PANGGILAN telefon Rian Aulia membuat Adif sedikit terganggu. Entah kali yang ke berapa Adif menolak panggilan gadis itu. Bencikah dia pada Rian?
Tidak.
Bukan perasaan benci yang membuatkan Adif mengabaikan panggilan telefon wanita itu. Dia akui terganggu setiap kali perhatian Rian tertumpah pada dirinya. Dia sudah biasa seorang diri. Untuk membuka ruang dan peluang kepada orang asing, lebih-lebih lagi seorang wanita dalam rutin hidupnya adalah sukar. Dia tidak biasa menerima panggilan setelah bertahun-tahun tidak pernah bermesra dengan sesiapa kecuali atas hubungan kerja. Pertemuan dia dan Rian selama ini hanya untuk mengaburi mata Tuan Idris. Dia tidak punya tenaga untuk melayan kehendak dan kemahuan Rian yang sentiasa bertanya itu dan ini mengenai perkahwinan mereka.
Memang dia mahukan perkahwinan ini. Itu adalah matlamatnya selama ini. Sekian lama dia merancang untuk ini, mana mungkin dia lepaskan peluang yang ada di depan mata. Cuma dia gagal untuk terlalu berpura-pura.
Semakin lama, dia jadi tidak pasti. Apa yang perlu dia lakukan terhadap Rian? Wanita itu lurus bendul. Langsung tidak mengesyaki Adif walau terlalu banyak tanda tanya dalam hubungan mereka berdua. Naif. Sehingga terlalu mudah untuk diuruskan tanpa dia perlu mengeluarkan segala usaha bagi memastikan hati wanita itu 'jatuh' untuknya.
Telefon pintar dimasukkan ke dalam poket seluar.
Ketika Adif merasakan ada seseorang yang memerhati, dia menoleh ke belakang.
Kelibat wanita yang sedang melangkah diamati sebelum bibirnya menyeru nama itu. "Rian..."
Kenapa Rian tiba-tiba muncul di sini?
Baru Adif tersedar, pasti wanita itu melihat sendiri dia menolak panggilan telefonnya tadi.
Keluhan tipis terzahir melihat langkah wanita itu tanpa memandangnya. Dia memerhatikan Rian yang masuk ke dalam kereta dengan air muka yang keruh. Sehingga kereta gadis itu menghilang dari pandangan mata, Adif tetap berdiri di situ sambil cuba memproses situasi yang baru sahaja berlaku.
Setelah beberapa ketika, barulah dia meneruskan langkah masuk ke dalam bangunan.
Sampai di rumah, dia tertib menguruskan diri sendiri. Barang-barang yang dibawanya diletakkan ke atas meja kerja, dia membersihkan diri dan mengenakan pakaian tanpa sebarang bunyi. Setelah makan, dia mencuci pinggan yang digunakan. Kemudian dia mengeluarkan pakaian yang selesai dicuci dari mesin basuh dan menggantikan dengan pakaian kotor. Pakaian yang bersih tadi, dia gantung satu per satu masuk ke dalam almari.
Bertahun-tahun menguruskan kehidupannya seorang diri, Adif tidak pernah membiarkan dirinya terbawa dengan arus kemalasan. Malas? Bagaimana dia boleh bermalas-malasan jika seluruh hidup telah dikerah untuk mencapai satu matlamat?
Dia mahu menjadi orang yang berjaya. Dia tidak mahu dipandang rendah, dipermainkan dan diremehkan oleh sesiapa. Dia tidak mahu satu hari nanti dia perlu berlutut di hadapan sesiapa untuk menagih simpati.
Selesai mengerjakan rutin rumah, barulah Adif menapak ke meja kerja. Berjam-jam dia menghadap komputer sehingga tidak sedar masa yang sedang berjalan. Entah berapa kali dia menaip dan membaca semula isi kandungan perjanjian yang sedang ditulis. Perjanjian itu mesti siap sebelum esok agar tugasnya menjadi lebih mudah.
Telefon pintar di atas meja Adif pandang. Berselang seli dengan dokumen yang sedang dia kerjakan.
Mungkin dia perlu menelefon Rian sebelum wanita itu mengesyaki yang bukan-bukan. Melihat wajah Rian petang tadi saja cukup untuk membuat Adif faham, Rian sedang dikuasai emosi dan mungkin akan mengambil tindakan yang impulsif.
Dia cuba memujuk. Dan dia tahu sangat mudah untuk memujuk wanita itu.
Telefon pintar diangkat. Nama Rian menjadi sasaran jari jemarinya.
YOU ARE READING
DI HATIKU ADA KAMU
Roman d'amourADAPTASI VIU - Preview RIAN AULIA Perkahwinan aturan keluarga? Rian tidak teragak-agak bersetuju menjadi isteri kepada lelaki yang tidak kenali untuk membahagiakan orang tuanya. Pada Rian, jodoh dia dan Adif adalah takdir. Dia menyukai lelaki itu p...