Bab 59

21 1 0
                                    

Keadaan Emir di hospital semakin baik. Kakinya yang retak tempoh hari telah disahkan doktor, tidak mengalami kecederaan serius, hanya bengkak di otot akibat hentakan. Bahagian atas keningnya telah dijahit dengan beberapa jahitan kecil, sementara lebam masih menghiasi beberapa tempat di wajah dan tubuhnya. Emir tampak lebih baik dari malam tadi.

Sebelah petang keesokan harinya, Emir dibenarkan keluar dari hospital setelah menjalani pemeriksaan susulan. Jeremy, yang setia menemaninya sepanjang waktu, tidak berganjak dari sisi Emir, memastikan segala keperluan bosnya dijaga dengan baik. Makanan yang dihidangkan di atas meja hospital masih tidak disentuh, menunjukkan betapa Emir tidak punya selera makan.

Jeremy memandang telefon bimbit Emir yang terletak di atas meja. Sudah berulang kali telefon itu berbunyi—panggilan daripada Datin Fauziah. Namun, mengikut arahan Emir, Jeremy tidak menjawab walaupun hatinya berat.

"Jangan jawab, tak kira siapa pun," pesan Emir kepadanya semalam. Rasa kasihan pada Emir makin menebal setiap kali Jeremy memandang wajah bosnya yang lelah dan terluka.

Jeremy berdiri dan mengeliat perlahan, meregangkan badannya yang letih kerana duduk terlalu lama di kerusi hospital. Ketika itu, Emir tiba-tiba membuka mata. Menyedari Emir sudah bangun, Jeremy segera mendekati katil.

"Bos, dah bangun," kata Jeremy, suaranya ceria.

Emir memandang Jeremy dengan mata separuh terbuka, kemudian mengangguk perlahan. Wajahnya masih kelihatan letih, namun dia cuba untuk bangun dari tempat tidur.

"Bos nak apa-apa? Nak makan? Atau nak minum air?" Jeremy bertanya dengan nada prihatin.

Emir menggeleng perlahan. "Tak ada apa-apa, Jer," jawabnya dengan suara serak.

Jeremy mengambil nafas panjang sebelum berkata, "Bos, doktor cakap awak dah boleh balik. Kita boleh keluar sekarang kalau awak dah bersedia."

Emir mengangguk sekali lagi, kali ini dengan lebih yakin. Dia sudah tidak mahu lagi berada di hospital, keletihan mental dan emosinya terasa lebih berat daripada luka fizikal yang dialaminya. Dengan bantuan Jeremy, Emir berdiri perlahan-lahan, cuba menahan kesakitan yang masih terasa di segenap tubuhnya. Setiap langkah terasa berat, tetapi Emir tetap berusaha berjalan dengan tenang.

Selepas selesai urusan pembayaran di kaunter, mereka menuju ke kereta. Langit petang kelihatan mendung, seolah-olah mencerminkan suasana hati Emir yang kelam. Jeremy, yang sentiasa prihatin, memandang bosnya melalui cermin pandang belakang setelah mereka duduk di dalam kereta.

"Kita nak balik ke rumah sewa, bos?" tanya Jeremy dengan harapan Emir mahu pulang dan berehat.

Namun, Emir menggeleng perlahan. "Tak. Bawa aku balik ke The White Cottage."

Jeremy tidak terkejut mendengar permintaan itu. Dia tahu, The White Cottage adalah tempat di mana Emir selalu mencari ketenangan, jauh dari segala kekusutan hidup.

"Baik, bos." jawab Jeremy sambil menghidupkan enjin kereta.

Sebelum kereta mula bergerak, Jeremy bertanya dengan sedikit keraguan, "Bos, tak nak balik jumpa Sofia atau anak-anak bos dulu?"

Emir menghela nafas panjang, matanya memandang ke luar tingkap. "Tak. Aku tak nak dia orang nampak aku macam ni,"

Jeremy mengangguk, memahami maksud Emir. Dia menekan pedal minyak dan mula memandu menuju The White Cottage. Sepanjang perjalanan, suasana di dalam kereta sunyi. Emir duduk diam, tenggelam dalam fikirannya sendiri, sementara Jeremy memandu dengan berhati-hati, memastikan bosnya selesa sepanjang perjalanan.

Ketika mereka tiba di The White Cottage, suasana sepi menyelubungi rumah itu. Matahari hampir terbenam, langit berwarna jingga lembut menghiasi latar belakang. Emir keluar dari kereta dengan langkah yang lemah, berjalan tempang sambil menahan sakit di kakinya. Jeremy segera bergerak untuk membantunya, tetapi Emir hanya menggeleng dengan senyuman kecil.

Tak kan Pernah AdaWhere stories live. Discover now