Bab 70

400 7 0
                                        

Matanya melilau mencari kelibat Emir di antara orang ramai di kawasan ketibaan. Bagasi berwarna merah jambu di sisinya mencuri perhatian beberapa orang, tetapi Sofia tidak peduli. Dia berdiri dengan resah, tangannya menggenggam erat tali beg. Fikirannya kembali pada pagi tadi, betapa kelam-kabutnya dia bila Elly dan Hani menyatakan tiket ke Kuala Lumpur sudah siap ditempah. Dalang utama? Yasmin Hani.

"Kau tak payah risau apa-apa. Aku dengan Hani ada jaga si kembar," kata Elly sambil tersenyum menenangkan Sofia yang sedikit cemas.

Hani hanya ketawa kecil. "Kau tak payah banyak fikir. Kau pergi aje jumpa suami kau. Kita orang dah plan semuanya."

Walaupun masih sedikit skeptikal, Sofia akhirnya berangkat juga. Kini, dia berdiri di KLIA, dikelilingi oleh hiruk-pikuk penumpang yang baru tiba dan keluarga yang menunggu. Sesekali, Sofia mengerling jam di pergelangan tangan. Di mana dia ni? fikir Sofia.

Hampir dia menjerit apabila satu tangan sasa diletakkan di bahunya. Serentak itu, bau cologne yang sudah biasa menyapa hidungnya. Sofia berpaling dengan mata yang membulat.

"Sayang!" Emir berdiri di belakangnya dengan senyuman lebar, matanya bersinar gembira. Tanpa amaran, Emir menarik Sofia ke dalam pelukannya.

"E-Erm—" Sofia tergagap. Wajahnya terasa membahang. Jantungnya seperti mahu melompat keluar dari dada.

"Rindu saya tak?" bisik Emir dekat ke telinga Sofia.

Sofia terpempan, membisu. Dia tidak tahu hendak menjawab bagaimana. Perasaannya bercampur baur—malu, gembira, dan sedikit keliru.

"Jom," kata Emir sambil melepaskan pelukan dan memimpin tangan Sofia menuju ke arah keretanya.

Sofia mengikut, tetapi dia sedar betapa sesaknya nafasnya. Tangannya yang digenggam erat oleh Emir terasa seperti tidak ada tulang, lembik tetapi pada masa yang sama begitu selesa. Dia mencuri pandang ke arah lelaki itu beberapa kali. Emir tidak berkata apa-apa, hanya terus tersenyum.

Di dalam kereta, Emir masih enggan melepaskan tangannya. Sesekali Sofia menarik perlahan, tetapi Emir mengetatkan genggaman sambil memandang jalan.

"Awak tak penat? Lama tunggu tadi?" soal Emir tiba-tiba, memecahkan kesunyian.

"Tak... tak lama," jawab Sofia perlahan.

"Awak tak rindu sayakah?" Soal Emir dengan nada serius.

Sofia tersentak. "Taklah..." Wajahnya kembali memerah. Dia cuba mengalihkan pandangannya ke luar tingkap. Emir menguis pipinya "Yalah tu tak rindu..."

Mereka saling berpandangan sebelum serentak ketawa kecil. Sepanjang perjalanan ke hotel, hanya gambar semalam berulang tayang dalam kepala Sofia tetapi dia belum punya keberanian untuk mendengar jawapan Emir.

Sebaik sahaja tiba di hotel, Emir memimpin Sofia masuk ke bilik mereka. "Awak rehatlah dulu. Nanti dalam 30 minit saya kejutkan awak ya, kita keluar makan malam,"

Sofia hanya mengangguk lemah, kakinya terasa berat melangkah ke katil. Usai meletakkan begnya di sudut bilik, dia merebahkan diri. Tidak sampai seminit, matanya terpejam. Tidur yang amat dinantikan selepas semalaman hanya tidur-tidur ayam.

Emir melabuhkan badannya di atas katil sambil meningkat kepalanya dengan tangan kirinya. Matanya tidak lepas dari memandang isterinya yang kelihatan sangat penat tetapi tetap menawan di matanya. Senyum kecil terukir di wajahnya.

"Ya Allah, terima kasih," bisik Emir perlahan, matanya masih tertumpu pada Sofia. "Terima kasih sebab kembalikan dia dalam hidup saya. Terima kasih, beri saya peluang kedua untuk bahagiakan dia. Saya janji akan jaga dia sebaik mungkin, Ya Allah. Jangan biarkan saya kecewakan dia lagi." Dia mengusap lembut pipi Sofia.

Tak kan Pernah Ada (Completed)Cerita yang buat anda obses. Terokai sekarang