1980an
ISKANDAR termenung di luar kamar utama, di satu tempat yang sudah tersedia sebuah sofa tunggal. Dia lebih banyak memandang permukaan marmar pada lantai rumahnya. Berita tragis yang hadir ke dalam rumah tangganya, ternyata masih memberi kesan yang amat mendalam kepada dirinya dan isterinya Sulizah. Walaupun sudah tiga bulan berlalu.
Kedua-dua pasangan itu masih meratapi akan kehilangan puncak kebahagiaan mereka. Iaitu anak yang dikandung Sulizah selama enam bulan tewas di tengah jalan. Iskandar menoleh ke arah isterinya yang sedang menangis teresak-esak di dalam kamar utama di atas katil. Di situ Sulizah menangis seraya memeluk pakaian bayi yang belum sempat disuakan ke tubuh insan kecil harapan dia dan suaminya itu. Esak tangisnya benar-benar menyayat hati. Sebak melanda hati Iskandar melihat kepiluan yang menghiris perasaan isterinya itu, namun dia tetap tidak mahu mempamerkan kekalahan perasaannya sekarang ini. Egonya tinggi, malah dia mahu terus kuat dan menjadi inspirasi kepada isterinya agar reda akan ketentuan Ilahi. Namun begitu ketika di pejabat, Iskandar hanya diam dan banyak termenung.
Dia tahu isterinya sudah melalui fasa yang cukup menyakitkan. Dia seboleh-bolehnya tidak mahu Sulizah tertekan seandainya dia turut lemah. Hanya itulah pengorbanan yang termampu Iskandar pamerkan. Walaupun hakikatnya hati dan perasaannya juga remuk redam.
“Sue...”
Iskandar datang memeluk isterinya daripada belakang. Sulizah sedikit terkejut akan kehadiran suaminya. Dia menoleh sejenak sebelum kembali meratap pilu.
“Sudahlah tu Sue. Dekat dua bulan Sue dalam keadaan begini. Makin Sue meratap, semakin buruk keadaan dan kesihatan Sue.” Nasihat suaminya lembut dan teratur.
“Abang... Sue tak boleh... hampir setiap malam Sue termimpikan anak kita. Sue dukung dia, susukan dia. Malam tadi Sue mimpikan dia lagi. Dia menangis, dan... Sue tak dapat nak dakap dia. Sue rindukan anak Sue...”
Sulizah semakin teresak-esak menangis. Iskandar mengeluh panjang. Dia mengusap dahi isterinya dengan perlahan. Bukan dia tidak merasakan apa yang isterinya alami. Dia cukup memahami. Namun dia sebolehnya tidak mahu mempamerkan kesedihan yang melanda di dalam dirinya. Dia lelaki, ketua keluarga. Dia perlu sembunyikan kelemahan dirinya. Dia perlu menjadi contoh kepada isterinya yang dia kuat. Utuh dalam menghadapi dugaan ini.
“Sue... ingat Tuhan sayang, mimpi terkadang hanya mainan tidur dan perasaan kita saja. Kerana kita terlalu memikirkan sesuatu pastinya akan datang ke alam ketidaksedaran kita. Sayang anak kita dah ke dunia yang lain. Kita doakan aje rohnya ya sayang, kita doakan yang baik-baik,” pujuk Iskandar lagi.
“Kalaulah Sue tak rebah di bilik air hari itu, semua ini pasti tak akan berlaku. Anak kita mesti masih ada dalam kandungan Sue. Semuanya silap Sue! Sue yang menyebabkan anak kita mati! Semua sebab Sue!” Sulizah membentak-bentak dan memukul badannya sendiri.
“Sue! Bawak mengucap Sue! Apa yang Sue buat ni?!”
Iskandar menghalang isterinya daripada terus menyakiti diri sendiri. Lelaki itu memaut bahu isterinya sebelum dia duduk berhadapan dengan Sulizah yang masih sugul. Wajah Iskandar tegang sekali. Merah padam. Sesungguhnya dia tidak suka melihat apa yang isterinya lakukan terhadap dirinya sendiri.
“Abang tak suka Sue cakap begitu. Abang tak pernah menyalahkan Sue. Ini semua ketentuan Tuhan. Andai Tuhan mahu kita memiliki anak, Dia pasti akan kurniakan anak. Semua yang berlaku ada hikmahnya Sue. Jangan kita pulak lupa siapa diri kita. Ingat Sue, Dia sedang menguji kita,” hujah Iskandar dengan sedikit menekan suaranya. Namun masih teratur.
“Sue... Sue... sedih...”
Sulizah bagaikan baru tersedar dari lamunan. Dia mendongak memandang suaminya yang terus setia di hadapan matanya.
“Sudahlah sayang. Kita boleh mencuba lagi. Abang tahu, kita sudah lama berkahwin. Dan ini adalah kali pertama Sue mengandung. Mungkin rezeki kita belum tiba. Mungkin rezeki kita hadir dalam bentuk yang berbeza. Apa yang perlu kita tekankan, kita teruskanlah berdoa dan berusaha. Mungkin Allah mahu kita terus kuat dan banyak bersabar,” pesan Iskandar lembut lantas dia memaut tubuh isterinya masuk ke dalam dakapannya.
Di dalam dakapan Iskandar, Sulizah sudah mampu untuk bertenang. Dia seperti mendapat satu semangat baru setelah mendengar akan kata-kata nasihat suaminya itu.
“Shhh... sudahlah. Kita buka buku baharu ya. Anak kita sudah menanti kita di pintu syurga. Jadi, kita sebagai ibu dan ayah haruslah terus kuat.” Iskandar terus menitipkan nasihat kepada isterinya.
“Abang...” kelur Sulizah.
“Ya sayang,” sahut Iskandar.
Kedua-duanya bertatapan antara satu sama lain.
“Kita ambil anak angkat?”
Terpana Iskandar mendengar bait kata yang terbit dari bibir mongel Sulizah. Berkerut dahinya memandang Sulizah.
“Anak angkat?”
Sulizah hanya mengangguk setelah disoal suaminya. Wajah kebingungan Iskandar terserlah ketika ini. Air mata Sulizah yang masih bergenang di kolamnya, dan masih belum kering itu diusapnya Iskandar dengan perlahan.
“Sue dah habis fikir?” soal Iskandar.
“Sue nak anak. Sue nak teman kala Sue sendirian di rumah. Abang faham kan maksud Sue. Kalau abang kerja luar Sue tidak sendirian lagi. Kalau Sue ada anak, nanti bila dah besar boleh temankan Sue jalan-jalan ke pasar, bersiar-siar. Sue kalau boleh nak anak perempuan.” Sulizah seperti nekad walaupun riak wajahnya cuba dibentuk-bentuk supaya terukir senyuman.
“Kalau itulah yang Sue mahukan. Minggu hadapan abang cuba ikhtiarkan.”
Hela Iskandar. Walaupun dia berasa berat dengan permintaan isterinya itu, demi kesihatan mental dan semangat seorang ibu yang kematian anaknya, Iskandar perlu telan segalanya.
“Betul ke ni? Betul ke abang nak dapatkan anak angkat?” soal Sulizah lagi.
Iskandar hanya mengangguk kecil tanpa meluahkan jawapan dari mulutnya.
“Sue nak anak perempuan ya bang... Sue nak ada peneman Sue di dapur.” Wajah Sulizah kembali ada sinar ceria.
“Ya, abang akan usahakan.”
Iskandar akhirnya sanggup. Walaupun dia merasakan semua ini terlalu cepat. Namun hati Iskandar menyatakan isterinya perlukan peneman. Lagipun dia sudah lama mendirikan rumah tangga. Dan selama itu jugalah dia belum dikurniakan cahaya mata. Dan apabila Sulizah mengatakan dia mengandung, betapa cerianya kehidupan mereka suami isteri.
Namun semuanya bagaikan surah tersurat. Kegembiraan mereka hanya seketika, kandungan Sulizah tidak panjang hayatnya. Bukan Iskandar tidak mahu terus mencuba, akan tetapi dia sendiri tidak yakin dengan takdir Allah, dia tidak sanggup kehilangan lagi. Sudah pastinya kesedihan bakal berulang kembali. Mungkin dengan memiliki anak angkat, kebahagiaan pasangan suami isteri itu pasti akan kembali ceria.“Terima kasih abang,” ucap Sulizah lembut.
“Apa sahaja untuk Sue,” balas Iskandar penuh rasa kasih.
YOU ARE READING
PENUNGGU VILA NABILLA
HorrorTerlalu banyak kidah mengenai vila yang tersergam di puncak bukit itu. Kisah yang dibawa dari mulut ke mulut itu tiada satu pun yang boleh dibuktikan akan kesahihannya. Namun kita tidak boleh mrnafikan akan kebenarannya juga. Di antara versi yang di...