“KIMI!”
Panggil Amran yang masih kekal setia di hadapan papan Ouija, dia masih kekal berada di situ dengan tanpa mengangkat tangannya daripada terus menekan syiling permainan. Wajahnya sudah lencun dengan peluh yang masam, tangannya juga sudah menggeletar tanpa dapat ditahan lagi. Di hadapannya kini hanya Aini yang duduk bersila dengan menundukkan kepala sehingga juraian rambutnya yang keperangan panjang itu menutupi seluruh wajahnya.
“Kimi... datang semula ke sini!”
Laung Amran kali ini dengan lebih kuat sehingga bergema-gema suaranya terpantul di setiap dinding yang ada di dalam vila itu. Tiada sahutan, malah hanya suara Amran sahaja yang kedengaran mengisi seluruh ruang di dalam vila berpuaka itu.
“Kimi!” jerit Amran kali ini dengan lebih kuat.
“Tiada sesiapa yang akan mendengar suara kamu... Hi hi hi... Tiada siapa yang akan mendengar... Hi hi hi...” ulang Aini sambil tertawa halus sinis.
Amran menelan liurnya kala dia melihat Aini yang telah dirasuki itu sedang menggoyang-goyangkan kepala serta badannya seraya bergumam halus, nyaring tetapi halus. Seperti sedang mengalunkan irama yang sukar untuk dijelaskan oleh Amran sendiri. Dia semakin menjadi serba salah, kalau diikutkan perasaan takutnya, sudah pasti dia turut meninggalkan permainan Ouija itu dan lari selamatkan diri. Tetapi dia masih mampu bertahan, ini kerana dia tidak mahu sesuatu yang buruk bakal terjadi kepada Aini yang kini sudah dirasuk satu semangat yang dia sendiri tidak tahu datang dari mana.
“Spirit... spirit of the coin... aku arahkan kau pulang ke tempat asalmu!” tekan Amran keras. Dia cuba menguatkan semangat di dalam dirinya.
Aini yang masih duduk tertunduk dan menggoyang-goyangkan tubuhnya kiri dan kanan itu langsung tidak bertindak balas dengan arahan yang dilaungkan oleh Amran. Malah semakin rancak pula dia menghanyunkan badannya kiri dan kanan.
“Spirit... spirit of the coin... aku arahkan kau pulang ke tempat asalmu! Keluar dari tubuh Aini sekarang! Kau dengar tak?”
Kali ini Amran menengking dengan suara yang kuat, dan tindakan Amran itu seperti berkesan, tubuh Aini tidak lagi berhayun kiri dan kanan, malah Aini tunduk diam sahaja tanpa sebarang tindak balas. Diam tidak berkutik.
“A... Aini? Kau... kau okey?”
Amran yang masih setia menekan jari telunjuknya di atas duit syiling teragak-agak menegur Aini. Aini masih seperti batu, diam tidak bergerak-gerak, tunduk memandang ke arah lantai. Amran cuba bertahan, walaupun ketakutan mulai memanjat-panjat perasaannya ketika ini. Dia melingas kiri dan kanan seperti mencari sesuatu. Sekeliling kawasan tempat dia dan Aini berada ketika ini gelap gelita, hanya cahaya api dari sebatang lilin yang masih bertahan dan hampir terpadam meliuk lentuk menerangi papan Ouija.
“Kimi... mana kau? Kimi datang kat aku sekarang!” laung Amran seraya melilau cuba mencari di manakah rakannya Kimi berada.
Amran melihat ke arah telefon bimbit yang dia fikir masih merakam aktiviti itu. Telefon bimbit itu juga sudah gelap tidak bercahaya, tiada lagi rakaman siaran langsung sedang berjalan. Seperti yang telah mereka berempat rungutkan awalnya, kawasan itu liputan internet amat berat dan seringkali tersekat-sekat dan adakala langsung tidak ada talian. Amran menoleh serta-merta ke arah Aini apabila dia mendengar gadis itu tertawa seperti sedang mengejek.
“Ki... ki... ki...”
“Aini? Hei Aini... bangun! Lawan benda itu, jangan biarkan tubuh badan kau dikuasainya!” arah Amran kepada Aini yang masih duduk dalam keadaan menundukkan kepalanya itu.
Aini tidak membalas panggilan Amran, malah semakin kuat dan galak dia tertawa, dan ketawanya kedengaran begitu menjengkelkan!
“Aini!” sergah Amran sekali lagi.
Amran sudah hilang sabar dengan ulah rakannya itu, dia sebolehnya tidak mahu mengalah dengan mudah. Dia harus menyedarkan Aini daripada terus berada di dalam ruang lingkup ketidaksedaran diri.
Aini diam, tiada lagi kedengaran dia tertawa dan dia perlahan-lahan mendongak memandang ke arah Amran. Dari celah-celah juraian rambut yang mengurai menutupi wajahnya, tersorot tajam satu renungan dari bola mata yang merah!
“Ini vila aku! Ini vila aku!” bentak Aini yang disusuli dengan hilai tawa yang kedengaran menyeramkan!“He... he... he... heee…”
“Keluar dari tubuh Aini! Keluar kau dari tubuh Aini! Keluar!” arah Amran berkali-kali.
Aini tertawa mengekek, sesekali dia mendongak ke siling vila dan menggeleng-gelengkan kepala sehingga rambut panjangnya melibas-libas ke kiri dan ke kanan. Aksi Aini itu disaksikan Amran dengan seribu perasaan yang sukar untuk dijelaskan. Aini tersenyum menyeringai bersama liur yang berjejeran dan sesekali dia tertawa seperti tidak siuman.
Apa yang disaksikan oleh Amran itu membuatkan pemuda itu bercampur baur antara berasa seram dan juga sebak. Air matanya juga sudah bergenang di kolamnya, sebak melihat apa yang sudah terjadi kepada Aini ketika ini. Betapa penyesalan mulai bercambah di dalam perasaannya ketika ini. Amran nekad, upacara penyeruan semangat serta roh penunggu vila itu perlu ditamatkan dengan segera.
“Aini... kau dengar tak? Ini aku... Amran...” kelur Amran yang mulai mengendurkan tona suaranya.
“Hi... hi... hi...”
Aini tidak membalas keluran Amran, dia terus tertawa seraya mengelus-elus rambutnya yang mengurai seperti sudah hilang akal. Air mata Amran akhirnya tertumpah jua, dia berasa tersayat melihat keadaan sahabatnya. Dengan jari telunjuknya yang masih kekal di atas syiling Ouija, Amran menangis teresak-esak. Seandainya dia mengangkat jari telunjuk yang masih melekat pada syiling itu, sudah pasti sesuatu yang buruk bakal berlaku ke atas Aini, atau mungkin kepada dia dan Kimi juga. Kini hanya tinggal dia sahaja yang masih utuh di tempatnya, dan berharapan dapat memulihkan keadaan seperti sediakala. Segala kemungkinan yang bakal berlaku ke atas rakan-rakannya adalah terletak di atas pundaknya.
“Spi... spirit spirit of the coin... keluar kau dari tubuh Aini... aku merayu... keluar kau dari tubuh Aini...”
Amran mengulangi permintaan awalnya dengan tersekat-sekat bersama linangan air mata yang sudah membasahi pipinya. Aini masih seperti awalnya, menyeringai seraya menghayunkan tubuh kiri dan kanan. Wajah Aini juga sudah berkeringat dengan peluh masam, tercela sudah wajah cantiknya. Air mata Aini mengalir menyebabkan celak yang dipakai di mata sudah menjadi comot dan kelihatan menakutkan pada pandangan Amran, hendak-hendak lagi dengan jegilan bola mata Aini yang langsung tidak berkedip sejak awalnya.
Hati Amran diamuk resah, reromanya tidak henti-henti berdiri tegak. Keadaan Aini yang sudah dirasuk roh penunggu vila itu membuatkan suasana ketika ini semakin dirasakan tidak dapat dikawal lagi. Seandai terjadi sesuatu ke atas Aini, Amran mungkin tidak akan dapat memaafkan dirinya lagi, sampai bila-bila.
YOU ARE READING
PENUNGGU VILA NABILLA
HorrorTerlalu banyak kidah mengenai vila yang tersergam di puncak bukit itu. Kisah yang dibawa dari mulut ke mulut itu tiada satu pun yang boleh dibuktikan akan kesahihannya. Namun kita tidak boleh mrnafikan akan kebenarannya juga. Di antara versi yang di...