SUDAH sebulan berlalu, Adif masih tidak menghubungiku. Tetapi, petang itu lintang pukang jadinya apabila ma tiba-tiba memberitahu yang Adif ada di bawah sewaktu aku sedang bersantai di atas katil. Baru hari ini dia munculkan diri, kenapa agaknya? Panik pun ada, resah pun ada. Aku tak biasa dengan kejutan sedemikian rupa malah tiba-tiba aje aku jadi menggelabah apabila menuruni anak tangga.
Punyalah cemas kerana aku ingatkan dia betul-betul datang ke rumah ni sebab ada hal dengan aku tapi melihat pa pun ada di ruang tamu tahulah aku yang dia datang sekadar hal kerja aje. Hampir-hampir aku melangkah naik semula ke tingkat atas sebelum ma panggil namaku.
"Hidang air ni kat depan." Ma suruh sambil tersenyum penuh makna. Ma berdiri di tepi meja makan sambil meletakkan cawan-cawan ke atas dulang.
"Dia datang untuk jumpa pa, ke ma?"
"Ada kerja sikit agaknya dengan pa."
Terus berubah air mukaku mendengar kata-kata ma.
"Habis, kenapa panggil Rian ke bawah ni?" soalku separuh berbisik.
"Nak minta Rian tolong ma hidang air untuk tetamulah." Ma jawab dengan nada selamba sambil mengisi air ke cawan-cawan kosong di atas dulang.
Aduhai ma... Kenapalah ma buat macam ni? Manalah aku nak letak muka aku ni menghadap Adif tu. Mungkin sampai sekarang ni ma dan pa nak jodohkan aku dengan Adif walhal sebenar-benarnya Adif sedikit pun tak berminat dengan diriku. Kalau dia berminat, mesti awal-awal lagi dia usaha nak berjumpa denganku. Tiba-tiba aku rasa menyesal turun ke tingkat bawah. Kalau tahu, awal-awal lagi aku bertapa aje di dalam bilik. Kecewa apabila terasa lelaki yang aku minati langsung tidak berminat tentang diriku.
"Bibik tak ada ke ma?" soalku perlahan. Ma terus tunjuk pintu dapur.
"Dia buat cucur kat dapur."
"Kenapa ma panggil Rian turun ke bawah tadi?" Aku menyoal ma semula sebelum melarikan anak mata ke wajah Adif yang sedang berbincang sesuatu dengan pa. Serius aje gayanya.
"Ma dah jawab, kan? Nak Rian tolong ma layan tetamu."
"Ma sendiri boleh buat, apa?" soalku agak beremosi. Ma pandang wajahku sekejap sebelum tersenyum kecil.
"Kan nak berkenalan? Ma panggil Rian ke bawah supaya dapat berjumpa dengan Adif," bisik ma dengan wajah yang bercahaya.
Alamak! Double bala dah ni. Kenapa dia orang buat aku macam aku ni desperate sangat nak dapat kekasih? Beria-ia sangat! Malulah ke Adif kalau lelaki tu tak berminat dengan aku tapi terpaksa memenuhi undangan pa kerana pa bos dia. Silap aku juga yang konon setuju dengan perjodohan ni.
"Ma please..." Keningku bertaut tanda tidak senang hati. Ma tarik tanganku dan menggelengkan kepalanya sedikit.
"Dia baiklah Rian. Ma suka dia." Bersungguh-sungguh ma cakap padaku. Ya Allah! Masa ni aku rasa nak melenyapkan diri dari bumi barang sejam dua.
"Ma dan pa suka dia tapi dia suka ke tak dengan Rian ni, ma? Rian tak ada pun mengharap apa-apa dari dia tu. Rian boleh cari sendiri calon suami sebab Rian tak nak jadi hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. Kalau dia suka Rian mesti awal-awal lagi dia dah contact Rian, kan? Tapi tak ada, ma..." ucapku cuba menjelaskan. Terkilan sebenarnya ma tak faham dengan situasi yang membuat aku tersepit.
Ma mengeluh perlahan, kecewa mungkin kerana perjalanan jodoh aku dan Adif tidak selancar yang dia mahukan.
"Hantar je air ni kat depan. Anggap dia sebagai tetamu. Kalau Rian tak berkenan dekat Adif, tak apa lah. Tapi sekarang ni air kena hantar kat depan sebab ma nak tolong bibik kat dapur." Ma hulur dulang kepadaku. Lah... Aku cakap Adif tak suka aku, yang ma tiba-tiba pusing fakta kenapa? Aku mengeluh kecil.

ANDA SEDANG MEMBACA
DI HATIKU ADA KAMU
Storie d'amoreADAPTASI VIU - Preview RIAN AULIA Perkahwinan aturan keluarga? Rian tidak teragak-agak bersetuju menjadi isteri kepada lelaki yang tidak kenali untuk membahagiakan orang tuanya. Pada Rian, jodoh dia dan Adif adalah takdir. Dia menyukai lelaki itu p...