Bab 13

7 1 0
                                    

Di sebuah restoran mewah, Adam dan Fairuz terlihat sedang makan bersama. Hubungan mereka kelihatan mesra, mungkin kerana sangat jarang bertemu. Sesekali, Fairuz cuba memegang tangan Adam, namun lelaki tersebut segera menepis. Lelaki itu seolah kurang selesa untuk bersentuhan dengan Fairuz. Namun begitu, Adam tetap juga melayani Fairuz dengan baik. Sebagai teman dari bangku sekolah, Adam sama sekali tidak ingin menyakiti Fairuz. Namun bagi Fairuz pula, dia tidak pernah berputus asa untuk terus mendampingi lelaki tersebut. Dia tahu sikap Adam yang dingin terhadap perempuan, namun Fairuz tetap berusaha agar lelaki itu tertarik kepadanya. Sebagai teman lama dan satu-satunya wanita yang diterima oleh Adam untuk didekati, Fairuz yakin dia pasti akan berjaya memikat Adam suatu hari nanti. Sedang mereka makan sambil berbual, tiba-tiba telefon bimbit Adam berdering. Tanpa berlengah, lelaki itu segera menjawab panggilan yang diterima.

"Assalamualaikum Ibu.. ada apa call Adam masa ni?" Adam pantas bertanya setelah menerima panggilan daripada ibunya.

"Waalaikummussalam.. Adam sibuk ke? Ibu saja je call, nak tanya.. Adam duk buat apa? dah makan ke belum? Tak boleh ke?" Kedengaran suara Khadijah di sebalik corong telefon.

"Eh, kenapa pula tak boleh.. Adam tengah makan la ni.. baru je selesai.." Adam membalas.

"Hmm.. Adam makan dengan Ayu ke?" Khadijah bertanya lagi.

"Emm.. bukan.. Adam sekarang ni tengah makan dengan Fairuz."

"Fairuz? Fairuz mana? Kawan Adam masa sekolah dulu tu ke?"

"Ah.." Adam menjawab ringkas seraya mengiyakan pertanyaan ibunya.

"Laa.. dah tu, Ayu dah makan ke belum?"

"Mana la Adam tahu.. mungkin dah kot.."

"Ish, kamu ni Adam.. Ayu tu kan isteri kamu.. makan minum dia dah jadi tanggung jawab kamu.. itu nafkah yang kamu perlu tanggung ke atas diri dia. Mana boleh jawab tak tahu.." Khadijah lantas memberikan ceramah terhadap anak lelakinya berkenaan tanggung jawab. Adam pula menggaru kepala.

"Sekarang kan waktu rehat.. mesti dia dah makan la tu.."

"Jangan cakap macam tu.. sebagai suami, kamu kena uruskan pasal makan minum dia.. satu lagi, ibu tak suka Adam duk keluar dengan Fairuz tu.. Adam tu dah kahwin.. nanti apa pula kata Ayu? Orang sekeliling pun pasti akan mengata.. Jangan buat Ayu kecil hati dengan perbuatan kamu.. Fairuz tu pun, bukan macam orang lain.." Khadijah terus berleter. Adam mula mengerutkan dahi. Dia tahu ibunya tidak suka dia rapat dengan Fairuz. Namun Adam juga tidak ingin membuang Fairuz dengan mudah daripada hidupnya. Malah Adam sebenarnya terhutang budi dengan Fairuz yang sebelum ini sudah mengajar dan berkongsi pengetahuan kepada Adam mengenai urusan perniagaan. Temannya itulah yang menjadi pendorong dan penasihat Adam ketika lelaki itu baru ingin mula berjinak dalam dunia perniagaan suatu ketika dahulu.

"Takpe la bu.. Adam nak balik office dulu.. ada urusan pula sekejap lagi." Adam ingin menghindari bebelan ibunya dan ingin menamatkan perbualan mereka dengan secepat mungkin.

"Hah, itulah perangai kamu.. asal Ibu tegur sikit, mula la.. sibuk sana, sibuk sini.."

"Bukan macam tu Ibu.. Adam betul-betul kena balik office ni.. nanti lambat pula." Adam cuba memberikan alasan.

"Hmm.. ye lah.. Ah, ibu hampir lupa nak bagitahu.. nanti lusa, Adam bawa Ayu datang rumah Ibu.."

"Eh, kenapa pula? baru je beberapa hari lepas Ibu datang rumah Adam.. kan baru je jumpa.."

"Itu Ibu yang ke sana.. sekarang Ibu nak Adam bawa Ayu datang rumah Ibu.. takkan la dah kahwin, dia tak pernah kenal rumah mentua dia sendiri.. Dah, tak payah bagi alasan.. Lusa ibu nak Adam datang dengan Ayu.. Ibu akan masak sedap-sedap.." Khadijah menyampaikan keinginannya dengan penuh semangat. Adam pula terus menggarukan kepala sambil mengerutkan dahi.

ISTERI UPAHAN ENCIK ADAMWhere stories live. Discover now