BAB 17

26 2 0
                                        


MAJLIS nikah Rina selesai dengan lancar. Kawan tu asyik tersengih memanjang walhal malam tadi beria-ia dia menangis, katanya cuak sangat sampai dia jadi keliru betul ke keputusan yang dia ambil tu. Jenuh juga kita orang pujuk Rina agar bersabar sedikit masa lagi.

Mun kata selepas dah akad nanti Rina akan jadi lebih lega. Sedikit-sebanyak, aku perhatikan Rina begitu, aku simpan untuk ingatanku pada masa hariku nanti. Mana tahu esok lusa aku pula jadi seperti Rina, taklah tertekan sangat sebab aku tahu setiap wanita akan melalui perasaan seperti itu apabila hampir pernikahannya.

Melihat Rina bahagia bersama Fuad, membuatkan aku jadi tak sabar pula menunggu hariku tiba. Seronok melihat mereka berdua duduk rapat-rapat sambil tersenyum-senyum begitu, terasa tempias kebahagiaan mereka di majlis ini.

"Jom Rian, kita gambar sama. Ajak Adif sekali."

Aku tersentak kejap apabila Mun panggil aku dan sebut nama Adif tiba-tiba. Bila aku menoleh ke tepi, aku nampak Adif dengan baju Melayu warna biru muda tersenyum ke arahku. Sedetik itu aku rasa masa seolah-olah membeku. Ya Allah, kenapa kacak sangat seorang insan itu?

"Awak datang?"

"Saya datang. Pa kata awak ke sini," balas Adif perlahan, berbisik ke telingaku.

"Jom, kita ambil gambar kenangan sama-sama," ajak Pian, suami Mun dengan mesra. Macamlah dah kenal lama. Aku berpaling semula ke arah Adif.

"Macam tak percaya je," gumamku perlahan.

"Jomlah. Orang dah tunggu kita tu." Nur mengajakku sambil mengomel. Kulihat, Pian dan Mun sudah ke arah Rina dan Fuad di atas pelamin untuk bergambar.

Adif senyum kecil. Dia tersenyum kerana omelan Nur atau memang mahu memperlihatkan senyuman manisnya untukku. Misteri Adif buatku tidak boleh menebaknya dengan tepat.

"Jom, kawan awak dah panggil."

Dan gambar kenangan itu adalah gambar kedua kami selepas hari pertunangan yang lalu. Gambar yang tercatat di dalamnya, rahsia degup jantung Rian Aulia sudah menjadi hak milik Ahmad Adif Rayqal sepenuhnya. Hanya Allah yang tahu betapa aku benar-benar jatuh cinta kepada lelaki itu.

AKU ingat dah 10 kali aku call Adif tapi satu pun dia tak angkat. Pedih juga hati mengenang daripada semalam menelefon tapi dia tak angkat-angkat. Bukan saja-saja pun aku call, tapi sebab ma dan pa yang minta aku call Adif untuk confirmkan majlis pada hari esok. Takkan sehari suntuk bateri handphone dia kong kut? Tak pun telefon jatuh ke dalam toilet lalu rosak, sebab tu tak berjaya untuk dihubungi? Ke... dia sengaja tak nak jawab panggilan aku?

Sehari suntuk aku duduk di rumah menyiapkan serba sedikit persediaan yang belum siap termasuklah tempat untuk aku dan Adif diakadkan esok pagi. Tapi kerja-kerja macam tu tak susah sangat pun sebab ada wedding planner yang ma dah tempah, jadi aku hanya tinggal buat permintaan dan mereka yang uruskan.

Aku duduk di tepi kolam serupa macam orang sedang memancing ikan, senyap tak bercakap. Susah hati sebab esok aku akan jadi isteri kepada lelaki misteri. Atau orang yang nak kahwin ni memang akan berasa seram sejuk satu badan sehari sebelum nikah?

Masa ma membantu Rohayu menguruskan pelamin tadi pun, aku hampir menitis air mata. Tak pernah tengok ma bersungguh-sungguh begitu. Mungkin sebab aku seorang anak dia, jadi ma mahukan majlis esok dibuat selancar yang mungkin.

"Rian, dah call Adif tak?" Suara ma muncul semasa aku sedang sedih mengelamun mengenangkan bakal suami yang tak ambil peduli walhal pernikahan kami tak kurang dari 24 jam ini.

DI HATIKU ADA KAMUCerita yang buat anda obses. Terokai sekarang