SETELAH tujuh tahun berhempas pulas membanting tulang, akhirnya Awani dapat menggenggam segulung Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia. Cita-citanya untuk menjadi seorang jurutera seperti ayahnya tercapai.
Perasaan gembira kerana berjaya menamatkan pengajian dengan Anugerah Graduan Cemerlang dan pointernya yang mencapai 4.0 untuk setiap semester, membuat Awani tidak dapat menahan air mata yang menitik jatuh setelah dia turun dari podium.
Penat lelahnya dibantu dengan rakan-rakan seijazahnya akhirnya membuahkan hasil. Dan pastinya, kerana dia tahu ada insan istimewa yang sudah menunggu saat-saat ini dengan penuh kesabaran selama tujuh tahun lamanya.
Setelah bergambar dan berlaga pipi dengan rakan-rakannya, Awani melangkah ke arah mama dan papanya, Puan Arina dan Tuan Shamsuddin, sebelum dia memeluk sang ibu dengan erat.
Air mata yang tadinya diseka kembali turun apabila si ibu mengalirkan air mata kebahagiaan. Papa yang terharu juga senyap-senyap mengusap butiran mutiara yang muncul di sudut mata. Awani tertawa kecil apabila mama mula menyakat papa yang tidak mahu mengaku dia baru sahaja menangis.
Tak lama kemudian, Awani mendengar satu suara dalam dan lunak yang sudah sekian lama dirindukan dari arah belakang.
"Assalamualaikum, Awani."
Matanya dipejam rapat. Menahan diri daripada melompat teruja. Tidak manis dipandang orang nanti. Perlahan-lahan matanya dibuka dan dia memusingkan badan ke belakang.
Senyuman gembira tidak dapat disembunyikan sebaik sahaja matanya bertemu dengan sepasang mata perang cair milik si pujaan hati.
"Waalaikumussalam, Naufal."
Lelaki itu ikut tersenyum lebar. Dia melangkah mendekat dengan mata yang tidak lepas menatap Awani yang terakhir kali dilihatnya tujuh tahun lalu.
Mereka hanya bertukar mesej singkat yang tertulis ucapan ringkas bertanyakan khabar si dia tanpa sebarang ayat manis. Tiada gambar yang disajikan untuk melepaskan rindu yang tertahan. Hanya doa sebagai penguat hati untuk setia pada si dia yang mengejar cita-cita.
Tujuh tahun Tengku Naufal menunggu dengan penuh keperitan. Disibukkan diri dengan pengajiannya dalam Ijazah Sarjana Muda Teater Pengarahan. Mengikuti jejak ayahanda yang mahukan dia menjadi seorang pengarah filem walaupun pengalamannya cuma sejengkal. Tetapi Awani yang juga berusaha keras menjadi pembakar semangatnya untuk ikut berjuang.
Setelah dia tamat pengajiannya dengan gelaran Kelas Pertama, dia tidak menunggu barang sehari untuk datang ke majlis konvokesyen Awani yang berlangsung selang sehari darinya. Walaupun ia memakan masa empat jam untuk dia kemari, demi bertemu kekasih hati, dia sanggup meredah jalan raya yang sesak.
Melihat wajah cantik yang tidak mengenakan cermin matanya lagi, hati Tengku Naufal dipagut rasa bimbang. Gelaran nerd itu sudah tidak boleh dipakai lagi kerana Awani yang tumbuh menjadi gadis jelita yang sudah pandai bergaya mengikut fesyen dan memakai lensa mata berwarna jernih. Mukanya juga dihiasi mekap tipis yang tidak menjolok mata dan menambahkan kecantikan semulajadinya.
"Awani masih tak berpunya, kan?" Tanyanya inginkan kepastian.
Bibir Awani yang disalut gincu berwarna peach itu bertukar cemberut. Apa punya soalanlah. Kalau dia ada lelaki lain, tak mungkin dia beritahu Tengku Naufal tarikh dan tempat konvokesyennya berlangsung seminggu yang lalu.
"Taklah. Hati aku dah berpunya." Sakatnya dengan senyuman senget.
Wajah tampan Tengku Naufal serta-merta bertukar duka. Keningnya berkerut sedih dengan bibir merah mudanya sedikit melengkung ke bawah.
Sudah diduga. Pasti ada lelaki lain yang berjaya menawan hati si gadis semasa ketiadaannya di sisi. Kepalanya tunduk menekur lantai dengan hati yang meruntun sedih.
ANDA SEDANG MEMBACA
PENOLONG KETUA KELAS | C
Teen Fiction𝐓𝐀𝐌𝐀𝐓 𝐏𝐞𝐧𝐨𝐥𝐨𝐧𝐠 𝐊𝐞𝐭𝐮𝐚 𝐊𝐞𝐥𝐚𝐬 𝐛𝐲 𝐡𝐨𝐧𝐞𝐲_𝐛𝐮𝐳𝐳. ✓ 𝐓𝐞𝐞𝐧 𝐅𝐢𝐜𝐭𝐢𝐨𝐧 ✓ 𝐒𝐜𝐡𝐨𝐨𝐥 𝐋𝐢𝐟𝐞 ✓ 𝐒𝐥𝐢𝐜𝐞 𝐎𝐟 𝐋𝐢𝐟𝐞 ✓ 𝐃𝐫𝐚𝐦𝐚 『 𝐒𝐭𝐚𝐫𝐭 : 𝟎𝟐/𝟖/𝟐𝟎𝟐𝟒 』 『 𝐄𝐧𝐝 : 𝟐𝟔/𝟓/𝟐𝟎𝟐𝟓 』
