Mati...! Mati...! Mati...!

15 0 0
                                    

“SPIRIT... spirit of the coin dari dunia kegelapan kau kuseru.”

Ulang Amran, Kimi dan Aini berkali-kali. Namun masih belum ada apa-apa tindak balas. Malah duit syiling yang ditekan tiga jari telunjuk remaja itu masih kekal tidak bergerak-gerak di atas permukaan papan Ouija.

“Am... macam tak ada apa-apa pun.”

Kimi mulai bereaksi. Namun jarinya masih tidak berganjak dari syiling itu, dia masih memegang pesanan daripada Amran.

“Teruskan ulang seru. Aku tak percaya vila ini tak berpenghuni.”

Aini dan Kimi diam, mereka sebenarnya bagaikan berputus asa untuk meneruskan pencarian mereka.

“Tunggu apa lagi? Cepatlah kita ulang seru sekali lagi,” arah Amran.

Kimi dan Aini menuruti sahaja arahan ketua mereka dan menyambung menyebut kata-kata menyeru roh dengan serentak. Percubaan yang ketiga belas kali menyebut dan menyeru roh secara tiba-tiba suhu persekitaran menurun, malah lilin yang dipasang di empat penjuru mulai bereaksi meliuk lentuk seperti ada angin yang hadir ke dalam vila besar itu.

“Am...” kelur Aini kepada Amran.

“Teruskan bacaan... usaha kita sudah mulai menunjukkan hasil,” kata Amran.

Pada ketika ketiga-tiganya masih tegar menyeru roh di papan Ouija, datang sambaran angin yang kuat sehingga menyebabkan tiga batang lilin yang menerangi ruang tengah vila di mana tiga remaja itu berada secara tiba-tiba terpadam. Kini hanya sebatang sahaja lilin di sebelah Amran yang kekal masih menyala, tetapi seolah segan dan hanya menunggu masa juga untuk mati.

Aini mulai berasa tidak selesa, hatinya kuat merasai sesuatu sedang berada bersama-sama dengan mereka ketika ini, akan tetapi tidak pula terlihat pada pandangan matanya. Gadis berambut keperangan itu yakin memang dia berasa ada sesuatu sedang berlegar-legar di belakang mereka, seperti sedang memerhati gerak-geri serta tingkah laku dia dan dua rakannya itu.

“Aku rasa tak sedap hatilah...” ucap Aini kepada Amran.

“Shhh... ayuh kita cuba bertanya lagi nama spirit ini,” balas Amran.

“Dari tadi kita bertanya, roh ini bagaikan tak nak beritahu namanya,” ujar Kimi pula.

“Kita cuba lagi... spirit of the coin siapa nama kamu?” soal Amran.

Syiling yang ditekan tiga jari telunjuk itu bergerak ke arah huruf N dan berhenti di situ agak lama. Membuatkan ketiga-tiganya berpandangan antara satu sama lain seperti dapat mengagak roh yang bertandang itu milik siapa. Amran mengangguk sebagai tanda isyarat kepada Aini. Aini membalasnya faham.

“Adakah kamu Nabilla?” soal Aini dengan tidak menunggu lama lagi.

Syiling yang masih tercalit darah itu diam tidak bergerak-gerak dari atas huruf N. Aini, Kimi dan Amran berpandangan sesama mereka dan mereka bersependapat roh yang hadir itu adalah empunya vila yang mereka cerobohi ketika ini. Aini memberi isyarat memek muka kepada Kimi, tetapi Kimi menggelengkan kepalanya tanda dia tidak mahu bertanya apa-apa. Amran menggelengkan kepalanya seraya mendengus, tertunduk Kimi dan dia faham benar gaya Amran itu, ketuanya sedang memarahinya dalam diam.

“Kamu roh perempuan?” soal Amran yang menggantikan Kimi untuk bertanya.

Perlahan-lahan syiling yang ditekan oleh mereka bergerak ke perkataan YES menyebabkan wajah Kimi dan Aini berubah terkejut, manakala Amran tersungging gembira kerana ada reaksi daripada entiti yang menemani mereka ketika ini. Kini mereka yakin dan dapat menebak dengan siapa atau semangat apakah yang sedang mereka berhubungan ketika ini. Nama Nabilla berlegar-legar di fikiran mereka.

PENUNGGU VILA NABILLA Where stories live. Discover now