LUCY tersentak, dia bingkas bangun dengan termengah-mengah. Wajahnya pucat berembes dengan peluh. Debar di dadanya masih dirasakan berombak turun dan naik seperti baru sahaja selesai menamatkan larian pecut 100 meter layaknya.
“Aku... aku kat mana?” gumam Lucy bersama kehairanan yang tertancap ke mindanya.
Dalam kebingungan yang melanda fikirannya, Lucy bingkas berdiri dengan memandang kiri dan kanan tempat dia berada ketika ini. Lucy diam, dia mula menyedari dia seperti berada di satu tempat yang amat berbeza. Entah kenapa dia berasa perasaannya ketika ini amat tenang dan damai, malah tiada lagi perasaan seram dan takut yang mengongkong jiwanya seperti awal tadi. Bagaikan semuanya itu terhapus dengan sendirinya.
Dia umpama berada di dunia yang lain, bukan lagi berada di dalam vila berhantu. Malah dia sebenarnya seperti sudah terlupa tentang peristiwa berdarah di vila yang dia dan rakan-rakannya pergi awal tadi. Semua memori dan ingatan yang penuh sadis di mindanya tadi bagaikan terus lenyap.
“Ini seperti ruang bilik tidur yang aku jejaki tadi... tapi kenapa semuanya jadi terang benderang?” ujar Lucy bagaikan berkata-kata dengan dirinya.
Lucy melihat-lihat kiri dan kanan ruang kamar itu, tiada apa yang menarik perhatiannya kecuali dia terlihat sebuah potret tergantung tidak jauh dari tempat dia berada. Lucy memandang dengan lama gambar seorang gadis comel bergaun putih. Lucy berkerut kala memandang potret itu sehinggalah mindanya mulai teringat sesuatu.
“Aku seperti pernah lihat, adakah... budak perempuan ini yang...”
Lucy berteka-teki di hadapan gambar yang tergantung di dinding kamar itu. Dia menilik dan merenung dengan lama potret kanak-kanak perempuan itu, memang wajahnya mirip dengan kanak-kanak bergaun putih. Dia cuba mengembalikan ingatan yang samar-samar hadir di layar benaknya.
Lucy memicit kepalanya yang dirasakan amat berat, berdenyut-denyut dirasakannya bagaikan ada bebanan yang memberat di ubun-ubunnya ketika ini. Dalam kepayahan Lucy tetap cuba mengembalikan ingatan awalnya, dan semakin dia cuba mengembalikan ingatan semakin berat dirasakan memihit ubun-ubunnya. Akhirnya Lucy mengalah, melepaskan rasa lelah dan sesak di dada. Terlalu sukar kotak mindanya untuk kembali mengingati apa yang telah berlalu. Lucy perlahan-lahan kembali menoleh ke arah potret itu.
“Si... siapakah kau sebenarnya?” aju Lucy kepada potret misteri itu bersama kerutan di wajahnya.
Secara tiba-tiba ketenangan yang dirasainya mulai berubah, Lucy berdebar, tubuhnya meremang kasar sehingga dirasakan reroma di lengannya bergulung merinding. Detak jantung Lucy bergetaran, dari lirikan matanya dia terpandang ada satu susuk sedang berdiri kaku memandang ke arahnya. Lucy menoleh dengan sepantasnya, dan dia terus terkaku. Wajah budak perempuan bergaun putih yang sudah dicemari darah itu tertancap pada pandangan Lucy.
“Ka... kamu...”
Tiada ungkapan yang terzahir dari mulut Lucy, dia tergamam tanpa mampu berkata apa. Kanak-kanak perempuan itu langsung tidak bereaksi, dia hanya memandang dengan tenang tanpa terukir apa-apa emosi. Perlahan-lahan kanak-kanak itu berjalan mendekati Lucy, Lucy menapak berundur, semakin Lucy berundur, semakin mendekat kanak-kanak perempuan itu.
“Jangan... jangan dekati aku!”
Lucy membentak seraya duduk mencangkung dan menekup telinga serta memejamkan mata.
“Mahukah kamu tahu siapa aku?”
Satu suara seperti membisik bergema di telinga Lucy, walaupun Lucy sudah menekup telinganya dia seperti masih dapat mendengar suara seperti suara seorang kanak-kanak perempuan itu.
“Tidak!” balas Lucy dengan tanpa membuka matanya.
“Buka mata mu...”
Suara itu hadir bergaung-gaung di dalam telinga.
“Tidak! Jangan ganggu aku!”
“Buka mata mu!”
Dengan tiba-tiba Lucy berasa ada dua tangan memegang kepalanya sehingga membuatkan kelopak mata Lucy terbuka serta-merta. Di hadapan mata Lucy ketika ini terzahir wajah kanak-kanak perempuan itu dengan wajah yang pucat dan mata yang terbuntang mencerlung Lucy.
Lucy bagaikan terpukau, dia terkaku dan langsung tidak melawan. Apa yang terlihat pada pandangan mata Lucy ketika ini bukan lagi wajah kanak-kanak perempuan yang memegang kepalanya, tetapi hadir satu layar cerita seperti imbauan kisah yang lalu.
YOU ARE READING
PENUNGGU VILA NABILLA
HorrorTerlalu banyak kidah mengenai vila yang tersergam di puncak bukit itu. Kisah yang dibawa dari mulut ke mulut itu tiada satu pun yang boleh dibuktikan akan kesahihannya. Namun kita tidak boleh mrnafikan akan kebenarannya juga. Di antara versi yang di...