KAWASAN rumah dua tingkat itu penuh warna-warni. Agaknya kalau aku kahwin nanti rumah aku pun jadi macam tu juga. Wajah pengantin perempuan kuperhati sekilas dan terbit rasa iri di dalam hati ini. Nampak bahagia kedua-dua pengantin yang tak lekang dengan senyuman panjang.
Pengantin perempuan kulihat sering mencuri pandang ke arah suaminya. Bahagia kut dapat kahwin dengan lelaki impian dia. Agaknya aku pun senyum begitu juga masa hari perkahwinan aku nanti tapi aku tak tahulah muka aku ni dapat tenang macam pengantin perempuan tu ke tidak, sebab aku ni berdarah gemuruh.
Aku menjatuhkan pandangan ke arah jam di tangan. Agak lewat juga. Tapi ma dan pa masih lagi belum kelihatan. Tadi aku datang dengan ma dan pa tapi sekarang aku dah tak tahu dia orang pergi mana. Mungkin juga sibuk berbual dengan sanak saudara yang lain. Majlis kahwin ni bukan majlis orang lain pun, majlis dua pupu aku juga.
"Baju nikah pengantin dia superb. Memang cantik habis!" Suara-suara berbisik membuatkan aku tersengih lebar. Kembang hati mendengar pujian mereka.
Aku pandang ke arah tempat mempelai berdua yang sedang bersantap dengan penuh beradat di atas pentas di bawah kanopi yang dihias cantik. Baju nikah sesuai dengan wajah pengantin perempuan yang agak lembut dan cantik, lagipun bajunya kelihatan sangat sopan dan menutup aurat. Baju itu mereka tempah dari butik ma, tempat aku bekerja sekarang ni. Bangga kerana pilihanku tepat. Ya, aku yang bertanggungjawab memilih pakaian mereka.
Pengantin lelaki pula belah ma dua pupu aku. Sangat-sangat tampan dan aku dengar dia bakal mewarisi aset harta kekayaan ayah dia. Kalau aku kahwin nanti, aku taklah nak mimpi orang kaya datang meminang tapi kalau boleh nak kacak lagi daripada Syakirul Hafiz tu. Wah, belum-apa-apa lagi dah demand. Tapi kira beruntung mereka berdua sebab kedua-duanya sama kacak dan cantik dan kedua-duanya berada dalam golongan orang yang berada. Kiranya dia orang boleh jadi the best couple of the year tahun ni. Wedding bukan alang-alang. Sedari tadi aku lihat tetamu tidak kunjung henti menghadirkan diri dalam rumah agam ini.
"Sengih-sengih sorang ni kenapa?" Bahuku ditepuk tiba-tiba. Aku menoleh spontan dan terus tersenyum lebar apabila melihat kelibat cik gadis manis sedang tersenyum lebar sambil mengambil tempat duduk di sebelahku.
"Mesti kau menyesal gila tak mengayat abang aku dulu, kan? Kalau tak, dah selamat kau orang kahwin sekarang ni," ucap Tija tak teragak-agak. Pecah tawaku mendengar usikan Tija. Tidak pernah terlintas di kepala yang aku bakal menyesal kerana terlepas seorang lagi pemuda yang cukup serba-serbi dan bergelar abang dia tu. Ada-ada aje Tija ni.
"Agaklah... Aku mana sesuai dengan abang kau tu. Kakak ipar kau cantik gila. Ayu aje aku tengok. Pakai tudung dan sopan santun." Aku puji pengantin perempuan tu bukan takat nak membodek Tija tapi betul-betul ikhlas dari hati.
"Memang pun tak sesuai..." Tija mengekek ketawa. Cepat sahaja tanganku sampai ke bahunya kuat.
"Kau perli aku ke apa?" soalku buat-buat merajuk.
"Aku gurau je la... Kau bila nak kahwin? Umur dah naik dua puluh lima dah..." Tija bertanya. Aku pun terus angkat bahu sebab rasanya soalan Tija tu soalan yang maha susah hendak dijawab. Siapalah yang nakkan aku ni... Cantik pun tidak.
"Kau pun dah naik dua puluh lima, kan? Bila kau nak kahwin dengan Wan Adree?" Tija sengih aje bila aku ungkit nama pakwe dia tu.
"Tak lama lagi. Sekurang-kurangnya aku ada calon, tapi kau ni, risau la 'menyingle' dari dulu."
ANDA SEDANG MEMBACA
DI HATIKU ADA KAMU
RomanceADAPTASI VIU - Preview RIAN AULIA Perkahwinan aturan keluarga? Rian tidak teragak-agak bersetuju menjadi isteri kepada lelaki yang tidak kenali untuk membahagiakan orang tuanya. Pada Rian, jodoh dia dan Adif adalah takdir. Dia menyukai lelaki itu p...
