KEGELISAHAN tidak mampu bersembunyi di sebalik riak wajah yang cuba kubiarkan tenang. Rina sudah acap kali menasihati diriku agar bersabar sedikit masa lagi dan memberikan aku sokongan moral, namun hati ni tak mampu untuk menipu. Bukan 10 minit Adif terlambat. Hampir menginjak pukul 11.00 pagi pun, dia belum lagi memunculkan diri sehingga tetamu yang datang sudah mulai bising.
Aku apatah lagi, memandang wajah ma dan pa pun dah tak boleh dah. Jiwa tak mampu berirama tenang sama sekali. Aku rasa muka aku yang dah bersolek ni pun jadi biru hijau menahan gelisah kerana akad yang dijadualkan berlangsung pukul 10.00 pagi tertunda sehingga saat ini. Kalau Adif tak datang, bagaimana kehidupan aku selepas ini? Tak tenteram hatiku apabila mengenangkan tindakan Adif yang tidak pernah terduga itu.
"Dia dah janji," gumamku kecil. Sedih yang menggigit hatiku hanya Allah yang tahu. Ada ke dalam dunia ni pengantin lelaki boleh lambat seperti Adif untuk datang ke majlis sendiri? Ada ke? Ada aje, agaknya. Aku pujuk diri sendiri, kononnya ada aje yang lebih teruk dan sedih berbanding aku pada hari perkahwinannya.
Rasa nak mengamuk juga tapi aku tahan diri sendiri. Nanti apa kata orang kalau tiba-tiba pengantin perempuan pergi halau tetamu-tetamu yang datang? Mungkin Rina 'mendengar' luahanku lantas dia menggenggam jari-jemariku dengan erat.
"Sabar, sekejap lagi Adif datanglah tu. Tok kadi pun relaks aje aku tengok, kau nak menggelabah, kenapa? Dah, jangan buat muka berkerut takut nanti kau tak cantik macam pengantin lain di dunia ni."
Aku mengetap bibir mendengar omelan Rina. Air mata yang hampir mengalir kutahan bersungguh-sungguh. Risau kalau-kalau terjatuh setitis ke pipi, terus riuh satu ruang tamu ni dan yang pasti bakal mengundang sejarah hitam buat ma dan pa.
Kalau tidak mengenangkan ma dan pa, aku rasa macam nak berlari naik ke tingkat atas dan bersembunyi untuk jauh daripada segala-galanya. Tapi aku tahu kalau aku buat macam tu mesti ma dan pa malu besar. Satu aje yang aku harapkan saat ini, Adif datang walau apa pun yang terjadi kepada dirinya. Adif berikan kata putus hitam dan putih agar kami di sini terang dan faham kehendak dia.
"Rian..."
Aku menoleh ke belakang sedikit dan tiba-tiba Nur mengunjukkan telefon bimbit kepadaku. Perlahan-lahan kusambut dengan debaran menggunung di dada.
Butang mesej aku tekan dengan tangan yang separuh terketar.
Awak okey ke? Sekejap lagi saya datang.
Dan saat ini hanya Allah sahaja yang tahu betapa leganya hatiku. Walau dalam hati teringin menyumpah Adif tapi jiwaku sudah pun disirami air beku yang mematikan bara. Berkali-kali ucapan syukur singgah di bibirku. Tangan Rina yang menggenggam tanganku segera kubalas erat dengan senyuman di bibir.
"Dia datang," ucapku sedikit teruja. Rina mengangguk dan tersenyum lebar. Dan, aku hanya mampu membalas mesejnya dengan dua huruf saja iaitu 'TQ'.
"Insya-Allah. Kau doa banyak-banyak ya," kata Mun pula.
Wajah ma aku lirik dan kelihatan dia tenang menanti di sisi pa tapi aku tahu hati ma bergolak saat ini. Tak mengapa ma, Rian percayakan Adif. Apa-apa pun yang terjadi Rian tahu Adif akan datang. Dia dah janji pun dengan Rian, bisik hati kecilku walaupun ma dan pa berada agak jauh dariku.
"Pengantin lelaki datang dah!" Jeritan dari luar menghamburkan sejuta rasa di hatiku. Kupandang satu per satu wajah kesayanganku dan aku lihat air muka mereka beransur lega. Alhamdulillah.
YOU ARE READING
DI HATIKU ADA KAMU
RomanceADAPTASI VIU - Preview RIAN AULIA Perkahwinan aturan keluarga? Rian tidak teragak-agak bersetuju menjadi isteri kepada lelaki yang tidak kenali untuk membahagiakan orang tuanya. Pada Rian, jodoh dia dan Adif adalah takdir. Dia menyukai lelaki itu p...