BULAN terlihat suram dan terlindung di sebalik awan, menjadikan suasana pada malam itu gelap dan kelam. Di dalam sebuah bilik, persekitaran kelihatan berbalam tanpa lampu yang terpasang. Dalam keadaan gelap tersebut, kedengaran suara esak tangisan yang tersedu sedan. Adam yang terduduk di lantai memeluk kedua belah kakinya yang dibengkokkan. Mukanya pula dibenam antara celah kedua belah kakinya pada bahagian lutut. Lelaki itu benar-benar menyesal dan tidak dapat menerima hakikat jika Idayu ingin berpisah dengannya. Lafaz cerai yang dikemukakan oleh isterinya itu seakan membunuh jiwa. Adam tidak sanggup jika keadaan itu benar-benar berlaku. Dia baru sahaja mengakui cintanya terhadap Idayu. Namun cinta yang baru tumbuh menjalar itu pula seperti ingin menjerut lehernya.
Keesokan harinya, Shakir yang berada di pejabat kebingungan. Adam dan Idayu sama-sama tidak hadir. Lelaki yang menjawat sebagai setiausaha kepada Adam itu berkali-kali cuba untuk menghubungi majikannya itu namun tidak berjaya. Shakir turut menghubungi Idayu namun gagal juga. Shakir menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
"Aduh.. takkan la pasal masalah peribadi, dua-dua, laki bini taknak datang kerja.. dua-dua tak jawab call.. masalah betul.." Shakir merungut.
Khadijah pula baru selesai membeli barang di pasar borong. Wanita itu turut gusar apabila panggilan telefon kepada Adam tidak terjawab. Selama ini, Adam tidak pernah mengabaikan panggilan daripada ibunya itu. Jika terlambat atau sibuk untuk menerima panggilan ibunya, Adam pasti akan menelefon semula kepada Khadijah. Namun sejak pagi tadi, sudah berkali-kali Khadijah cuba menghubungi Adam tetapi gagal. Di sebabkan itu, wanita tersebut mengambil keputusan untuk pergi ke rumah anaknya itu. Dia khawatir jika berlaku apa-apa terhadap anak tunggalnya itu. Setelah mendapatkan teksi, Khadijah segera menuju ke rumah Adam.
Sampai di hadapan rumah, Khadijah semakin pelik apabila melihat kereta milik Adam masih berada di pekarangan rumah. Dia mula yakin jika anaknya itu masih berada di rumah dan tidak ke pejabat seperti sepatutnya.
"Tapi.. kereta Ayu takde pula.. takkan mereka pergi kerja naik satu kereta..Hmm.." Khadijah tertanya-tanya sendirian. Setelah masuk ke pekarangan rumah, Khadijah segera mengetuk pintu rumah anaknya itu.
"Assalamualaikum.. Adam.. Adam ada kat rumah ke?" Khadijah memanggil anaknya beberapa kali. Setelah ketukan pintu dan panggilannya tidak bersahut, Khadijah mengeluarkan kunci pendua rumah anaknya itu dari tas yang disandang olehnya.
"Adam?!" Khadijah masih memanggil nama anaknya setelah masuk ke dalam rumah. Langsung tiada sebarang sahutan yang kedengaran.
"Mana pula budak ni? ke memang dah keluar dengan Ayu?" Khadijah masih tertanya-tanya sambil berjalan di dalam rumah. Setiap ruang dijengah dan dilihat oleh Khadijah. Dia cuba mencari keberadaan anaknya. Setelah mendapati Adam tiada di ruang tamu mahupun dapur, Khadijah menuju pula ke bilik tidur anaknya.
"Adam?" Khadijah membuka pintu bilik perlahan-lahan sambil mengintai melalui celahan daun pintu. Setelah pintu bilik dibuka luas, wanita itu segera melangkah masuk ke dalam bilik tidur anaknya. Seketika kemudian, Khadijah tersentak.
"Ya Allah.. Adam! Apa dah jadi ni? Mana Ayu?" Khadijah menjerit apabila melihat tubuh Adam terbaring layu di lantai, tidak sedarkan diri. Wanita tersebut segera mendapatkan Adam dan memeluk erat tubuh anaknya itu. Badan Adam di goncang sekuat hati sambil air mata mula bercucuran di pipinya yang sudah berkedut.
"Adam.. bangun Adam.." Khadijah terus merintih dan menangis. Hatinya dicengkam rasa pilu tatkala melihat anak tunggalnya terbaring layu dengan mata yang terpejam. Wajah Adam diusap perlahan. Pandangan wanita itu mulai kabur akibat genangan air yang memenuhi ruang matanya.
"Adam.. jangan tinggalkan ibu.. bangunlah nak.."
Tidak lama kemudian, Khadijah membuat panggilan kecemasan dan mendapatkan bantuan ambulans untuk membawa Adam ke hospital. Wanita itu turut membuat panggilan kepada menantunya. Namun panggilan kepada Idayu gagal. Khadijah tidak berhenti untuk terus mencuba menghubungi isteri kepada anaknya itu.