PULANG dari pejabat, Adam dan Idayu segera menuju ke hospital. Setelah tiba di hospital, kedua mereka berjalan beriringan menuju ke arah wad yang menempatkan ibu Idayu. Namun, di pertengahan jalan, Adam menghentikan langkah kakinya. Idayu yang pelik dengan tindakan suaminya itu segera menegur.
"Kenapa? Ada apa yang tak kena?" Idayu ingin tahu alasan Adam menghentikan pergerakan kakinya. Adam pula menggaru-garukan kepala sambil tersengih.
"Abang lupa la nak bawa buah tangan.. abang nak pergi beli buah kat kedai hujung blok tu.. rasa segan la kalau jumpa mak tak bawa apa-apa.. sayang pergi la kat wad mak dulu.. nanti abang datang." Adam berterus-terang dan menyatakan keinginannya.
"Hmm.. ye la.. jangan lama sangat." Idayu tersenyum melihat gelagat suaminya itu.
"Alah, kedai depan tu je.. sayang pergi la dulu jumpa mak.." Adam berpatah arah dan mula berjalan meninggalkan Idayu. Idayu terus tersenyum sambil menggelengkan kepala. Wanita itu kemudian meneruskan langkahnya menuju ke arah wad dimana ibunya berada.
Baru sahaja melangkah masuk ke dalam ruangan wad, Idayu segera melihat sosok Farhan sedang berdiri dan berbincang sesuatu dengan jururawat di kaunter wad. Wanita itu tidak berhajat untuk menyapa kenalannya itu yang terlihat sibuk membincangkan urusan kerjanya, namun Farhan segera menyedari kehadiran Idayu di sana.
"Ayu.. dah datang pun awak.." Farhan segera menyapa sambil melambaikan tangannya, sebagai isyarat memanggil Idayu agar mendekatinya. Menyedari panggilan daripada Farhan, Idayu akur dan merapati kawannya itu.
"Ya, kenapa?" Idayu langsung bertanya setelah mendekati Farhan.
"Emm.. saya cuma nak bagitahu keadaan mak awak je.. nampaknya kesihatan mak awak dah semakin baik dan stabil. Mungkin esok atau lusa dah boleh discharge kot." Farhan menyampaikan berita gembira buat Idayu.
"Betul ke? baguslah kalau macam tu." Idayu mula girang dan tersenyum lebar. Dia sangat menantikan berita tersebut sejak beberapa minggu yang lalu. Akhirnya khabar baik itu didengari juga oleh telinganya.
"Esok kami akan scan sekali lagi.. jadi, tengok kepada keadaan la macam mana.. kalau mak awak dapat giliran pagi untuk lakukan scan tu, mungkin esok dah boleh balik.. tapi kalau petang baru boleh buat, lusa la kot baru discharge.. bergantung kepada jadual di tempat scan la.. kalau result tu nanti takde apa-apa masalah, paling lewat, lusa mak awak boleh keluar wad." Farhan memberi penerangan lanjut. Idayu hanya mampu tersenyum mendengar khabar tersebut. Air matanya hampir menitis kerana terlalu gembira setelah mendengar keadaan kesihatan ibunya yang sudah membaik. Sejenak kemudian, barulah wanita itu kembali membalas ucapan Farhan yang berdiri di hadapannya.
"Baiklah.. Semoga kesihatan mak saya dah takde apa-apa masalah.. Kalau macam tu, saya pergi jumpa mak saya dulu." Idayu segera meminta diri untuk meninggalkan Farhan dan menemui ibunya. Dia sudah tidak sabar untuk menyampaikan berita gembira yang baru dia terima kepada ibunya nanti. Wanita itu bergegas membuka langkah dengan laju menuju ke bilik yang menempatkan ibunya. Tiba di bilik wad ibunya, Idayu melihat ibunya itu sedang menikmati hidangan makan malam yang disediakan oleh pihak hospital.
"Mak dah makan?" Idayu sekadar menyapa ibunya yang sedang menjamu selera.
"Dah datang pun kamu.. Emm.. macam biasa la, makanan hospital.. mak nak telan pun tak lalu.. kalau tak lauk ayam, mesti ikan je.. dengan sayur sikit.. dah la semuanya takde rasa.. tawar je.." Zaiton sedikit merungut dengan kualiti makanan yang disediakan oleh pihak hospital. Tenggorokannya tidak mampu untuk terus menelan semua masakan yang terasa hambar itu.
"Laa, mak ni.. dah nama pun hospital.. bukan hotel.. kat hospital ni macam-macam jenis orang sakit.. kena la jaga pemakanan.. orang kencing manis, mana boleh makan manis.. orang darah tinggi, tak boleh makan masin.. orang gastrik tak boleh makan masam.. so, mereka sediakan makanan yang cukup-cukup rasa je la.. janji berkhasiat. Nak makan sedap, sampai bila pun tak boleh keluar dari hospital.." Idayu membalas.