BS | 01

27 5 0
                                        

PADA hari pertama dia cuba memberi salam perkenalan, Tengku Naufal melihat gadis bermata empat itu sedang tekun membaca buku teks Sejarah dengan khusyuk. Bagaikan membaca novel.

Dia yang sudah duduk di hadapan si gadis selama lima minit yang lalu pun tidak dihiraukan. Sehingga ada dua orang pelajar perempuan yang tidak dikenalnya datang menyapa.

"Hai! Awak Tengku Naufal dari kelas Aristotle kan? Kami dari kelas Beethoven!"

Ah, kelas Beethoven. Kelas kedua dari enam buah kelas di tahap menengah rendah.

Aristotle, Beethoven, Churchill, Da Vinci, Einstein, dan Franklin.

Kelas mereka diberi nama berdasarkan tokoh genius dan sejarawan terkemuka kerana visi dan misi sekolah yang ingin melahirkan pelajar yang mencapai pencapaian tertinggi dan mencipta sejarah seperti tokoh-tokoh tersohor.

Temanya menarik tetapi berbelit juga lidah Tengku Naufal mahu menyebut nama-nama kelas di hari pertama dia menjejakkan kaki di sekolah ini.

Berbalik kepada waktu sekarang, Tengku Naufal hanya tersenyum apabila dua gadis genit itu memperkenalkan diri. Dia tidak terlalu menumpukan perhatian dan hanya menangkap maklumat bahawa mereka juga di berada tingkatan satu sepertinya.

Mata Tengku Naufal sibuk melirik ke arah gadis bercermin mata bulat yang duduk di kerusi bertentangan dengannya. Gadis itu yang tadinya tekun membaca buku, nampak terganggu dengan suara nyaring dua orang gadis tersebut yang cuba mengajak Tengku Naufal berbual.

Tidak betah, gadis itu akhirnya mengangkat kepala setelah sepuluh minit menghadap buku. Bebola mata Tengku Naufal yang berwarna perang cair itu bertemu pandang dengan bebola mata si gadis nerd yang hitam pekat. Tiada yang istimewa dengan situasi itu kerana Tengku Naufal pernah melihat mata yang lebih cantik dari mata awam gadis tersebut.

Tetapi apa yang dilakukan si gadis seterusnya yang menarik minat Tengku Naufal.

Gadis nerd itu berkerut kening melihatnya silih berganti dengan kedua gadis tadi yang ikut berpaling apabila Tengku Naufal tiba-tiba senyap. Kemudian gadis itu mendengus kasar. Buku teks Sejarah ditutup. Dia menggumamkan sebuah kata yang dapat ditangkap oleh telinga tajam Tengku Naufal.

"Bising." Suaranya kecil tetapi cukup dingin.

Lalu, gadis itu bangun dari duduk tanpa berkata apa-apa dan berlalu pergi ke meja yang lebih jauh.

Tengku Naufal memperhatikan setiap gerak-geri si gadis dengan perasaan ingin tahu yang tinggi. Tidak dihiraukan kedua gadis tadi yang cuba mendapatkan perhatiannya.

Jengah kerana mereka yang tidak faham bahasa bahawa dia tidak berminat untuk berbual, dan juga merasa serba salah kerana mengganggu si gadis nerd membaca, Tengku Naufal memutuskan untuk meninggalkan perpustakaan tatkala itu juga.

Kedua gadis itu tersentak dan pantas mengikuti Tengku Naufal di belakang. Sebelum Tengku Naufal benar-benar keluar dari perpustakaan, dia sempat mengerling gadis itu sekali lagi. Senyuman kecil muncul di bibirnya apabila mendapati si gadis kembali khusyuk dengan pembacaannya yang tergendala sebentar tadi.

Perasaan Tengku Naufal ketika itu sukar digambarkan. Antara rasa tidak puas hati dan teruja. Agak kesal kerana si gadis nerd itu mengabaikan dirinya yang mempesona. Tetapi juga suka kerana dia tidak dianggap istimewa seperti orang biasa.

Di antara Tengku Naufal dan buku teks Sejarah, rasanya dia lebih membosankan di mata si gadis bermata empat itu.

Satu tawa kecil terlepas dari bibir Tengku Naufal yang mengorak langkah kembali ke kelas. Suara panggilan dua orang gadis dibelakangnya tidak kedengaran. Dia suka dengan cara gadis nerd itu menanggapinya.

PENOLONG KETUA KELAS | CCerita yang buat anda obses. Terokai sekarang