BAB 78

25 6 0
                                        

SEBELAS bulan bertungkus-lumus menelaah buku teks, mengumpul ilmu, dan menyelesaikan kerja rumah yang tiada penghujung, hari di mana segala ilmu itu dicurahkan kini telah tiba. Hari yang menjadi titik permulaan kepada mereka untuk melangkah ke peringkat kehidupan seterusnya. Sekaligus saat terakhir mereka bergelar pelajar sekolah.

Melangkah masuk ke dalam dewan, tiada seorang pun yang berani bersuara. Rasa gemuruh menguasai diri masing-masing kerana masa depan mereka bergantung pada helaian kertas putih berdakwat hitam tersebut.

Awani yang sudah melakukan ulangkaji sejak dua bulan lalu pun tidak kalah gemuruhnya saat dia melabuhkan punggung di kerusi. Berkat namanya yang bermula dengan pangkal huruf A, kedudukan mejanya berada di barisan paling depan.

"Psst. Awani." Suara bisikan seseorang menggamit perhatian Awani.

Kepala menoleh ke arah punca suara.

Pemanggil itu adalah Adira.

Mejanya hanya di belakang meja Awani. Gadis itu mahu mengajaknya berbual sementara pelajar lain masih mencari tempat duduk.

Awani mengangkat sebelah kening tertanya-tanya.

"Ya?" Bisik Awani juga.

Adira tersenyum manis. Buku tangannya diangkat sebelum dia memberi ucapan selamat.

"Goodluck!"

Awani mengangguk kecil. Dia turut sama memberi ucapan selamat kepada Adira sebelum mereka disuruh diam oleh pengawas peperiksaan. Sambil menunggu pelajar lain mengisi kekosongan kerusi, Awani membaca di dalam hati doa dan zikir-zikir pendek yang diingatnya supaya apa yang dipelajari dan dihafalnya tetap segar di minda.

Masa berlalu tanpa sedar dan kini kesemua pelajar sudahpun berada di tempat masing-masing. Jam di terletak di sudut dewan juga telah menunjukkan waktu menjawab semakin tiba.

Ketua pengawas peperiksaan yang merupakan lelaki dalam usia paruh baya itu bergerak ke tengah pentas dewan. Lalu dia mencapai mikrofon dan mula bersuara dengan nada yang tegas.

“Di hadapan kamu adalah kertas Bahasa Melayu Kertas 1. Sila semak bilangan muka surat...”

Awani menarik nafas dalam.

Kunci untuk menjawab dengan baik adalah bertenang dan yakin dengan diri sendiri. Dia memejamkan mata seketika. Awani sempat membayangkan wajah Mama dan Papa, wajah Puan Balqis, dan setiap malam yang dihabiskan dengan menelaah buku-buku teks dan latihannya.

Matanya dibuka semula. Awani sudah bersedia.

Bunyi helaian kertas peperiksaan yang diselak serentak memenuhi ruang dewan. Bunyi itu sahaja sudah cukup untuk membuatkan jantung setiap pelajar berdegup lebih laju. Namun Awani tetap tenang dan mengikuti arahan pengawas peperiksaan untuk memeriksa bilangan muka surat.

Setelah dipastikan tiada kesalahan, kertas itu ditutup kembali. Tangannya mencapai pen biru di atas meja lalu mengisi butiran nombor matrik di ruangan hadapan buku jawapan.

Apabila jam tepat menunjukkan pukul lapan pagi, ketua pengawas peperiksaan sekali lagi memberi arahan.

“Masa diberi adalah 2 jam 15 minit dan akan tamat pada pukul 10.15 pagi. Kamu tidak dibenarkan keluar dari dewan 30 minit selepas peperiksaan bermula. Kamu boleh mula menjawab sekarang.”

PENOLONG KETUA KELAS | CCerita yang buat anda obses. Terokai sekarang