Kimi Dalam Bahaya

11 0 0
                                    

LUCY tidak tahu berapa lama dia tidak sedarkan diri, Cuma apabila dia tersedar, dia seperti kebingungan, seperti ada yang membuatkan fikirannya tepu dan beku sejenak.

“Aku... aku kat mana? Aku kat dalam Vila Nabilla? Tapi... bukan ke tadi aku berada di dalam khemah?”

Monolog Lucy sendirian sambil menggosok-gosokkan kepalanya yang dirasakan amat berat sekali. Malah timbul rasa hairan, entah bagaimana dia boleh terbaring tidak sedarkan diri di satu kawasan yang sedikit asing baginya.

Lucy cuba bangkit perlahan-lahan seraya memegang bahagian kepalanya yang dirasakan amat sakit itu. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia boleh berada di dalam Vila Nabilla, sedangkan ingatan terakhirnya dia masih berada di dalam khemah. Ingatannya juga samar-samar dan semakin dia ingin mengingatinya kembali, semakin sakit dirasakan. Namun begitu, setelah beberapa ketika perlahan-lahan ingatannya mulai hadir, di mana sewaktu sebelum pandangannya lenyap ditelan kegelapan. Ya, dia telah disapa susuk perempuan kecil berwajah pucat.

“Betul... tadi... tadi ada budak perempuan muncul dalam khemah aku... tapi... argh... sakitnya kepala aku.”

Lucy mengerang sakit sambil memegang kepalanya yang berdenyut-denyut. Bagaikan ada batu besar jatuh lalu memihit berat di ubun-ubunnya.

Di dalam memori terakhirnya, dia ada terlihat satu susuk kanak-kanak berjubah hijau yang muncul secara tiba-tiba di dalam khemahnya dan berdiri merenungnya sebelum pandangannya berubah kelam dan dia hilang dihanyut arus kegelapan.

“Bagaimana aku boleh berada di sini?” ulang Lucy yang masih lagi tidak berpuas hati dengan apa yang telah terjadi kepadanya.

Anak telinga Lucy kemudiannya tertangkap sesuatu yang menarik perhatiannya. Lucy mendengar bunyi tapak kaki seperti sedang berlari di tingkat atas vila putih itu. Pada awalnya dia berasa teragak-agak dan takut untuk pergi meninjau milik siapakah tapak kaki yang sedang berlari di tingkat atas rumah agam itu.

“Ki... Kimi? Amran? Aini? Kau orang ke tu?” laung Lucy yang perlahan-lahan bangkit berdiri tetapi kaku tanpa berani memulakan langkahan kakinya. Kepalanya masih terasa berat.

“Lucy... Lucy... tolong aku!”

Tergamam Lucy apabila dia mendengar satu suara yang melaung kuat dari tingkat atas vila berkenaan. Suara yang kedengaran memanggil namanya itu memang amat dia kenali, dan dia yakin itu adalah suara milik Kimi.

“Kimi? Kimi kau ke?” balas Lucy yang masih teragak-agak dan kurang yakin.

“Lucy!!! Tolong aku!!!” laung suara itu lagi bergema-gema.

“Kau kat mana Kimi? Kau kat mana?” balas Lucy cemas.

Ingin sahaja dia menyerbu ke arah suara itu, entah kenapa dia berasa sendi-sendi di tubuhnya bergetaran, menggeletar tanpa sebab. Mungkin kesan akibat hentakan yang dia alami sebentar tadi agaknya, atau mungkin ada sesuatu yang menderu laju di dalam aliran darah di tubuhnya. Lucy berasa amat berat untuk melangkah, namun dia tetap berusaha demi mahu mencari rakan-rakannya.

“Kimi?” laung Lucy lagi.

Suara laungan Lucy itu bagaikan bergaung-gaung di dalam kepala Lucy sendiri. Lucy memegang kepalanya, dia berasakan dirinya tidak berupaya untuk melawan kesakitan yang hadir. Semakin dia cuba memicit kepalanya yang masih perit dan sakit itu semakin berbinar-binar pandangan matanya. Dia turut merasakan yang dia seperti bukan berada di dalam vila itu, sepertinya dia berada di satu dunia yang amat berbeza.

“Aduh... kenapa dengan aku...”

Lucy tertunduk sejenak, dia cuba mengumpul kekuatannya sebelum kembali bangkit dalam usaha mencari rakan-rakannya.

PENUNGGU VILA NABILLA Where stories live. Discover now