PENUTUP hud bonet keretanya dibuka dan sebatang penyodok tanah dikeluarkan dari belakang kenderaannya dan kembali melangkah ke sebelah tempat duduk pemandu, di situ pintu kereta dibuka dan debaran di dadanya kembali berdendang kala dia memandang bungkusan hitam itu. Entah kenapa gerak rasa hatinya tidak tenteram, seperti ada sesuatu yang tidak kelihatan ada bersama dengannya.
Adakah benar benda ini berpuaka?
Gumam hati kecil lelaki itu tatkala matanya mencerun ke arah bungkusan hitam yang tergeletak di atas kerusi sebelah pemandu.
"Ah... mengarut! Mana ada hantu!"
Dengan kasar dia memegang bungkusan hitam itu dan segera membawanya ke kawasan pantai. Lelaki itu berjalan meredah hembusan angin pantai yang menampar-nampar batang tubuhnya. Kedinginan dan kedamaian angin pantai yang menderu sedikit pun tidak menenteramkan perasaan yang terkandung di dalam dadanya. Dedaunan hijau cantik yang menjalar di atas pantai tidak dihiraukannya, dipijaknya tanpa memikirkan hidup atau mati tumbuhan itu, yang penting tujuan dan nawaitunya berjaya dilaksanakan pada hari itu juga.
Lelaki yang sedang memegang bungkusan hitam dan penyodok tanah itu berjalan lekas dengan memijak dedaunan itu sebelum berhenti di satu kawasan yang sunyi dan lapang. Setelah dia memastikan tiada sesiapa pun yang ada di kawasan itu, dia meletakkan bungkusan hitam itu di atas dedaunan yang bagaikan hamparan tikar di atas pasir pantai itu sebelum dia memulakan penggaliannya.
Setelah yakin dengan kedalaman yang telah digalinya, Iskandar sempat menyeka peluh di dahinya dan kembali mendapatkan bungkusan hitam yang tergeletak di sebelah kakinya. Dadanya yang masih berombak dengan nafas yang turun naik, reroma di tubuhnya meremang menegak. Hatinya terasa berat untuk menanam bungkusan itu, namun dia kuatkan semangatnya untuk meneruskan niatnya itu.
"Ah... semuanya mainan perasaan aku sahaja! Mengarut!"
Akibat berasa seperti dipermain-mainkan oleh perasaannya sendiri, baran lelaki itu datang lagi membakar ego di dalam dadanya. Bungkusan hitam yang di bawahnya itu dikoyak-koyak dan dicarik-carik dengan kasar maka terserlahlah isi di dalam bungkusan misteri itu, sebuah anak patung berambut kerinting kekuningan dan bergaun putih yang kini sudah berada di dalam genggamannya.
Aku tak tahu apakah yang ada dalam diri kau ini, sehingga mengganggu keluarga aku. Hari ini kau akan hilang dari atas dunia ini.
Seranah lelaki itu sebelum menghumban anak patung tidak bernyawa itu masuk ke dalam lubang pantai yang sudah digali hampir tiga kaki dalamnya itu. Pasir bercampur dengan tanah dihumbankannya ke dalam lubang yang sudah berisi dengan anak patung kesayangan anak gadisnya itu. Semakin lama semakin hilang dari pandangan lelaki itu apabila ditimbun dengan pasir dan tanah pantai.
Namun selepas lelaki itu menapak pergi, pasir tanah yang menjadi tempat semadinya anak patung itu secara tiba-tiba bergetar dengan sendirinya. Bergegaran seperti ada sesuatu yang menghuni di bawahnya akan bangkit bernyawa!
YOU ARE READING
PENUNGGU VILA NABILLA
HorrorTerlalu banyak kidah mengenai vila yang tersergam di puncak bukit itu. Kisah yang dibawa dari mulut ke mulut itu tiada satu pun yang boleh dibuktikan akan kesahihannya. Namun kita tidak boleh mrnafikan akan kebenarannya juga. Di antara versi yang di...