SEMALAMAN aku tak boleh tidur lena. Pagi esoknya, awal-awal lagi aku telefon ma, beritahu ma yang Adif ajak aku tinggal di kondo dia. Tapi ma kata itulah yang sepatutnya. Seorang gadis, apabila sudah berkahwin memang wajib ikut suami. Aku telan air liur aje apabila ma dengan mudah menyokong permintaan Adif.
Apabila ma kata aku kena belajar jadi isteri yang taat. Terkena batang hidung sebab ma kata selama ni aku anak yang baik, jadi setelah bergelar isteri orang pun, wajib jadi isteri yang baik juga. Tapi aku tak boleh terima apabila Adif kata ma dan pa jatuh nombor dua. Ma jawab sambil gelak-gelak, memang dah jatuh nombor dua apabila dah serahkanku kepada Adif. Aku mati kata nak membalas hujah ma. Satu lagi ma pesan, kalau boleh hal rumah tangga aku, simpan sendiri takut timbul tak senang hati dalam diri Adif. Aku pun gigit bibir sebab rasa berdosa yang amat. Sebetulnya Adif di pihak yang mendapat sokongan ma tapi aku ni berjuang perasaan sorang-sorang.
"Rian kena biasakan diri, bukan lagi ma dan pa jadi keutamaan Rian sekarang ni."
"Kenapa ma tak lahirkan seorang lagi anak lelaki untuk jaga ma dan pa?" ucapku sendu. Ma gelak kecil.
"Rian lahirkanlah untuk ma dan pa seorang cucu lelaki untuk menjaga kami berdua, boleh?"
Aku terpinga-pinga bila ma kata begitu. Malu terasa menyapa jiwa.
"Adif dah habis mandi. Nanti Rian telefon ma lagi, ya?"
"Rindukan ma lah tu. Dah sudah, layan Adif pula nanti dia kecil hati kalau Rian asyik bertelefon aje."
Nak aje aku jawab, ma tak kecil hati pun bila Rian layan Adif, kenapa dia mesti kecil hati? Tapi melihat Adif yang sudah keluar dari bilik air sambil melemparkan tenungannya kepadaku cepat-cepat aku memberi salam kepada ma.
"Dah habis mengadu?"
Terasa pelempang hinggap di pipi. Aku tiba-tiba sahaja tak berani membalas renungan Adif. Apabila difikir-fikir tingkahku kini memang seperti budak-budak kecil. Dah jadi isteri orang tapi masih lagi bergantung pada ma dan pa. Memang padan dengan muka aku kena perli oleh suami sendiri.
"Saya boleh jenguk ma dan pa hari-hari kan, Adif?" soalku berani dalam cemas. Dibuatnya Adif jawab 'tidak', mahu aku menangis tiap-tiap malam. Adif mengerling ke arahku sambil mengeluarkan baju-bajunya dari dalam beg rodanya. Aku gigit bibir. Sepatutnya aku yang kena sediakan baju-baju dia tapi dah terlalu leka berbual dengan ma sampaikan terlupa tanggungjawabku sebagai isteri. Selama ni aku dimanja tapi mulai daripada saat aku dan Adif bersatu seharusnya aku mula belajar berdikari. Nasihat ma tadi masih lagi terngiang-ngiang di kepala.
"Awak nak bermalam kat sana tiap-tiap minggu pun saya tak halang."
Wajahku berubah ceria. "Saya minta maaf sebab semalam degil pada awak."
"Tahu tak apa."
"Adif, janganlah macam ni." Aku sedaya upaya memujuknya. Adif menyarungkan T-shirt di tubuhnya. Seluar track yang berada di atas tilam dia ambil dan sarungkan di kaki.
Sedaya upaya pula aku tidak memandang perlakuan dia yang seumpama menggoda tu. Kalau badan macam papan tak apalah nak tunjuk kat aku tapi badan dia dah serupa dengan model tu, tidak dapat tidak, mataku tetap juga nakal melirik ke arah Adif.
Adif seakan-akan faham dengan lirikan mataku, terus mendekat. Selamba saja dia cium pipiku. Walaupun hanya sesaat terasa jiwaku melayang entah ke mana. Seriau sehingga aku tak terpijak bumi rasanya.

ANDA SEDANG MEMBACA
DI HATIKU ADA KAMU
Roman d'amourADAPTASI VIU - Preview RIAN AULIA Perkahwinan aturan keluarga? Rian tidak teragak-agak bersetuju menjadi isteri kepada lelaki yang tidak kenali untuk membahagiakan orang tuanya. Pada Rian, jodoh dia dan Adif adalah takdir. Dia menyukai lelaki itu p...