Emir duduk di ruang tamu berdepan dengan ibu bapanya, Datin Fauziah dan Datuk Emran, adik bongsunya, Elly serta anak kembarnya, Irina dan Farish. Wajah kedua ibu bapanya kelihatan tegang, terutamanya Datuk Emran.
"Emir Faiz, bagitahu mama hal sebenar? Betulkah Rin dan Ayish tu anak kamu? Sofia tu bekas isteri kamu? Mama dengan papa nak tahu hal sebenar." suara Datin Fauziah bernada keras.
Emir menelan air liurnya. Jarang benar mamanya memanggil nama penuhnya melainkan tengah marah. Matanya beralih ke arah Elly yang sedang tunduk mengelak pandangan matanya. Dia tahu bahawa dia tidak boleh lagi menyembunyikan kebenaran.
"Dik, bawa Rin dan Ayish masuk bilik," pinta Emir. Elly mengangguk sambil memimpin tangan dua anak kecil itu.
Terasa lama menanti jawapan Emir, Datuk Emran bersuara tegas. "Angah, ini bukan masa untuk bersembunyi. Kami nak tahu hal sebenar."
Emir menghela nafas panjang, mengumpul kekuatan untuk menceritakan segalanya. Dia tahu sudah tiba saatnya kebenaran perlu didedahkan. "Ya ma, pa...Rin dan Ayish tu anak-anak angah. Sofia memang bekas isteri angah."
Mata Datin Fauziah mula berkaca mendengar pengakuan dari Emir. Wajahnya berubah, penuh dengan perasaan kecewa dan marah. "Macam mana kamu boleh rahsiakan semua ini dari kami, Emir? Kami ni ibu bapa kamu! Kenapa tak pernah cerita sebelum ni?"
Emir tunduk, merasa bersalah. "Angah minta maaf, ma. Angah takut... Angah takut mama dan papa kecewa."
Datuk Emran menahan marah, wajahnya tegang. "Bila masa aje kamu tak pernah kecewakan kami ngah? Bila?"
"Lapan tahun ngah! Lapan tahun kamu rahsiakan benda ni dari kami. Boleh pula bertunang dengan Isha. Isha tahukah hal ini?" Datuk Emran mendengus.
"Kamu tahu tak betapa besar kesalahan kamu? Kami ni keluarga, ngah. Kami patut tahu segala-galanya tentang hidup kamu. Kami rasa tertipu dan sangat kecewa." sambung Datuk Emran. Dahinya dipicit menahan marah dan sebak.
Datin Fauziah memegang tangan suaminya, air matanya mulai mengalir. "Kami ni keluarga kamu, ngah. Kalau pun kamu tak boleh percaya pada kami, pada siapa lagi? Kami sangka kami dah cukup rapat dengan kamu, tapi rupa-rupanya..."
Emir merasa semakin bersalah, melihat betapa kecewa dan marahnya kedua orang tuanya.
"Ma, bukan angah tak percayakan mama atau papa. Angah jadi takut nak maklumkan pada mama dengan papa. Angah tak nak kecewakan mama dan papa sebab tu angah setuju aje masa papa nak angah bertunang dengan Isha," suara Emir bergetar.
"Lagipun rancangan asal kami tangkap khalwat itu cuma lakonan. Bukannya betul. Tak tahu siapa yang laporkan dengan majlis agama," cerita Emir lagi.
"Sekejap, kami?" Datuk Emran membetulkan posisi duduknya.
"Yang angah beria sangat nak tolong Sofia tu kenapa? Macam mana boleh kenal dengan Sofia?" sambung Datuk Emran.
Emir menghela nafas panjang sebelum menjawab soalan itu.
"Kami tu antara angah dengan Aidil." jawab Emir pendek.
"Sofi dengan Aidil adik-beradik," tambah Emir.
Datuk Emran terdiam. Dia mengenali Aidil sebagai kawan baik Emir yang telah menyelamatkan nyawa anak perempuan tunggalnya dahulu. Puan Fauziah tidak dapat menahan air matanya lagi. Wajah Sofia terbayang di tubir matanya, mengingatkan betapa kuatnya wanita itu dalam menghadapi semua dugaan.
"Angah minta maaf sembunyikan semua hal ini," Emir tunduk.
"Pasal Rin dengan Ayish? Angah tahu tak?" soal Datin Fauziah. Emir mengelang pantas.
![](https://img.wattpad.com/cover/338740922-288-k587857.jpg)
YOU ARE READING
Tak kan Pernah Ada
RomanceSebaik mana manusia merancang, Tuhan jugalah perancang yang terbaik. Sofia Irdina punya rancangan sendiri tentang hidupnya. Tentang cita-cita dan impian. Bukan untuk hari ni tapi untuk satu hari nanti setelah usia remaja dikorbankan untuk melindungi...