USAI mengemas bilik tidur, aku terus bersiap untuk ke butik ma. Padanan baju kurung berwarna merah jambu lembut dengan tudung berwarna merah jambu diadunkan dengan dua tona warna putih di tengah-tengahnya membuat diriku tampak lebih ringkas dan matang daripada biasa. Biasanyakan aku selalu mengenakan seluar jean dan blaus aje tapi hari ini berbaju kurung pula, macam pelik je tiba-tiba jadi sopan begini.
Sebaik aje aku melangkah ke ruang tamu, aku lihat ma dan pa sedang duduk di ruang meja makan. Jarang-jarang pa sarapan pagi di rumah sebab selalunya dia akan terus pergi ke pejabat untuk makan di sana dengan staf-staf rapatnya. Aku pun terus mengambil tempat duduk di sebelah pa sambil mengenyit mataku kepada pa. Pa terus mencemikkan muka apabila aje aku buat begitu. Ma dah tergelak-gelak melihat reaksi pa dan menepuk bahuku lembut.
"Kerja okey?" soal pa memandang wajahku sekilas sebelum mencicipi secawan teh sambil berdeham kecil.
"Okey je, pa. Lagipun kerja kat butik ma bukan susah mana pun." Aku bagi komen selamat sebab kalau aku cakap tak okey karang ada pula dia buat keputusan untuk paksa aku masuk ke syarikat dia tu. Pa, kalau dia dah nak paksa memang dia paksa punya sampai kita ikut cakap dia. Tapi nasib baik juga aku ni pun perangai ala-ala pa. Pakatan degil sedunia kata ma.
"Mana tak okeynya saya kasi dia elaun lebih, bang oi." Ma back-up aku. Siap banggakan diri sendiri sebab beri aku elaun lebih pula tu.
Aku pun sengih aje, malas nak balas kata-kata ma sebab ma cakap dengan pa, lainlah kalau ma cakap dengan aku. Aku memang begitu orangnya. Selagi orang lain tak cakap dengan aku, terasa berat sikit nak menyampuk risau dikatakan sebagai penyibuk. Tak gitu?
Aku ambil roti kahwin yang ada di pinggan dan terus ambil teh susu yang ma hulur kat aku. Aku sorang je yang minum teh susu dalam keluarga ni sebab pa dan ma suka teh O panas tak ada gula. Dia orang kata bila kita dah tua kena jaga makan, tak boleh manis sangat risau nanti terkena kencing manis, darah tinggi, sakit jantung dan adik-beradik penyakit-penyakit tu. Setelah cawan di tangan, aku terus meminumnya.
"Pakai baju ni nak pergi kenduri kahwin ke?" Pa tanya.
Ha kan dah cakap, memang pelik kut aku pakai baju kurung ni.
"Apa salahnya pakai baju kurung tu?" Ma bela aku. Aku senyum aje menahan malu sebab aku tahu pa mesti tak biasa tengok aku sopan macam ni.
"Dah ada pakwe belum?"
Hampir-hampir aku nak tersembur air teh apabila aje mendengar pertanyaan pa tu. Ma dah tepuk bahu pa kuat.
"Abang ni, kecik hati Rian nanti." Ma jeling pa.
Aku membulatkan mata sebab tak percaya pa boleh beri soalan maut macam tu sekali kat aku. Kalau orang lain yang bertanya tak apa lagi tapi ni pa yang tanya, mana aku nak letak muka lepas ni? Malulah bercerita fasal pakwe-pakwe ni kat pa sendiri. Takkan nak cakap yang hari tu aku tertarik dengan seorang lelaki ni tapi tak ada nombor contact dia pula, kan? Teringat ekspresi wajah lelaki yang aku temui beberapa hari lepas di shopping complex, butik ma tiba-tiba.
"Dah tu sampai sekarang tak ada kekasih lagi? Nak kahwin dengan siapa pula budak ni nanti? Bukan boleh bagi muka kat dia. Tiba-tiba aje dia bawa lelaki entah apa-apa dalam rumah ni, kan masa depan dia sendiri yang rosak," ucap pa selamba dengan nada bergurau.
Aku menggigit bibir sebab sedih pa cakap macam tu. Macam la taste aku ni teruk sangat. Kalau pa nak carikan calon untuk aku pun aku okey aje bukannya ada masalah pun. Lagi aku suka tak perlu bersusah-payah mencari calon.
ANDA SEDANG MEMBACA
DI HATIKU ADA KAMU
RomanceADAPTASI VIU - Preview RIAN AULIA Perkahwinan aturan keluarga? Rian tidak teragak-agak bersetuju menjadi isteri kepada lelaki yang tidak kenali untuk membahagiakan orang tuanya. Pada Rian, jodoh dia dan Adif adalah takdir. Dia menyukai lelaki itu p...
