AWANI menatap pantulan dirinya di cermin. Tubuhnya yang masih mengenakan busana pengantin berwarna emas direnung lama. Jangankan orang lain, dirinya juga tidak percaya dia telah bertukar status kepada isteri orang.
Si nerd yang tiada pengalaman bercinta itu sudah pun berkahwin dengan sang jejaka kasanova pujaan ramai. Entah berapa banyak hati yang meratap kecewa apabila Tengku Naufal menyebut namanya dalam satu lafaz sah.
Bibir Awani mengulum senyum. Sepanjang majlis akad nikah pagi tadi, hatinya berdebar-debar sepanjang masa. Rasa bahagia itu sudah melebihi paras normal. Mungkin lebih tinggi daripada ketika dia dinobatkan sebagai jurutera termuda yang mendapat pencapaian tertinggi di tempat kerjanya di syarikat tersohor.
Telinga Awani kemudian menangkap bunyi derapan langkah kaki seseorang memasuki bilik. Mereka kini berada di rumah keluarga Tengku Naufal. Hati Awani mula diserang perasaan malu. Malam pertama mereka sebagai pasangan suami isteri telah pun bermula.
Awani tidak menoleh apabila tapak kaki itu berhenti tepat di belakangnya. Dari pantulan cermin, dia tahu itu adalah sang suami. Dengan wajah merona merah, Awani menundukkan kepala. Menunggu apa yang bakal dilakukan Tengku Naufal yang raut mukanya turut sama memerah padam.
"Awani."
Cair hati Awani mendengar suara lembut Tengku Naufal di telinganya. Dari zaman sekolah lagi, lelaki itu sentiasa memanggilnya dengan nada penuh budiman. Yang membuat jantungnya bergetar hebat.
Perlahan tapi pasti, Awani dapat merasakan lelaki itu mendekat. Dia melihat bagaimana kedua tangan kekar Tengku Naufal menyelit di pinggangnya yang ramping dan memeluknya erat. Dibawa tubuhnya ke dalam dakapan hangat sang suami. Lalu dagu runcingnya mendarat di bahu kiri Awani.
Itu sentuhan yang ketiga dari Tengku Naufal yang diterimanya hari ini.
Pertama, sewaktu mereka perlu menyarung cincin dan Awani dapat merasakan tangan Tengku Naufal yang sejuk seperti ais.
Kedua, apabila dahinya dikucup syahdu oleh sang suami yang mengalirkan air mata bahagia.
Dan ini yang ketiga. Tanpa ada mata yang melihat dan bunyi-bunyi usikan dari para sahabat dan ahli keluarga.
"Naufal." Panggil Awani pula.
Dapat dia rasakan detak jantung Tengku Naufal yang tidak kalah kencang seperti dirinya. Membuat Awani tersenyum kerana lelaki itu dahulu merupakan seorang jejaka bermulut manis yang mampu memikat sesiapa yang dikehendakinya.
Tetapi nampak gayanya, seorang kasanova masih gugup juga apabila bertemu dengan seorang gadis nerd berhati beku.
"Kenapa Awani?" Sahut Tengku Naufal perlahan.
Kehangatan tubuh isterinya membuat Tengku Naufal terbuai. Terasa bagaikan mahu terus kekal begitu sehingga keesokan hari.
"Kau nak aku panggil kau apa? Abang?" Tanya Awani ragu.
Kekok bagi Awani untuk menggunakan panggilan sayang kerana dirinya yang memang tidak pandai bermanja. Perkataan 'abang' itu juga asing untuknya yang merupakan seorang anak tunggal. Tetapi jika Tengku Naufal mahu dipanggil sebegitu, Awani tidak keberatan untuk melatih dan membiasakan diri dengan panggilan baru itu.
Tengku Naufal bergumam kecil. Memikirkan tentang pertanyaan Awani. Tipulah kalau dia tidak pernah membayangkan Awani memanggilnya dengan panggilan sayang. Tetapi jarang sekali dia berangan kerana takut dilanda angau. Puas berfikir, dia akhirnya menjawab.
"Terserah nak panggil aku apa. Abang ke, hubby ke, aku tak kisah. Asalkan dari Awani, aku suka semua jenis panggilan." Tuturnya ikhlas.
Diberi pilihan sebegitu, Awani tidak melepaskan peluang untuk menyakat sang suami. Dengan sengihan nakal, dia mengusik.
ANDA SEDANG MEMBACA
PENOLONG KETUA KELAS | C
Ficção Adolescente𝐓𝐀𝐌𝐀𝐓 𝐏𝐞𝐧𝐨𝐥𝐨𝐧𝐠 𝐊𝐞𝐭𝐮𝐚 𝐊𝐞𝐥𝐚𝐬 𝐛𝐲 𝐡𝐨𝐧𝐞𝐲_𝐛𝐮𝐳𝐳. ✓ 𝐓𝐞𝐞𝐧 𝐅𝐢𝐜𝐭𝐢𝐨𝐧 ✓ 𝐒𝐜𝐡𝐨𝐨𝐥 𝐋𝐢𝐟𝐞 ✓ 𝐒𝐥𝐢𝐜𝐞 𝐎𝐟 𝐋𝐢𝐟𝐞 ✓ 𝐃𝐫𝐚𝐦𝐚 『 𝐒𝐭𝐚𝐫𝐭 : 𝟎𝟐/𝟖/𝟐𝟎𝟐𝟒 』 『 𝐄𝐧𝐝 : 𝟐𝟔/𝟓/𝟐𝟎𝟐𝟓 』
