Sofia membuka matanya perlahan-lahan, sinar matahari yang masuk dari celah langsir menyentuh wajahnya. Dia menggeliat sedikit, kepalanya terasa berat selepas semalaman tidur dengan fikiran yang kusut. Bunyi riuh rendah di luar bilik menarik perhatiannya.
Dia bangun dan melangkah keluar ke ruang makan. Di meja makan, Farish dan Irina sudah duduk dengan ceria, menikmati sarapan yang telah tersedia. Bau nasi goreng dan mi goreng memenuhi ruang dapur.
"Morning mama! Ayish dengan Rin dah siap makan dah. Kami nak sambung main dulu tau!" Irina bersuara girang sambil menyuap suapan terakhir ke dalam mulut.
Sofia tersenyum melihat wajah ceria anak-anaknya. Dia tunduk, mengucup lembut pipi mereka berdua sebelum mereka melompat turun dari kerusi.
"Mama penat sangat, sampai tak sedar jam berbunyi," ujar Sofia lembut.
Farish ketawa kecil. "Papa kata nak mama rehat. Mama makan banyak-banyak tahu, papa masak sedap!"
Sofia mengangkat kening ke arah Emir yang sedang menyusun pinggan di sinki. Emir hanya tersenyum kecil.
"Sayang nak makan apa?" soal Emir tiba-tiba, memandang Sofia sekilas sambil membuka tudung periuk. "Nasi goreng? Mi goreng?"
Sofia diam. Kakinya melangkah mendekati dapur hendak mengambil sendiri makanan.
"Duduklah," ujar Emir sambil menolak Sofia menuju ke meja makan. Sofia menarik nafas perlahan duduk.
Belum sempat menjawab, dua pinggan berisi makanan diletakkan di hadapannya.
"Saya nak makan sekali. Bolehkan?" Emir bergerak mengambil sudu. Mata Sofia tertancap pada dada telefon Emir.
I'm here in KK now! At the resort. Can't wait to see you.
Dada Sofia berdegup kencang. Tangannya yang memegang cawan tiba-tiba terasa kaku. Dia menelan air liur perlahan, cuba mengawal emosinya.
Emir duduk di sebelah Sofia sambil menyuapkan makanan ke dalam mulut, dia pandang muka Sofia lama.
"Saya benarkan awak balik rumah lama awak," kata Emir tiba-tiba.
Sofia mendongak, merenung Emir tajam. Dalam hatinya hanya satu ayat bergema.
'Of course. Sabby dah sampai'
Tanpa sepatah kata, Sofia bangun dari kerusi. Emir terdiam, memandang pinggan yang tidak disentuh isterinya.
Di dalam bilik, Sofia menarik keluar beg pakaiannya. Jarinya pantas melipat pakaian, memasukkan semuanya ke dalam beg tanpa berfikir panjang. Dia perlu pergi. Dia tidak boleh duduk di sini sambil berpura-pura semuanya baik-baik sahaja.
"Awak tak nak makan dulu?" Kepala Emir tersembul di sebalik pintu. Tangannya menutup pintu perlahan.
Sofia hanya mengeleng kecil, tetapi tidak menoleh langsung ke arahnya.
Emir menarik nafas panjang, cuba mengawal perasaan. "Sayang..." panggilnya lembut.
Namun, seperti yang dijangka, Sofia tidak memberi sebarang reaksi.
"Sayang, please..." kali ini Emir cuba menyentuh tangan isterinya, tetapi Sofia segera menarik tangannya dan terus mengemas pakaiannya.
Langkah Emir perlahan menghampiri. "Sofi..." suara Emir lembut, nadanya penuh harapan.
Sofia tidak menoleh. Dia hanya meneruskan gerakannya, walaupun hatinya makin bergetar.
Emir merapati isterinya, matanya jatuh pada beg yang sudah berisi pakaian. "Banyaknya awak bawa,"
Sofia berhenti. Dia menarik nafas dalam sebelum berpaling menghadap Emir.
"Saya nak duduk sana lama, kan?" soalnya sinis.
ANDA SEDANG MEMBACA
Tak kan Pernah Ada (Completed)
RomanceSebaik mana manusia merancang, Tuhan jugalah perancang yang terbaik. Sofia Irdina punya rancangan sendiri tentang hidupnya. Tentang cita-cita dan impian. Bukan untuk hari ni tapi untuk satu hari nanti setelah usia remaja dikorbankan untuk melindungi...
