Kamu Semua Akan Mati!

13 0 0
                                    

AINI menundukkan kepalanya, sesekali Amran mendengar Aini tertawa kecil sesekali terdengar gadis berambut keperangan paras bahu itu mendengus kasar. Amran masih seperti awalnya tadi, langsung tidak bergerak dari tempat dia berada. Dia masih cuba untuk bertahan walaupun perasaannya sudah mulai terhakis dan tergugah.

Amran masih duduk bersila di hadapan papan Ouija bersaiz kecil itu sambil jarinya masih kekal menekan duit syiling yang tercalit darah Kimi, Aini dan darahnya sendiri. Seandainya dia turut mengangkat jari telunjuknya daripada terus menekan syiling Ouija itu, sudah pasti keadaan akan bertambah buruk. Tiada siapa lagi yang akan dapat menamatkan permainan yang dimainkan oleh mereka bertiga. Harapan kini terletak di atas bahu Amran.

“Aini... Aini... sedarkan diri kau...” kelur Amran dalam keadaan sebak.

Aini yang tertunduk melampiaskan gelak ketawa mengekek sambil mengalunkan irama lagu yang bernada lembut dan sayu. Semuanya menambah keseraman suasana malam di vila itu ketika ini.

“Hei makhluk yang merasuki Aini pulanglah ke tempat kau datang. Spirit spirit of the coin, pulanglah ke tempat asalmu... kembalikan Aini. Tolonglah... aku merayu...” ucap Amran seraya menangis, hilang ego hilang angkuhnya. Seribu sesalan mulai memanjat perasaan lelakinya itu ketika ini.

“Tolonglah... lepaskan kami, lepaskan Aini... aku merayu...” sambung Amran lagi.

“Kamu semua akan mati! Mati! Mati!”

Suara Aini berubah kasar dan garau. Dia mendongakkan kepalanya dan mencerlung tajam ke arah Amran. Betapa terkejutnya Amran apabila dia melihat wajah pucat Aini bersama bola matanya yang terjegil seperti ingin tersembur keluar.

“Kamu semua akan mati!!!”

Jerit Aini yang kemudiannya memegang kepalanya sendiri sebelum memulas dengan satu rentapan dengan kuat sehingga terteleng ke belakang! Amran menjerit terperanjat melihat wajah Aini sudah hilang berganti dengan belakang kepalanya bersama rambut hitam yang mengurai tidak terurus.

Amran kaku, seluruh tubuhnya menggeletar akan tetapi jari telunjuknya masih setia menekan syiling permainan Ouija itu. Hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan Amran ketika ini, dia sudah menangis teresak-esak, menangis kerana ketakutan dan menangis kerana mengenangkan nasib buruk yang telah menimpa rakan baiknya itu, Aini. Apa yang pasti Amran dapat mendengar dengan jelas bunyi tulang tengkuk Aini berderap patah seperti hancur, hatinya kuat menyatakan Aini sudah mati.

“A... Aini...” Menggeletar bibir Amran menyebut nama gadis malang itu.

“Heee...”

Wajah Aini yang memandang ke arah belakang mengilai sambil mengayunkan tubuhnya ke kiri dan kanan. Kepalanya yang sudah terpulas patah hingga ke belakang seperti berayun-ayun sehinggakan kedengaran bunyi tulang tengkuk yang patah dan ia sungguh ngilu dan ngeri sekali.

“Kimi! To... tolong aku!!!” laung Amran yang masih tidak berganjak daripada terus menekan syiling Ouija.

Dia masih teguh di tempat dia berada walaupun semangatnya sudah terlontar jauh dari dalam dadanya. Dia masih memegang akan pantang larang agar tidak mengangkat telunjuk jarinya dari atas duit syiling yang berdarah itu walau apa pun terjadi.

“Kimi! Aini dah mati!” laung Amran dengan sekuat-kuat hatinya.

Amran memanggil Kimi tanpa kenal erti penat. Ketakutan dan kebimbangan mulai mencakar-cakar hati kecilnya. Dia juga tidak mahu Kimi menjadi mangsa seterusnya, dia sebolehnya mahu Kimi kembali bersama dengannya di hadapan papan Ouija dan tamatkan permainan yang pada awalnya berunsur suka-suka kini semakin beralih kepada permainan maut! Dia mahu Kimi kembali menekan duit syiling Ouija dan membaca mantera agar roh yang mereka seru kembali pulang ke tempat asal dan segera tamatkan kisah berdarah ini.

“Kimi datang kat aku semula! Jangan tinggalkan aku!” laung Amran sehingga suaranya bergema-gema di tempat dia berada ketika ini.

Amran langsung terdiam, dia terpandang Aini secara tiba-tiba memegang kepalanya yang terpusing ke belakang itu dipulasnya kembali ke hadapan dan betul-betul mengadap wajah Amran. Amran terkaku melihat wajah Aini yang tersengih menyeringai bersama darah yang mengalir dari mulut dan hidungnya. Ngilu, ngeri dan sedih melihat keadaan Aini bersilih ganti.

“A... Aini?” getus Amran secara sepontan di kala anak matanya bertentangan antara satu sama lain.

“Aini... sudah mati. Kini giliran kamu... heee…”

Suara garau dan parau yang hadir dari mulut Aini itu membuatkan Amran sudah tidak dapat menahan lagi asakan ketakutan, mencakar-cakar semangatnya saat ini. Amran tidak mahu berlama-lama lagi di hadapan papan Oujia itu, dia berasakan maut semakin merangkak ke arahnya. Kerana diasak perasaan yang sukar untuk digambarkan, Amran akhirnya gagal bertahan, dia bingkas bangun dan meninggalkan papan Ouija.

Akan tetapi ketika pemuda itu baru berpaling ke belakang, dia melihat di hadapan matanya ketika ini berdiri satu susuk yang amat dikenalinya, walaupun suasana kelam di dalam perut vila itu mencengkam, dia masih tetap dapat mengecam tampang susuk yang sedang merenung tajam ke arahnya. Amran hilang berkata-kata apabila susuk itu memegang kepalanya dengan kedua belah tangan dan tanpa amaran terus memulaskannya dengan sekuat hati. Kepala Amran berpusing hampir 360 darjah dan terkulai apabila tulang lehernya patah serta-merta!

Amran rebah, tubuhnya menggeletik untuk beberapa ketika sebelum diam menjadi mayat. Suara Aini yang telah dirasuk itu mengilai panjang dari tempat dia duduk sebelum disusuli suara susuk yang bertanggungjawab memulas batang tengkuk menamatkan riwayat Amran. Kedua-duanya tertawa mengilai nyaring bergema-gema di seluruh vila puaka itu.

PENUNGGU VILA NABILLA Where stories live. Discover now