SELEPAS menonton wayang, aku lihat Adif sudah keletihan. Mungkin kerja-kerja di pejabat menyebabkan dia nampak penat. Lainlah aku ni setakat kerja rutin di butik yang biasa-biasa saja. Penat juga tapi tak adalah buat aku sampai terlelap masa tengok wayang tadi. Dia yang beria nak tonton movie cinta, akhirnya dia juga yang tumbang awal di kerusi apabila keluar ayat-ayat cinta dari mulut hero filem Thai tadi.
"Penat sangat ke?" soalku ketika sudah berada di petak tempat letak kereta. Adif mengangkat bahu sambil memberikanku blazer yang dia buka di panggung wayang tadi.
"Kenapa?"
"Pakailah."
"Err... Saya tak sejuk pun," ujarku tidak menyambut hulurannya. Kalau aku terima juga blazer dia tu, gerenti otak aku dah senget sebelah. Berbulan dulu, guna blazer dia masa sedang sakit perut pun aku dah gila bayang nak-nak lagi masa sihat ni. Ingat ni macam cerita cinta romantik Thai tadi ke?
"Ambil je." Dia menyangkutkan blazernya di bahuku. Aku terpempan sesaat kerana terkejut dengan tindakannya. Tiba-tiba sahaja buat tindakan di luar dugaan. Nasib baik dia tak sentuh mana-mana bahagian anggota tubuhku, kalau tidak sah nak kena backhand sulung Cik Rian Aulia.
"Dah sampai," ucapku ketika berada di hadapan kereta. Adif menilik jam kemudian kembali memasukkan tangannya di dalam poket seluar.
"Nak pergi ke Padang Merdeka tak?"
Lah. Aku ingat dah habis jelajah rupanya masih ada lagi rancangan dia.
"Dah pukul sebelas..."
"Tak lama, kejap aje," pinta Adif seolah-olah memujuk. Aku dah mula serba salah sebab dia bersandar lepas di pintu keretaku. Ni, maksudnya kena wajib juga ikut cadangan dia lah ni?
"Tapi.."
"Sekejap aje..."
Aku telan air liur sebiji-sebiji. "Nak buat apa kat tempat tu?"
"Adalah..."
"Saya tak boleh tahu ke?"
"Boleh tak awak temankan saya sekejap, Rian? Saya tengah serabut dan bila ada awak aje, baru saya boleh berfikir."
Ada aku je dia boleh berfikir? Getusku hairan di dalam hati.
"Kenapa? Awak nak batalkan pertunangan kita ke?"Aku meneka.
Adif segera menggelengkan kepala. Aku mengeluh lega. Ingatkan dia sedang berfikir nak batalkan pertunangan ke tidak, sebab dia kata dia perlu tengok aku baru boleh berfikir. Tapi kalau bukan sebab aku, takkan fasal kerja melambak di pejabat dia kut?
"Pukul berapa kita balik?"
"Sebelum pukul dua belas."
Aku mula berkira-kira sendiri. Aku keluar sampai tengah malam ni pun tak cakap kat ma dan pa. Setakat mesej, aku sangka baliknya dalam pukul 9.00 ke pukul 10.00 malam aje.
"Saya call ma saya dulu."
"Saya dah minta izin kat dia tadi."
Aku membulatkan mata kerana terkejut. "Awak dah call?"
"Ya. Masa awak solat maghrib tadi saya dah call ma awak. Cakap kat dia yang kita berdua candle light dinner." Dia mengenyit mata spontan.

ANDA SEDANG MEMBACA
DI HATIKU ADA KAMU
RomanceADAPTASI VIU - Preview RIAN AULIA Perkahwinan aturan keluarga? Rian tidak teragak-agak bersetuju menjadi isteri kepada lelaki yang tidak kenali untuk membahagiakan orang tuanya. Pada Rian, jodoh dia dan Adif adalah takdir. Dia menyukai lelaki itu p...