AKU tak pasti sama ada nak beri Khairi cuti seminggu ni atau tak. Dia merayu dari pagi tadi supaya cutinya diluluskan sampai buat kepala aku serabut bagai nak pecah. Sebenarnya bukan aku tak nak kasi dia cuti, tapi seminggu tu... Seminggu! Mana nak melayan pelanggan, mana nak urus debit kredit dengan stok segala yang aku nak kena pilih dari kilang... Ingat aku ni iron woman ke apa? Sehari dua okey lagi, dia cuti seminggu masaklah aku!
Aku beritahu dia, malam ni baru aku mesej dia sama ada dapat atau tidak pelepasan cuti tu. Kemudian, dia kata dia sanggup kerja lebih masa pada minggu depannya. Apabila aku tanya kenapa nak cuti, dia hanya menjawab masalah keluarga dan dia tak nak ulas apa-apa fasal tu. Terpaksa juga aku tanya kat ma serta-merta, nak kasi ke tidak cuti kepada Khairi. Kalau ma bagi kebenaran, aku akan minta ma pinjamkan staf dia seorang untuk duduk di butik ni selama seminggu semasa ketiadaan Khairi. Cuma dari tadi aku telefon, ma tak angkat-angkat, jadi aku tak boleh nak putuskan apa-apa untuk Khairi buat masa ini.
"Rian, I rasa I ada cadanganlah..."
Tiba-tiba aje Khairi bercakap masa aku sedang betulkan pakaian yang tersarung di model patung. Aku letakkan jarum di atas meja kemudian pandang wajah Khairi.
"I rasa you setuju kali ini."
Teragak-agak aje Khairi bercakap.
"Apa dia?" tanyaku dengan nada perlahan. Kut-kut boleh juga menyabarkan hati yang tengah panas sebab dari tadi si Khairi ni kacau aku buat kerja.
"Ada adik sepupu I, dia offer diri untuk kerja seminggu untuk gantikan I."
"Hah?"
"Err, adik sepupu I..."
Aku mendiamkan diri sebentar. Lepas tu aku nampak Khairi dengan muka sedih pergi ke ruang belakang. Mungkin dia tahu yang aku tak setuju dengan cadangan dia.
"Khai, bukan I tak nak tolong tapi you tahukan I tak biasa nak ambil orang sekejap bekerja, takut nanti-nanti jadi apa-apa di luar dugaan pula," terangku kepadanya. Khairi hanya mengangguk sambil menarik muka sedih sehingga membuat aku rasa tak sampai hati. Lagipun inilah kali pertama Khairi betul-betul meminta cuti daripada kami.
Balik ke rumah aku jumpa ma sedang minum petang di ruang tamu. Apabila aku cakap kepada ma masalah Khairi ni, ma pun terus telefon staf dia. Nasib baik ma beri juga pinjam seorang pekerja dia yang incharge Butik Puteri cawangan baharu tu. Lima hari aje. Tak apa, memang Butik Puteri yang aku pegang ni pun waktu bekerjanya lima hari dalam seminggu je. Jadi, terus aku mesej kat Khairi yang esok dia bolehlah mula bercuti. Tak sampai lima saat, Khairi terus telefon aku.
"Thanks, Rian." Dia cakap dengan suara yang teruja. "Thanks banyak-banyak. You are the best!" pujinya melambung-lambung.
"Kalau you buat lagi short notice macam pagi tadi, I takkan berlembut lagi Khai," balasku tegas sambil menghela nafas panjang. "Ingat tu," sambungku lagi.
"Ingat bos! Terima kasih sekali lagi Rian, you takkan tahu betapa you dah berjasa pada I seminggu ni. Dan I janji I takkan buat lagi. This is the first and the last time, I guarantee," janjinya bersungguh-sungguh.
"Kalau macam tu okey, I nak rehat awal, enjoy la your holiday seminggu ni."
"Thanks again Rian... Thank you very much!"
Aku mengerutkan dahi apabila aje terdengar esakan kecil di hujung talian. Apa kena dengan Khairi ni? Apa masalah dia sebenarnya?
"If you have a problem, tell me. You know you can trust me. You kawan I juga, Khai..." pujukku lembut untuk menenangkan hatinya. Pasti dia sedang bercelaru saat ini.
YOU ARE READING
DI HATIKU ADA KAMU
RomanceADAPTASI VIU - Preview RIAN AULIA Perkahwinan aturan keluarga? Rian tidak teragak-agak bersetuju menjadi isteri kepada lelaki yang tidak kenali untuk membahagiakan orang tuanya. Pada Rian, jodoh dia dan Adif adalah takdir. Dia menyukai lelaki itu p...