakin mendekat, kelam kabut tangan membelek fail di atas meja. Pura-pura busy.

"Encik Darriz tak nak join meeting dengan Finance Department ke? Semua dah ready tunggu Encik Darriz dalam meeting room." Asmida masih mempamer muka manis walaupun bosnya langsung tak mengangkat muka.

"Hmm.. sekejap lagi I masuk."

"Okay, noted. I dah prepare semua fail yang diperlukan. I pass dalam meeting room nanti boleh ke?"

"Sure, thanks." Darriz Imdad mengangguk sekali. Masih enggan memandang Asmida secara tepat.

"Kalau macam tu, I keluar dulu."
"Okay."

Setelah daun pintu biliknya tertutup rapat, Darriz Imdad kembali menyandarkan tubuh ke kerusi. Bibir diketap dengan perasaan semakin kalut. Jampi serapah apa yang patut dia baca untuk membuang perasaan di dada? Kalau dah terpandang muka Zenia, ayat apa pula yang patut dia sebut untuk memujuk hati sendiri? Ternyata mesyuarat kali ini bukan lagi yang dinanti-nanti.

​But, yeah. Feeling hurt is better than feeling nothing at all. Jadi kuat sajalah!



******

Sepanjang mesyuarat berlangsung, tak habis-habis Zenia mengerling jam di pergelangan tangan. Mesyuarat yang dijangka hanya mengambil masa dua jam, berlarutan sampai ke tiga jam. Dan sekarang dia semakin menggelisah. Sesekali anak mata jatuh kepada telefon bimbit di atas meja. Risau betul kalau ada panggilan atau 'mesej puaka' masuk ke situ. ​

KERANA AKU UNTUKMU (Revamp version 2024)Where stories live. Discover now