Bab 5

2 1 0
                                    

PERNIKAHAN Adam dan Idayu pun berlangsung. Namun tiada sanak saudara mahu pun sahabat handai yang hadir menemani. Mereka hanya melangsungkan perkahwinan secara rahsia. Adam cuma memaklumkan perkara tersebut kepada Khadijah sahaja memandangkan perkahwinan mereka hanyalah semata-mata untuk memenuhi keinginan ibunya itu. Mendapat perkhabaran daripada anaknya, Khadijah menjadi sangat gembira. Dia tidak menyangka anak tunggalnya itu akan menamatkan zaman bujang dengan wanita pilihannya. Selain ingin memiliki keturunan daripada anaknya, Khadijah juga ingin menutup mulut jiran tetangga dan sanak saudara yang sering bercakap mengenai Adam yang menjadi bujang lajang. Sebagai ibu, Khadijah tidak sanggup lagi untuk mendengar sebarang tomahan yang dilemparkan terhadap anak tunggalnya itu. Walaupun Adam seorang yang berkerjaya dan mempunyai syarikat serta gedung yang besar, namun anaknya itu masih tidak berkahwin walaupun sudah berusia. Kini semua tomahan orang akan tertutup dan terhenti apabila Adam sudah pun mempunyai isteri.

Di pejabat, Idayu tetap bekerja seperti biasa. Dia meneruskan tugasnya sebagai pembantu tadbir di syarikat milik Adam. Walaupun sudah bergelar isteri kepada majikannya, namun Idayu masih tidak merasakan apa-apa perbezaan. Mereka tidak tinggal bersama dan tidak pernah berjumpa melainkan waktu di pejabat, untuk melaksanakan urusan kerja. Adam tetap dengan sikap dinginnya dan Idayu pula terus fokus terhadap kerja. Setelah selesai tugasannya, Idayu yang duduk di meja kerjanya melihat ke arah satu fail. Itu adalah fail milik Idayu sendiri yang dibawanya ke pejabat. Tanpa membuang masa, Idayu mencapai fail tersebut dan melihat isinya. Di dalam fail tersebut, terkandung beberapa lukisan rekaan pakaian yang di lukis sendiri oleh Idayu.

Sambil menatap hasil rekaan baju yang dilukis olehnya, Idayu tersenyum puas. Idayu ingin mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang pereka pakaian. Itulah sebab mengapa dia berusaha mendapatkan kerja di syarikat tersebut. Walaupun hanya sekadar pembantu tadbir, Idayu tetap tidak ingin melepaskan peluang. Selama ini, Idayu sangat meminati bidang perekaan fesyen. Dia banyak menghasilkan rekaan fesyen dan corak pakaian, namun kebanyakan hasil ciptaannya itu hanya kekal di atas kertas dan menjadi koleksi simpanan peribadinya sendiri sahaja. Idayu tidak berpeluang untuk menceburi industri fesyen dalam bidang rekaan kerana dia tidak mempunyai kelulusan selayaknya di dalam bidang tersebut. Di sebabkan dirinya tidak mempunyai pendidikan atau latar belakang mengenai fesyen dan perekaan, gadis itu sering kali gagal untuk menawarkan diri kepada mana-mana syarikat. Oleh itu, Idayu mengambil keputusan untuk bekerja terlebih dahulu di dalam syarikat yang berkaitan rekaan dan peragaan fesyen walau apa pun jawatannya.

Nasibnya agak baik apabila dia diterima untuk bekerja di syarikat milik Adam sebagai pembantu tadbir. Walaupun berbeza jawatan, Idayu tetap optimis untuk memasuki industri fesyen. Jika sudah berada di dalam syarikat yang berkenaan, fikir gadis itu, pasti lebih mudah untuk dirinya mengejar cita-cita. Dia akan berjumpa dan menyerahkan hasil rekaannya kepada pegawai yang terlibat di bahagian perekaan fesyen. Dengan cara itu, pasti rekaannya akan diterima dan Idayu berkemungkinan akan diserap ke jabatan yang berkenaan.

Idayu yang hati penuh berbunga-bunga kemudian menutup fail di tangannya. Gadis itu kemudian bangkit berdiri dari kerusi dan melangkah pergi sambil membawa fail yang mengandungi rekaan fesyen yang dihasilkannya. Baru sahaja melangkah beberapa kali, Idayu melihat ke arah seorang lelaki yang berusia separuh umur. Lelaki itu adalah Hafiz, pengurus di pejabatnya. Idayu tanpa berlengah, segera menghampiri lelaki berkenaan yang juga merupakan pegawai atasannya.

"Encik Hafiz.. boleh saya nak minta tolong?" Idayu menyapa atasannya itu sambil tersenyum dan mendakap fail ke tubuhnya.

"Ya, ada apa?" Hafiz segera berkalih pandangan ke arah Idayu.

"Saya nak minta Encik Hafiz tengok hasil design yang saya buat ni.. dan saya nak minta Encik Hafiz tolong serahkan design ni kat bahagian design.. Ini semua saya buat sendiri." Idayu terus tersenyum sambil menghulurkan fail ditangannya kepada Hafiz. Hafiz menyambut fail yang diberikan seraya membuka fail tersebut. Hanya sesaat memandang, Hafiz lantas menutup semula fail yang diberikan oleh Idayu kepadanya sambil mecebik bibir.

ISTERI UPAHAN ENCIK ADAMWhere stories live. Discover now