AWANI dibuat tertanya-tanya.
Alfi menelefonnya sehari sebelum peperiksaan SPM bermula dan berkata ingin berjumpa. Ada hal penting yang mahu dia bicarakan. Walaupun pelik dengan permintaan Alfi, dia turutkan.
Pintu pagar dibuka saat Alfi sudah tiba di hadapan rumah. Lalu dijemput lelaki itu masuk ke dalam. Ditinggalkan Alfi di luar sementara Awani berlalu ke dapur untuk membuat air. Satu jag air kardial oren dan sepiring biskut dibawa keluar oleh Awani.
Saat melihat itu, bibir Alfi menguntum senyum.
"Nostalgia betul. Kali pertama aku datang sini, kau hidang aku benda yang sama. Air oren dan biskut." Alfi terkekeh lucu.
Awani memutar bebola mata. Tak berminat untuk mengenang memori tidak bermakna itu.
"Kau nak cakap apa?" Tanya Awani tak mahu berbasa-basi.
Alfi masih berlagak santai.
Air dituang ke dalam gelas lalu diteguk sedikit. Sekeping biskut coklat dicapai dan digigit. Hanya selepas dia menghabiskan kepingan biskut itu, barulah Alfi bersuara. Dia bertongkat dagu dan memandang tepat ke muka Awani.
"Tak ada apa. Aku cuma nak borak kosong dengan kau." Jawabnya tenang.
Dahi Awani berkerut.
"Hah? Borak kosong? Kau datang sini semata-mata nak buang air liur je? Baik aku masuk bilik buat ulangkaji. Ada faedah juga." Tukas Awani geram.
Ingatkan bila dah nak SPM ni Alfi makin insaf. Tapi makin menjadi-jadi perangainya!
Alfi tayang sengih tampan. Dia tahu dirinya bakal dimarahi. Tetapi Alfi sudah kentalkan hati dan sedia menerima caci maki gadis nerd itu. Asalkan hajatnya untuk bertemu Awani tercapai.
Gadis bermata empat itu menarik nafas dalam. Cuba bertenang.
Daripada dia habiskan tenaga dengan memarahi Alfi, lebih baik dia layankan saja perangai tidak semegah lelaki tu. Nanti dia dah puas main, pandai-pandailah dia balik.
Awani menuang air ke dalam gelas lalu meminumnya. Kesejukan air tersebut meredakan hati Awani yang panas. Setelah air itu diteguk, Awani bertanya lagi.
"Kau nak borak apa dengan aku?"
Alfi mencapai sekeping biskut yang baru.
"Habis SPM nanti, apa plan kau? Nak sambung mana? STPM? Asasi? Matrik?" Biskut itu digigit kecil sembari mengerling Awani.
Gadis itu bersandar pada kerusi di belakang.
"Asasi. Aku nak ambil aliran STEM. Kau?"
"Foundation in law. Private university. Bonda aku dah apply dekat universiti tempat dia belajar dulu."
"Oh." Tak pelik. Alfi dari golongan orang berada.
Jeda.
Keduanya senyap untuk seketika. Hanya bunyi angin berlalu mengisi keheningan di antara mereka. Namun Alfi mahupun Awani tidak merasa canggung. Ia adalah kebisuan yang menyenangkan.
Awani mendongak untuk menatap Alfi. Lelaki itu sedang termenung jauh. Entah apa yang berada di fikiran lelaki itu sekarang.
"Alfi?" Panggil Awani.
Alfi menoleh. Air mukanya tidak dapat dibaca.
"Kau kenapa?" Awani mula risau.
Selalunya lelaki itu bermulut murai dan tidak tahu untuk senyap. Tetapi sekarang, Alfi mengunci mulut. Tak mungkin dia berkecil hati dengan kata-kata Awani tadi. Pasti ada perkara lain yang berlegar di kepala lelaki itu.
ANDA SEDANG MEMBACA
PENOLONG KETUA KELAS | C
Teen Fiction𝐓𝐀𝐌𝐀𝐓 𝐏𝐞𝐧𝐨𝐥𝐨𝐧𝐠 𝐊𝐞𝐭𝐮𝐚 𝐊𝐞𝐥𝐚𝐬 𝐛𝐲 𝐡𝐨𝐧𝐞𝐲_𝐛𝐮𝐳𝐳. ✓ 𝐓𝐞𝐞𝐧 𝐅𝐢𝐜𝐭𝐢𝐨𝐧 ✓ 𝐒𝐜𝐡𝐨𝐨𝐥 𝐋𝐢𝐟𝐞 ✓ 𝐒𝐥𝐢𝐜𝐞 𝐎𝐟 𝐋𝐢𝐟𝐞 ✓ 𝐃𝐫𝐚𝐦𝐚 『 𝐒𝐭𝐚𝐫𝐭 : 𝟎𝟐/𝟖/𝟐𝟎𝟐𝟒 』 『 𝐄𝐧𝐝 : 𝟐𝟔/𝟓/𝟐𝟎𝟐𝟓 』
