BS | 02

13 4 0
                                        

SEPANJANG perjalanan pulang ke rumahnya, Awani perhatikan bagaimana Tengku Naufal terlihat gugup tidak seperti biasanya. Lelaki itu yang selalu tersenyum dan berkarisma tinggi, terserlah perasaan gelisahnya tatkala ini.

Dia mahu bertanya kenapa, tetapi rasanya lebih baik dia berdiam diri. Kerana mengingat Tengku Naufal mempunyai sesuatu yang ingin diberitahu, Awani yakin ia ada kaitan dengan gemuruhnya seorang Tengku Naufal.

Suasana di dalam kereta senyap sepi. Dengan Tengku Naufal yang sedang merangka kata di kepala dan Awani yang tertanya-tanya.

Waktu empat puluh minit itu terasa bagaikan sejam lamanya sehingga mereka akhirnya tiba di pekarangan rumah Awani.

Si gadis tidak segera turun dan menoleh ke arah Tengku Naufal di sampingnya yang masih memegang stereng kereta, tidak bergerak. Ada peluh yang merenik di sisi wajah tampan lelaki itu walaupun pendingin hawa kereta sudah pun terpasang.

'Apalah agaknya yang nak dikata tu.' Monolog Awani memberi Tengku Naufal masa untuk bersedia.

Ada rasa bimbang yang bertamu di hati Awani sekiranya ia adalah hal serius. Adakah Tengku Naufal disahkan mengidap kanser atau mungkin dikejar pembunuh bersiri? Walaupun yang kedua itu hanya imaginasi Awani yang terlalu banyak membaca novel thriller, tetapi tidak mustahil untuk ia menjadi satu kebarangkalian.

Setelah lima minit berdiam diri, akhirnya Tengku Naufal mahu bersuara. Awani mendengar dia menarik nafas dalam dan menghembusnya perlahan, bagaikan hendak menenangkan detak jantungnya.

Giliran Awani pula yang menjadi gugup, kerana dia bakal mendengar apa yang membuat Tengku Naufal yang selalu tenang itu, berubah gemuruh.

"Awani Safiah Binti Shamsuddin."

Nafas Awani tercekat. Nama penuhnya disebut tanpa disangka. Dia tak berani menoleh ke samping dan dia tahu Tengku Naufal juga tidak memandangnya.

Telinga dibuka luas, mahu mendengar ayat seterusnya walaupun deria pendengarannya menangkap bunyi degupan jantung yang kencang.

"Seorang fulan dianugerahi dengan nama Tengku Naufal Haziq Bin Tengku Harris..."

Bibir bawah dikulum Awani. Ya Allah, apa yang berlaku sekarang ni?

"...menyatakan perasaan cintanya buatmu dengan niat untuk menghalalkan dan membina hubungan yang diredhai Allah."

Tangan Awani naik menekup mulutnya dengan serta-merta. Matanya membulat terkejut dan menggeletar hebat. Perlahan-lahan, kepalanya diputarkan ke arah lelaki di sampingnya.

Keadaan Tengku Naufal tidak kalah gemuruhnya seperti Awani. Bahkan mungkin lebih dahsyat. Lelaki itu tunduk ke bawah dengan tangan yang dikepal erat. Terlihat tangannya menggigil hebat dan peluh yang semakin laju menuruni wajahnya. Bibirnya menggeletar dengan pipi yang memerah padam.

Terpaku Awani melihat jejaka yang penuh keyakinan dan senantiasa menayangkan senyuman hangat itu tampak rapuh tatkala ini. Rasa terkejutnya tadi digantikan dengan rasa simpati dengan keadaan Tengku Naufal yang hampir mengalirkan air mata itu.

Nafas ditarik dan dihembus beberapa kali untuk melegakan dadanya yang berombak kasar. Walaupun Awani masih terpana dengan pengakuan Tengku Naufal yang tidak disangkanya, dia masih perlu memberikan jawapan.

"Naufal, aku-"

"Takpe. Aku dah tahu apa jawapan kau."

Belum sempat Awani berkata-kata, ucapannya sudah dipintas. Dia mengamati wajah lelaki itu lama dan sekali lagi dibuat terkejut apabila ada butiran jernih yang mengalir turun dari matanya yang indah.

PENOLONG KETUA KELAS | CCerita yang buat anda obses. Terokai sekarang