Dua hari berlalu tanpa sebarang khabar dari Emir. Tiada mesej, tiada panggilan. Tiada usaha daripada suaminya untuk memujuk atau menjernihkan keadaan. Sofia meletakkan telefon bimbitnya di atas meja sisi katil. Matanya sudah mula memberat. Penat. Fikirannya kusut. Dia tidak mahu fikirkan tentang Emir, tetapi semakin dia cuba, semakin wajah lelaki itu menghantui mindanya.
Baru sahaja kelopak matanya hampir terkatup, telefon bimbitnya bergetar. Matanya terbuka semula. Dia segera mencapai telefon.
Hotel Vista Perdana.Bilik No. 811, tingkat 10
Dahi Sofia berkerut. Hatinya mula tidak sedap. 'Apa ini?'
Jari-jarinya laju menaip.
Apa ni? Siapa awak?
Tidak sampai beberapa saat, satu lagi mesej masuk.
Tengok sendiri supaya awak kenal siapa suami awak sebenarnya.
Diikuti dengan satu lampiran gambar. Dengan tangan menggigil, Sofia membuka gambar tersebut.
Nafasnya tersekat.
Darahnya terasa berhenti mengalir.
Wajah Emir.
Wajah Sabby.
Mereka berjalan bersama di satu lorong hotel, menuju ke sebuah bilik. Dalam gambar itu, Sabby berdiri rapat di sisi Emir. Pintu bilik dikuak, dan Emir masuk bersama Sabby sebelum pintu ditutup.
Air matanya bergenang. Cuba menafikan apa yang dia lihat. 'Tidak! Tidak mungkin Emir buat macam ni! Jerit hati kecilnya.
Hatinya bergelora, dadanya terasa sesak. Dia cuba mengawal perasaannya, cuba mencari rasional di sebalik gambar itu, tetapi fikirannya sudah berperang dengan emosi.
Telefon masih di tangannya, air matanya menitis satu persatu. Tidak! Dia tidak boleh duduk diam. Dia tidak boleh sekadar menangis tanpa berbuat apa-apa.
Dengan rasa pilu mencucuk-cucuk tangkai hatinya, dia menekan nombor Aidil.
"Aidil...tolong aku," suara Sofia bergetar, tangisannya hampir pecah.
Aidil di hujung talian terdiam beberapa saat sebelum bertanya dengan nada cemas. "Sofi, kenapa ni? Kau kat mana?"
"Aku kat bilik. Bawa aku pergi ke alamat ni." Sofia menyebut alamat yang dihantar kepadanya tadi.
Aidil menarik nafas panjang. Dia tahu nada suara itu. Tanpa bertanya lebih lanjut, dia bersetuju. "Okay, jom!"
Sofia menamatkan panggilan. Dengan jantung yang berdegup laju, dia segera mengambil jaketnya dan keluar dari bilik.
Wafa yang sedang menonton televisyen menoleh. "Sofi, kau nak pergi mana?"
Sofia menggeleng, cuba menyembunyikan air matanya. "Aku nak keluar sekejap, tolong tengok-tengokkan anak-anak aku ya,"
Hani bangun dari sofa. "Sofi! Aku ikut!"
Sofia mengangguk tanpa melihat mereka. Langkahnya laju menuju ke pintu.
Aidil sudah menunggu di dalam kereta. Sebaik sahaja Sofia dan Hani masuk ke dalam kereta, lelaki itu menoleh memandangnya dengan pandangan penuh tanda tanya. "Apa yang sebenarnya jadi ni, Sofi?" Aidil dan Hani memandang Sofia mengharapkan jawapan.
Sofia tidak menjawab. Dia hanya menyerahkan telefonnya kepada Aidil.
Aidil membaca mesej dan melihat gambar yang dihantar. Wajahnya berubah. Rahangnya menegang.
"Bila ni?" suara Aidil hampir berbisik, seakan tidak percaya. Perasaan marah perlahan-lahan menyelinap masuk dalam hatinya melihat Sofia begitu.
Sofia menjungkit bahunya. "Tapi, aku nak tengok sendiri, Dil. Kalau betul—" suaranya tersekat, air matanya kembali menitis.
ANDA SEDANG MEMBACA
Tak kan Pernah Ada (Completed)
RomanceSebaik mana manusia merancang, Tuhan jugalah perancang yang terbaik. Sofia Irdina punya rancangan sendiri tentang hidupnya. Tentang cita-cita dan impian. Bukan untuk hari ni tapi untuk satu hari nanti setelah usia remaja dikorbankan untuk melindungi...
