KAMI sampai juga ke destinasi bulan madu kami. Terbuka je pintu bilik resort...
"Adif," seruku perlahan. Kalau boleh aku tak mahu dia dengar aku sebut nama dia tapi mulut ni terpanggil juga nama lelaki itu.
"Kenapa?" Soalan Adif membawa maksud dia memang dengar jelas-jelas nama dia dipanggil. Aku tunjuk riak selamba sambil mengangkat bahu. Beg tangan kukemaskan di bahu tanda tiada apa yang hendak aku cakapkan sebenarnya.
"Saya sengaja pilih bilik ni. Ke awak dah sedia sebenarnya?" Adif meletakkan beg di atas tilam bersaiz queen.
"Awak dah bersedia ke, Rian?"
Aku tertunduk sambil melangkah ke katil bersebelahan dengan katil yang Adif sedang duduk sekarang ni. Ada ke pengantin baharu tidur asing-asing katil macam ni? Ini dah bukan bulan madu namanya...
"Kalau awak dah bersedia tak apa, malam ni kita boleh tidur di katil ni sama-sama." Dia menepuk tilamnya beberapa kali sambil tersengih. Aku kerutkan wajah sebab sakit hati, terasa diri dipermainkan oleh mamat mata sepet ni.
"Saya tak sedia lagi!" Aku ucap tanpa memandang wajah lelaki itu. Boleh sakit jiwa bermain kata dengan Adif.
Biarlah Adif tak perli-perli aku dengan perkataan 'sedia tak sedia' lagi. Asyik benda tu aje jadi bahan dia nak perli aku. Adif yang sedang tersenyum sinis tidak lagi aku pedulikan. Sengaja aku keluarkan baju tidur di dalam beg bagasi yang aku letakkan di tepi katilku untuk mandi malam.
Sampai di airport pun hampir pukul 7.00 malam, campur solat yang awal gila di Sarawak ni, singgah makan sekejap di McD, lepas tu baru gerak ke Santubong Resort. Akhirnya kami sampai ke lobby Santubong Resort ni tepat pada pukul 10.00 malam. Mandi dan tidur lagi baik daripada melayan Adif yang dari pagi tadi buat layan tak layan je kat aku ni.
Sedang aku menahan rasa, aku lihat Adif bergerak menuju ke balkoni. Dia buka pintu, lepas tu keluar ke balkoni. Termenunglah dia di situ.
Aku tak endahkan dia lagi. Tumpuanku kembali kepada beg baju-bajuku. Baju tidur yang aku beli dengan Mun dan Nur tempoh hari aku sembunyikan di bawah baju-baju yang lain. Sumpah aku tak kan pakai depan Adif. Tak naklah jadi bahan gelak lelaki itu apabila nanti dia fikir aku nak menggoda dengan baju jarang-jarang ni. Aku masuk ke bilik air dengan perasaan bengang. Adif tu memang tak terjangka. Kata cinta, kata sayang, tapi kenapa bila dah kahwin macam aku je yang syok kat dia. Dia sikit pun tak hairan aku ada. Ke, memang dia saja nak main-mainkan perasaan aku sebenarnya?
Selesai mandi dan menukar pakaian tidur, aku terus merebahkan tubuh ke katil. Menguap berkali-kali walau sebenarnya tak penat mana pun. Tapi apabila tengok langsir di balkoni ditiup angin dengan pintu terbuka luas aku jadi tertanya-tanya, apa yang Adif buat di luar sana.
Aku turun dari katil dan terus menuju ke balkoni. Aku singkap langsir dari dalam dan perhatikan tubuh Adif yang membelakangiku. Dia nampak gelisah aje.
Belum sempat aku menegur dia, Adif bawa tangan kanannya ke muka. Aku buntangkan mata sebab tak percaya.
Adif merokok? Kenapa selama ni aku tak tahu? Aku gigit bibir bawah dengan pelbagai rasa yang mengetuk. Sudahlah aku memang anti perokok, sampai hati dia merokok tanpa pengetahuan aku. Apalah salahnya dia beritahu aku sewaktu kami bertunangan dulu?
Dia tiba-tiba buang rokok dia tu ke luar dan membalikkan tubuhnya menghadapku. Nampak macam dia sedikit terkejut tapi lepas tu dia buat riak wajah bersahaja. Konon tak terkesan setelah aku kantoikan sifat buruk dia tu. Rambutku yang sudah menampar wajah dek angin laut yang kuat cepat-cepat kuselitkan di telinga.
YOU ARE READING
DI HATIKU ADA KAMU
Roman d'amourADAPTASI VIU - Preview RIAN AULIA Perkahwinan aturan keluarga? Rian tidak teragak-agak bersetuju menjadi isteri kepada lelaki yang tidak kenali untuk membahagiakan orang tuanya. Pada Rian, jodoh dia dan Adif adalah takdir. Dia menyukai lelaki itu p...