DI pejabat, Adam semakin gelisah. Idayu masih belum muncul. Adam mundar mandir di dalam biliknya. Sesekali dia menjenguk ke luar bilik untuk melihat keberadaan Idayu namun terus merasa hampa. Gadis itu masih tidak hadir ke pejabat. Jam di dinding sudah menunjukkan pukul sepuluh pagi. Berkali-kali Adam cuba menghubungi isterinya itu menerusi panggilan telefon namun tidak berjawab. Tiba-tiba pintu biliknya diketuk dari luar. Adam tersenyum dan dengan pantas menuju ke arah pintu. Dia berharap Idayu yang baru tiba dan mengetuk pintu biliknya. Setelah pintu dibuka, Adam semakin hampa. Kelihatan Shakir menuju masuk ke dalam biliknya.
"Encik Adam kenapa? nampak macam tak senang duduk je?" Shakir bertanya setelah menyedari tingkah laku aneh majikannya itu.
"Takde.. takde apa-apa.. Kenapa? awak ada apa datang ke bilik saya?" Adam lantas menjawab.
"Ah, saya nak serahkan dokumen ni, untuk Encik Adam tanda tangan.. dan saya nak ingatkan, tengah hari nanti, Encik Adam ada meeting dengan wakil dari syarikat Batik Mas.." Shakir segera membalas. Adam menyambut dokumen yang dihulurkan oleh setiausahanya itu dengan pandangan mata yang kosong. Lelaki itu terdiam seketika, seolah sedang memikirkan sesuatu.
"Encik Adam ada apa-apa masalah?"
"Ah, takde.. hmm.. Shakir, batalkan meeting tengah hari ni.. tangguhkan lain kali."
"Baiklah.. tapi kenapa? Apa yang saya nak bagitahu kat pihak Batik Mas nanti."
"Cakap je la saya sibuk.." Adam membalas pendek. Shakir terdiam. Dia tahu ada sesuatu yang menggangu fikiran majikannya itu. Padahal perjumpaan dengan wakil syarikat usaha sama untuk projek mereka itu sudah di rancang sejak beberapa minggu yang lalu. Adam pasti tidak akan membatal atau menangguhkan perjumpaan tersebut dengan sesuka hati. Shakir yakin majikannya itu sedang di himpit oleh permasalahan yang mengganggu jiwanya berdasarkan tingkah laku aneh lelaki tersebut.
"Oh, ya.. tadi Puan Idayu ada call.. dia bagitahu dia perlukan cuti beberapa hari.." Shakir menyampaikan khabar daripada Idayu kepada Adam. Mendengar ucapan setiausahanya itu, Adam terus tersentak.
"Dia nak cuti? berapa hari? Kenapa dia nak cuti?" Bertalu-talu soalan yang muncul dari mulut Adam.
"Dia tak bagitahu berapa hari.. dan dia juga tak bagitahu kenapa... saya pun tak berani tanya sebab dia kan isteri Encik Adam.." Shakir sedikit tergagap untuk menjawab pertanyaan daripada Adam. Dia sudah menjangkakan pasangan tersebut sedang mengalami masalah dalam perhubungan mereka. Dia sama sekali tidak ingin masuk campur mengenai masalah rumah tangga majikannya itu. Disebabkan itu dia tidak berani banyak bertanya kepada Idayu sebelumnya. Walaupun jawatan Idayu lebih rendah berbanding dirinya, namun Shakir tetap tidak berani mempersoalkan wanita tersebut kerana Idayu tetap isteri kepada majikannya. Kedudukan gadis itu tetap lebih tinggi berbanding dirinya yang cuma seorang pekerja kepada Adam. Malah daripada tindak tanduk Adam selama ini, Shakir sedar, Idayu mempunyai kedudukan istimewa kepada lelaki tersebut. Majikannya itu selama ini terkenal sebagai lelaki yang dingin terhadap wanita. Namun entah kenapa Adam amat mengambil berat terhadap Idayu dan menjadikan perempuan itu sebagai isterinya.
"Huh, tak boleh diharap langsung!" Adam mendengus kasar dan seakan tidak senang dengan tindakan Shakir. Dia sebenarnya sangat ingin tahu kenapa Idayu memerlukan cuti. Pada fikirannya, apakah gadis itu ditimpa sebarang masalah atau semata-mata ingin menjauhi dirinya. Dia sangat takut jika Idayu membuat pilihan untuk meninggalkan dirinya. Shakir pula terbungkam sambil menundukkan wajah. Kini dia sangat yakin, masalah mengenai Idayu adalah punca yang membuatkan fikiran Adam menjadi tidak tenang.
"Saya keluar dulu Encik Adam." Shakir meminta diri dan segera berundur. Dia dengan cepat melangkah meninggalkan Adam sendirian. Lelaki itu tidak ingin mengambil risiko untuk menerima makian daripada majikannya itu. Dia sangat faham jika emosi Adam sekarang tidak terkawal. Jika dia berterusan berada bersama majikannya itu, kemungkinan tinggi dia akan terus dipersalahkan dan dimaki oleh Adam yang ingin melampiaskan kemarahannya. Adam pula berjalan perlahan menuju ke arah sofa. Lelaki itu merebahkan punggungnya di sofa, seraya mencampakkan dokumen di tangannya tanpa membaca langsung helaian kertas yang diberikan oleh Shakir kepadanya itu. Adam kemudian menekup mukanya dengan kedua belah telapak tangan.