BAB 11

26 1 0
                                        

DARI pagi aku di rumah Mun. Tengah hari itu, aku menolongnya di dapur. Kebetulan suami Mun tak ada, maka aku bebaslah sikit di rumahnya ni. Kata Mun, Pian ke rumah abangnya, ada hal keluarga.

"Rian!"

Aku yang sedang mencuci dan memotong kobis sedikit terkejut apabila Mun menjerit seperti dirasuk jin.

"Rian!"

"Ya, aku kat sini!"

"Rian, ma kau telefon."

"Bak sini aku jawab."

Tak sampai 30 saat Mun sudah berdiri di hadapanku sambil menyuakan telefon bimbit.

"Ma kau cakap ada hal penting."

Aku jenguk telefon bimbit tu dah pun berjawab. Cepat-cepat aku mengambil telefon bimbit itu lalu meletakkan di telinga.

"Helo ma..."

Mun tercegat memerhati diriku lama.

"Helo Rian! Kenapa tak beritahu ma?"

Aku mengerut kening kehairanan. "Beritahu apa?"

"Fasal Adif!"

Makin berkerut dahiku apabila ma menyebut nama Adif tiba-tiba.

"Ma, Rian duduk rumah Mun sehari ni, mana ada berjumpa dengan Adif pun."

"Balik sekarang, Rian! Trouble maker betul budak ni."

"Lah... tiba-tiba gelar orang trouble maker kenapa? Rian tak buat salah apa-apa pun kan? Ma, Rian tengah masak ni, nanti petang Rian balik ya," pujukku lembut.

"Rian, ma suruh balik sekarang ni, bukan petang nanti. Family Adif datang merisik, kenapa tak beritahu ma?"

"Apa ma?"

"Family Adif datang melamar Rian kenapa tak beritahu ma dan pa? Kita tak ada persiapan pun. Rian sengaja nak kasi ma sakit jantung macam pa, ke?" Ma perli aku. Aku ternganga tanpa kata.

"Rian, balik cepat sekarang ni juga!"

"Apa ma cakap, Rian tak faham..."

"Ya Allah budak ni... Rian, ma kata balik sekarang ni juga. Keluarga Adif tengah menunggu Rian kat rumah kita!"

"Ma bergurau, ke?" Aku sudah mula keliru. Baru aje hari Jumaat minggu lepas Adif kata hendak melamar aku dan takkan dua hari terus jadi 'minggu depan' baginya? Kenapa tak maklumkan pada aku dahulu? Paling tidak pun mesej ke, sekurang-kurangnya.

"Buat apa ma bergurau, Rian? Balik cepat, sekarang!"

Aku kebingungan. Tidak pasti reaksi bagaimana harus aku tunjukkan sekarang ni. "Rian tak boleh, ma."

"Kenapa tak boleh?" Meninggi suara ma apabila aje aku menyudahkan ayat. Terpaku aku di sisi dapur menahan diri daripada jatuh terduduk.

"Rian setuju ke lamaran Adif?"

"Ha?"

"Rian setuju tak? Dia orang ada kat rumah ni menunggu jawapan Rian. Rian sudah berpunya atau belum?"

Aku menahan nafas. Bercelaru kepala otak tidak tahu jawapan apa yang terbaik bagi menjawab soalan ma itu.

"Rian, ma kau cakap apa?" Bisikan Mun mengejutkan aku daripada lamunan pendek. Aku memandang wajah Mun dengan mata yang berkaca.

DI HATIKU ADA KAMUTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang