ARGHHH!!!”
Jeritan Lucy bergema ke setiap sudut ruang di dalam Vila Nabilla. Gadis itu bagaikan dilanda kesurupan dengan menjerit tanpa henti-henti. Dengan memekup telinganya dan memejamkan mata, gadis itu yang duduk dalam keadaan meringkuk seperti bayi di dalam kandungan ibunya menggelupur seperti di dalam kesurupan.
Lucy terus menjerit sehinggalah tenaganya menjadi kendur, dia diam tanpa bergerak-gerak. Hanya esak tangisannya sahaja yang kedengaran menderu. Lucy takut untuk membuka pelupuk matanya. Takut jelmaan Kimi masih berada berdekatan dengannya.
Namun apabila dia berasa tiada lagi bau hanyir dan suara-suara aneh, perlahan-lahan Lucy memberanikan dirinya membuka kedua belah matanya. Bulat mata Lucy terkuak, liar pandangannya melingas kiri dan kanan mencari-cari susuk yang amat menyeramkan sebentar tadi.
Lucy merangkak menjauhkan diri dari tempat di mana dia melihat akan keberadaan mayat Kimi yang bangkit menyapanya. Di satu sudut yang agak terpencil, Lucy duduk meringkuk sambil memeluk lututnya bersama peluh dan air mata ketakutan yang merembes laju. Dia masih menggeletar, air matanya masih mengalir membasahi wajah. Lucy takut, bingung, keliru, dan dia sendiri tidak tahu ke manakah hala tuju dia sekarang.
“Kenapa semua ini boleh berlaku? Kenapa???” Esak tangis Lucy kedengaran sayu.
Segala perasaan kini sedang bercampur baur di relung dadanya. Kegelapan yang begitu mencengkam di dalam vila itu membataskan pandangan, hendak-hendak lagi emosinya terganggu dengan apa yang telah disaksikannya sebentar tadi. Lucy menoleh ke kiri dan kanan, Lucy masih belum menemui jalan keluar. Hatinya kuat menyatakan yang dia perlu keluar dari rumah agam ini. Dia perlu keluar mencari bantuan, dan dia yakin rakan-rakannya yang lain sekarang ini pastinya berada di dalam bahaya.
“Oh Tuhan... tolonglah... berikanlah aku jalan keluar dari tempat ini,” gumam Lucy sambil menekup mukanya dengan kedua belah tangan.
“Kekeke...”
Lucy terbeliak mata kala terdengar satu suara seperti sedang mengekek ketawa bergema-gema. Ketakutan merayap kembali ke relung perasaannya. Lucy amat yakin, dia memang ada mendengar suara seperti seorang kanak-kanak sedang tertawa. Tetapi dia tidak pasti di mana datangnya suara itu, akhirnya Lucy diam dan cuba menahan segala rasa seram dan ketakutan yang sedang dia rasakan ketika ini. Mulutnya terkumat-kamit seperti sedang membaca sesuatu, mungkin doa, mungkin juga mantera. Apa sahaja yang terlintas di benaknya, dilafazkan perlahan.
Untuk beberapa ketika suara ketawa yang didengarinya sudah tidak lagi hadir, akan tetapi lain pula yang datang menyinggah ke pendengarannya ketika ini. Satu suara seperti mengeluh dan disusuli ngongoian halus datang menyapa, membuatkan reromanya kembali bergulung meremang. Lampu suluh yang masih ada di dalam tangannya disuluh kiri dan kanan mencari sesuatu yang dia sendiri tidak pasti apakah. Apa yang pasti naluri ingin tahunya membuak-buak mahu melihat dengan mata dan kepalanya suara milik siapakah yang tertawa itu.
“Si... siapa? Siapa?”
Lucy cuba memberanikan dirinya yang sedang dirangkul ketakutan. Namun tiada apa yang terlintas di retina matanya. Namun apabila lampu suluhnya tersuluh ke arah salah satu pintu kamar, Lucy terlihat satu kelibat putih berambut panjang sedang berlari masuk ke dalam kamar.
“Bu... budak perempuan?” getus Lucy sepontan.
Memang dia melihat ada susuk tubuh seorang perempuan yang mungkin berusia belasan tahun berlari melintas di depan matanya.
“Ada budak perempuan dalam vila ini? Adakah...”
Perlahan-lahan Lucy bangun, ingin sahaja dia mengejar kelibat itu tetapi hatinya berbolak-balik antara menuruti langkah kelibat itu atau berundur dan teruskan mencari jalan keluar dari dalam bangunan berpuaka itu. Ingatan terhadap kengerian wajah Kimi masih terbayang di dalam mindanya. Akhirnya Lucy mengambil keputusan untuk mencari jalan keluar dari vila itu, dia harus segera keluar dan meminta pertolongan.
YOU ARE READING
PENUNGGU VILA NABILLA
HorrorTerlalu banyak kidah mengenai vila yang tersergam di puncak bukit itu. Kisah yang dibawa dari mulut ke mulut itu tiada satu pun yang boleh dibuktikan akan kesahihannya. Namun kita tidak boleh mrnafikan akan kebenarannya juga. Di antara versi yang di...