BAB 1
WARNA jingga bagai merangkak di kaki langit petang di puncak sebuah bukit, di puncaknya terbina sebuah bangunan besar yang mempunyai tiga tingkat dan lebar keluasannya yang luar biasa kelihatan sunyi dan suram dari kejauhan. Bangunan yang sudah dinaiki lumut hijau dan akar-akar pokok yang merendang di sebelah bangunan itu bagaikan merangkul erat binaan yang masih utuh berdiri itu.
Rumah agam itu adalah sebuah vila yang sudah lama terbiar tidak berpenghuni. Tiada apa lagi yang ada di dalam vila itu, hanya dedaunan kering, runtuhan dinding, dan sampah sarap yang memenuhi segala ceruk dan ruang dalamannya. Vila itu bagaikan mati di siang hari, tetapi bernyawa apabila malam menjelma!
Beberapa detik lagi vila itu bakal diselimuti kedinginan dan kegelapan tirai malam yang mencengkam. Tiada sesiapa yang berani hadir menziarahi binaan itu, sementelah lagi apabila tersebar dan tularnya kisah-kisah mistik dan seram mengenai bangunan yang tersergam dan mempunyai rekaan indah itu. Namun masih ada yang degil hanya kerana demi sebuah content dan kepentingan diri semata-mata. Hampir setiap malam pasti akan ada beberapa kumpulan remaja datang menjelajah kawasan rumah agam itu kononnya ingin mencari entiti dan makhluk halus.
Kalau dahulu manusia takut dengan penampakan makhluk-makhluk halus, tetapi di zaman serba teknologi moden ini, manusia menjadikan pemburuan makhluk halus seperti hantu, jin dan entiti misteri sebagai satu permainan yang menyeronokkan. Malah ada yang mencari sumber kewangan melalui siaran langsung di beberapa paparan media sosial terpilih demi memburu entiti mistik di setiap malam. Mungkin mereka belum pernah belajar dengan apa yang sering diceritakan oleh orang-orang terdahulu tentang baik dan buruknya menjolok sarang tebuan. Malah orang agama juga melarang umat manusia menceroboh dan mencabar makhluk Allah yang lain, kerana ia akan lebih mengundang mudarat daripada kebaikan.
Semua nasihat yang berguna terkadang masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Apabila berasa di dalam dada sudah berisi dengan ilmu, maka segala nasihat dan amaran akan menjadi seperti angin lalu sahaja tanpa melekat di minda mereka sang pemburu entiti. Bangunan yang tersergam tinggi di puncak bukit yang berdekatan dengan sebuah teluk itu mulai menjadi tarikan para penjejak entiti mistik.
Di situ terbinanya beberapa buah rumah agam yang besar, di puncak bukit di situ ada dua buah vila yang sudah tidak berpenghuni, ditinggalkan kosong berpuluh tahun lamanya. Kisah asal usulnya tidak jelas terutama sekali sebuah vila yang terbina betul-betul di hujung sebuah bukit yang mengadap ke lautan. Namun begitu ada juga yang menyatakan yang vila itu bukanlah vila di mana berlakunya pelbagai kisah mistik dan seram. Ramai yang sudah tersalah anggap dengan menyatakan vila itulah yang merupakan vila yang popular dan tular dengan kisah seram. Walhal bukan vila itu yang berpuaka, tetapi vila di sebelahnya itulah yang mempunyai sebuah sejarah hitam, sejarah berdarah!
"Okey, waktu sekarang sudah pukul 9 malam. Rasanya hanya team kita aje yang redah vila ini."
Seorang pemuda bertubuh tinggi sedang memberi beberapa arahan dan pemberitahuan kepada beberapa orang lagi rakannya. Ketika ini kelibat remaja-remaja itu sedang berdiri di kawasan yang sedikit lapang di hadapan rumah agam itu dengan pelbagai kelengkapan yang sudah siap sedia dipasang, malah mereka sempat dirikan sebuah khemah kecil mungkin untuk meletakkan beberapa barangan elektronik yang mereka bawa.
"Kimi, kau dah siap pasang lampu dan kamera?" soal pemuda itu lagi.
"Sikit aje lagi, balas Kimi."
"Er... aku bimbang la..."
Salah seorang gadis berkulit cerah secara tiba-tiba meluahkan isi hatinya. Riak di wajahnya jelas sarat dengan kerisauan.
"Bimbang kenapa pula?" balas pemuda yang berkulit cerah, Kimi.
YOU ARE READING
PENUNGGU VILA NABILLA
HorrorTerlalu banyak kidah mengenai vila yang tersergam di puncak bukit itu. Kisah yang dibawa dari mulut ke mulut itu tiada satu pun yang boleh dibuktikan akan kesahihannya. Namun kita tidak boleh mrnafikan akan kebenarannya juga. Di antara versi yang di...