MATAHARI mulai terperosok dan bersembunyi ke perut bumi. Langit senja pada hari itu disusuli oleh laungan azan maghrib berkumandang seperti biasa. Di kala itu, Idayu baru tiba di pekarangan rumah Adam. Dia yang baru pulang dari hospital masih tertanya-tanya mengenai Adam yang tidak kunjung tiba ke sana. Padahal suaminya itu sudah berjanji untuk menemui ibunya.
Masuk sahaja ke dalam rumah, Idayu segera melihat kelibat seorang wanita yang separuh usia sedang mengemas ruang tamu. Dia langsung mengetahui mengenai wanita yang digelar sebagai Mak Jah itu kerana telah dimaklumkan lebih awal oleh Adam. Demi mengalu-alukan kedatangan wanita yang akan menjadi pembantu rumah di sana, Idayu segera bertegur sapa dan berbual dengan sepupu ibu mentuanya itu.
Oleh kerana keletihan dan tidak ingin melengahkan waktu solat maghrib dengan sengaja, Idayu tidak mampu untuk berlama-lamaan dengan wanita yang menjadi pembantu rumah tersebut. Setelah berbual buat seketika, dia meminta diri untuk masuk ke bilik bagi membersihkan diri dan menunaikan solat maghrib. Baru sahaja Idayu melangkah masuk ke dalam bilik, kelihatan Adam yang baru selesai menunaikan solat. Adam yang menyedari kehadiran isterinya itu hanya berlagak seolah isterinya itu tidak wujud di ruangan tersebut. Lelaki itu hanya diam dan melipat sejadah yang baru digunakannya untuk solat sebentar tadi.
"Abang.. kenapa tak datang ke hospital tadi?" Idayu menegur. Adam pula masih berdiam diri dan segera melangkah keluar dari bilik tersebut. Idayu mula menjadi pelik dengan tingkah laku Adam yang mengabaikan dirinya. Jangankan untuk menjawab pertanyaannya, malah Adam sama sekali tidak memandang ke arah isterinya itu.
'Kenapa pula dia ni? Padahal kat pejabat tadi elok je.. ke aku ada buat salah apa kat dia?' Idayu tertanya sendiri. Dia benar-benar bingung dengan perubahan tingkah laku suaminya yang terjadi secara tiba-tiba. Tidak ingin membuang masa, wanita itu terus melucutkan pakaiannya dan menuju ke bilik air untuk mandi dan menyegarkan tubuh badannya.
Selesai mandi, Idayu segera menunaikan solat maghrib dan tetap berada di sejadah untuk membaca al-quran sementara menunggu tibanya waktu isyak. Selesai mengerjakan solat isyak, barulah perempuan itu keluar dari bilik dan menuju ke ruang dapur. Di dapur, Adam sudah pun makan makanan yang disediakan oleh Mak Jah.
"Hmm, lapar betul abang ni.. sampai tak sempat tunggu untuk makan sama-sama.." Idayu menyapa suaminya itu. Dia segera menarik kerusi di meja makan dan duduk bertentangan muka dengan Adam.
"Wah, banyak betul lauk.. Mak Jah yang masak semua ni?" Idayu bertanya. Namun Adam masih tetap diam dan asyik menyuapkan makanan ke dalam mulutnya. Pandangan matanya langsung tidak melihat ke arah isterinya itu dan hanya bertumpu ke arah nasi yang terisi di dalam pinggannya sahaja.
"Mak Jah mana? Kat dalam bilik dia ke?" Idayu terus melontarkan pertanyaan walaupun tiada satu pun daripada soalannya dijawab oleh Adam. Idayu menatap wajah suaminya yang tidak mempedulikan segala pertanyaannya itu. Hatinya mula rasa terkilan dengan perbuatan Adam. Lelaki itu masih meneruskan makannya sambil menundukkan pandangan.
"Abang dah solat isyak ke?" Idayu meneruskan lagi pertanyaan untuk berbicara. Namun begitu, Adam tetap membisu. Idayu mula bertambah jengkel. Perlakuan suaminya itu dirasakan cukup menyebalkan hati. Sejak pulang ke rumah, suaminya itu masih mendiamkan diri dan tidak ingin berbicara. Baru sahaja Idayu ingin melampiskan perasaannya, tiba-tiba Mak Jah muncul dan menyapa.
"Haa, dah makan? Mak Jah baru siap solat isyak.. Eh, Ayu kenapa tak makan lagi?"
"Mak Jah.. jom la duduk, makan sama.." Idayu segera mempamerkan senyuman dan terus memendamkan perasaannya terhadap Adam. Baru sahaja Mak Jah melabuhkan punggungnya di kerusi pada meja makan, Adam pula sudah pun selesai menjamu selera. Lelaki itu lantas bangkit berdiri dan menuju ke arah sinki untuk membasuh tangannya.