Bab 69

317 10 0
                                        

Sofia memusingkan badannya ke kiri dan ke kanan, mencari posisi tidur yang selesa. Tetapi semakin dia cuba, semakin jauh lena darinya. Matanya terasa pedih kerana mengantuk, tetapi fikirannya enggan berhenti berputar. Dia menarik nafas perlahan dan meraih telefon bimbit di sisi.

WhatsApp dibuka, matanya tertancap pada mesej terakhir dari Emir yang dihantar dua jam lalu:

Saya dah sampai KL. Nanti sampai hotel, saya call awak, okay?

Sofia membaca mesej itu berulang kali, berharap rasa lega menyusup ke hatinya. Tetapi tidak, rasa resah terus membelenggu. Dia mula menaip balasan tetapi berhenti. Tangannya mengetuk skrin beberapa kali sebelum akhirnya memadam mesej yang belum selesai itu.

Dia menghembus nafas perlahan dan menyisipkan telefon bimbitnya di bawah bantal. Matanya dipejamkan semula, tetapi dua saat kemudian, dia membuka matanya dengan rasa tidak puas hati.

Sofia duduk di atas katil, mengikat rambutnya perlahan-lahan. Telefon bimbitnya diraih kembali, dan dengan langkah perlahan, dia menuju ke tingkat bawah. Di ruang tamu, dia membaringkan dirinya di atas sofa. Remote TV dicapai dan dia mula menukar saluran tanpa henti, mencari sesuatu yang mampu mengalihkan perhatiannya.

Tetapi tiada satu pun rancangan menarik minatnya. Remote itu akhirnya dilepaskan ke atas meja. Sofia mengeluh panjang.

Tiba-tiba, bunyi ding dari telefon bimbitnya membuatkan dia tersentak. Sofia duduk tegak, menekan dada telefon untuk melihat notifikasi itu. Sebuah email masuk, dihantar dari alamat yang tidak dikenali.

Keningnya berkerut. Jarinya menekan ikon email, dan sebaik sahaja kandungannya terbuka, tubuh Sofia membeku bagai disimbah air sejuk.

Gambar pertama menampakan Emir, sedang makan bersama seorang wanita berambut perang dan ikal di sebuah restoran mewah. Kedua-duanya kelihatan bergelak tawa, sangat akrab. Gambar kedua memperlihatkan mereka melangkah masuk ke dalam kereta yang sama.

Telefon di tangannya terasa semakin berat. Mata Sofia tidak berkedip, jantungnya berdetak kencang seiring dengan gelora rasa yang mula menyelubunginya. "Apa semua ni?" bisiknya perlahan, separuh bergetar.

Sofia meletakkan telefon di atas meja kopi, menarik nafas panjang untuk menenangkan dirinya. Tetapi matanya kembali ke arah skrin telefon, memaksa dirinya menatap gambar itu sekali lagi. Kepala mula dipenuhi soalan yang tidak mampu dijawab.

"Siapa dia ni?" bisiknya lagi. Hatinya mula dilanda ribuan teka-teki.

Sofia masih terpaku di sofa, matanya melekat pada skrin telefon yang kini gelap selepas dia menekan butang kunci. Tetapi dalam fikirannya, gambar-gambar itu terus berulang, membanjiri fikirannya tanpa henti.

Kata-kata Emir sebelum ini terngiang-ngiang di telinganya.

"Awak tak takut saya ke KL dengan perempuan?"

Dia memicit dahinya dengan kedua-dua belah tangan. Soalan itu seolah-olah kini menjadi bayangan yang mencengkam jiwanya. Perasaan resah bercampur marah mula menghuni dirinya.

Nama Emir tertera di skrin telefon apabila jarinya menekan ikon telefon bimbit. Jantungnya berdetak kencang. Sebahagian dirinya mahu menekan butang panggil, mahu mendapatkan penjelasan dari lelaki itu. Tetapi sebahagian lagi berbisik agar dia tidak bertindak terburu-buru.

Sofia menarik nafas dalam, jemarinya tergantung beberapa saat di atas skrin sebelum dia memutuskan untuk membatalkan niatnya. Telefon itu dimatikan terus, dilemparkan ke sisi sofa. Hatinya bergolak hebat, tetapi dia tahu menelefon Emir dalam keadaan emosinya yang bercelaru ini hanya akan menambah kekusutan.

Dengan perlahan, dia mencapai remote TV semula, menekan butang-butang tanpa tujuan yang jelas. Dia berhenti seketika pada saluran drama, tetapi tidak mampu memberi tumpuan pada jalan cerita. Sofia menghela nafas panjang, tubuhnya disandarkan ke sofa. Pandangannya kosong, jauh melayang. Cuba mengalihkan perhatian kepada TV, tetapi hatinya tetap bergelodak.

Tak kan Pernah Ada (Completed)Cerita yang buat anda obses. Terokai sekarang