Menyeru Roh Nabilla

34 0 2
                                    

LUCY diam di dalam khemah sambil bermain telefon bimbitnya. Kerana tidak mahu terganggu dengan bunyi-bunyi aneh di luar Lucy memasang alat pendengar di telinganya dan melayan laman sosial TikTok walaupun adakala tersekat-sekat dek gangguan isyarat telekomunikasi yang teruk di puncak bukit itu.

Dia tahu kumpulan paranormalnya juga ada membuat siaran langsung eksplorasi mistik di laman sosial, tetapi dia lebih gemar melayan kandungan-kandungan ringan seperti mukbang dan sedutan filem-filem dari barat. Dia sebolehnya tidak mahu melihat rakan-rakannya melakukan aktiviti menyeru roh itu secara langsung. Hati dan perasaannya masih diselubungi ketakutan dan kebimbangan terhadap permainan yang baginya itu amat berbahaya.

Lucy tersentak apabila telefon bimbitnya menjerit dan bergetar tanda tibanya pesanan ringkas daripada seseorang. Lucy mengurut dada sebelum membebel sendirian, sudahlah fikirannya sedang melayang jauh memikirkan kisah-kisah seram yang pernah terjadi kepada mereka yang bermain menyeru makhluk halus, secara tiba-tiba pula telefon bimbitnya bergegaran.

“Apalah, buat orang terkejut aje!”

Lucy lekas-lekas membuka mesej yang tiba. Pada mulanya dia ingin marah, tetapi apabila dia melihat mesej yang tiba itu datangnya daripada insan yang istimewa, terus hati Lucy berbunga-bunga, wajahnya terukir senyuman manis tidak terkira. Setelah berbalas mesej buat seketika, dia kembali memberi tumpuan kepada apa yang dia lakukan awalnya tadi. Wajah ceria dan penuh bugar jelas terpancar sekarang ini, malah penumpuan Lucy terhadap rancangan mukbang di telefon bimbitnya juga sedikit terganggu. Seperti terganggunya liputan internet di kawasan vila berpuaka itu.

Lucy membiarkan cahaya di skrin telefonnya terang benderang, perlahan-lahan dia mengeluarkan rantai emas yang dipakainya. Jari jemarinya sedang bermain-main loket emas berbentuk hati, loket dan rantai emas itu adalah hadiah pemberian kekasihnya yang bernama Robert. Malah pada loketnya itu jelas terukir nama kekasihnya itu.

“Rindunya...” getus Lucy sambil mencium loket emas itu.

Hatinya berbunga-bunga, girang dan begitu gembira sekali. Untuk beberapa ketika selepas puas mengelamun, dia kembali melayan rancangan yang sedang ditonton di telefon bimbitnya bersama senyuman yang terus bergayutan di hujung bibirnya.

“Hish... lambat lagi ke nak habis dia orang semua ni?”

Kerutan pada dahi Lucy terbentuk, dia berasa bosan menanti rakan-rakannya siap meneroka keseraman di dalam vila yang dikatakan Vila Nabilla itu.

DARAH ketiga-tiga remaja itu sudah dicalitkan ke syiling yang bakal menjadi perantara permainan Ouija dengan menggunakan jarum peniti. Papan yang berbentuk segi empat itu tertera beberapa nombor bermula nombor kosong hingga ke sembilan. Manakala huruf dari A sampai ke Z. Di tengah-tengahnya tertulis bahasa Inggeris ‘Start’, ‘Yes’, ‘No’ dan ‘End’.

Ketika ini Amran mengeluarkan sehelai kertas seperti sekeping nota dari dalam saku seluarnya dan mulai membaca keratan itu dengan kuat dan berulang-ulang kali. Suaranya bergaung-gaung di dalam rumah agam yang kosong tidak berpenghuni itu.

“Wahai penghuni vila indah, Vila Nabilla. Kami datang dengan berhajat, kami datang kerana mahukan kebenaran, kami datang demi roh dan semangat Nabilla. Hadir... hadir... hadirlah kepada kami wahai penunggu Vila Nabilla. Hadir.... hadir.... hadir!”

Usai membaca ungkapan yang tertulis di dalam nota kecil itu sebanyak tiga kali, Kimi dan Aini berpandangan sesama mereka sebelum beralih pandang ke arah Amran. Amran yang duduk dalam keadaan bersila berkerut hairan memandang dua sahabatnya itu.

“Kau berdua dah kenapa pandang aku macam tu?” soal Amran.

“Am... perlu ke nak baca mantera bagai?” soal Kimi.

PENUNGGU VILA NABILLA Where stories live. Discover now