BAB 4

34 1 0
                                        


JUALAN di Butik Puteri cawangan kedua mengalami sedikit masalah walaupun sudah empat bulan beroperasi. Sepatutnya Butik Puteri cawangan kedua dah ada pelanggan tetap tetapi ma kata jualan semakin jatuh. Jadi ma minta aku yang take over butik di sana buat sementara waktu tapi dalam pada masa yang sama butik cawangan pertama tempat aku bekerja ni pun kena maintain juga. Haila...

Dalam tiga minggu aku terpaksa berulang-alik dari butik cawangan pertama dan cawangan kedua. Tapi lepas tu aku bersyukur yang amat kerana ma akhirnya turun padang untuk membantu aku. Dia kata kesian pula apabila nampak anak dia yang seorang ni seperti tak cukup kaki dan tangan meronda ke sana, ke mari buat marketing plan sendiri.

Sepanjang tiga minggu ni tertunggu-tunggu juga kalau-kalau Adif menghubungi aku tapi ternyata penantianku hanyalah sia-sia. Jangankan menghubungi, batang hidung dia pun aku tak nampak. Agaknya betullah firasat aku hari tu yang dia tak berkenan kepadaku sejak pertama kali bertemu. Tapi kenapa ayat terakhir yang diucapkan dari bibirnya membawa sedikit harapan buatku? Takkan dia nak try test power pula, kan?

Sebenarnya bukan fikir sangat fasal Adif pun. Tapi fikir fasal siapa yang bakal menjadi teman hidupku ini. Perkahwinan bagiku kena berkekalan sehingga ke akhir hayat. Aku inginkan rumah tangga seperti ma dan pa, tidak pernah bergelora walaupun berkali-kali dihempas ribut dan taufan. Kalau pun bukan Adif orangnya tentu ada orang lain yang bakal menemani sepanjang hidupku nanti seperti pa menemani ma dengan setianya. Cuma entah kenapa sejak sehari dua ni aku teringat balik kata-kata terakhir Adif kepadaku tempoh hari. Mungkin dia main cakap aje lah kut, serius tu tidak.

'Jodoh tu Rian, dah ditetapkan semasa kita berada di dalam rahim ibu kita lagi. Jadi sekarang ni kena tunggu aje, sampai masanya insya-Allah kita akan berjumpa si jejaka yang sepatutnya menjadi pengikat hati.' Itu kata-kata Nur apabila aku luahkan isi hatiku kepadanya tentang Adif semalam.

Yalah, walaupun aku cuba rahsiakan benda ni pun, sampai bila aku boleh sembunyikan hal Adif ni daripada kawan-kawan rapatku, kan? Lagipun dia orang pantang tengok muka aku hilang arah sikit, terus main serkap jarang dan nampaknya kali ini serkap jarang dia orang mengena kat batang hidung aku.

'Kau dah jumpa dengan Mr. Right ke Rian?' Pertanyaan Mun tempoh hari membuatkan aku terkelu kaku sehingga membuahkan usikan demi usikan daripada mereka bertiga. Aku tak marah pun sebenarnya. Nak marah buat apa, bukannya boleh dapat apa-apa pun. Lagi pula lelaki itu bukannya sukakan aku pun.

"Rian, you tengah fikir fasal apa?" Teguran Khairi membuatkan aku kembali semula ke dunia realiti. Perlahan sebuah senyuman hadir terukir di hujung bibirku. Khairi yang sedang mengira sesuatu di dalam buku mengerling ke wajahku sebentar sebelum menyambung kerja-kerjanya.

"Teringatkan boyfriend, ya?" Dia bertanya secara berterus-terang. Aku tersentak sebentar sebelum menggelengkan kepala.

"I mana ada boyfriend la Khai. You pun tahu selama ni I kaku dengan lelaki." Aku menyengih. Khairi mencebik tanda tidak sehala pendapat denganku.

"Habis pakwe yang datang ke sini hari tu yang bawa you balik masa you sakit hari tu siapa?"

"Tu bukan boyfriend la Khai. Tu pekerja papa I aje la..." jawabku menafikan tekaan Khairi.

"I tetap tak percaya bila you kata you kaku dengan lelaki. Habis tu selama ni you ingat I perempuan ke apa? Jahat la you ni Rian..." ucap Khairi masih lagi tidak berpuas hati. Tawaku pecah spontan. Biar benar Khairi kecil hati fasal benda kecil macam tu aje?

DI HATIKU ADA KAMUTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang